TAMAN SAFARI JOHOR MAMPU BERTAHAN 2 TAHUN
Johor Safari World dibuka pada tahun 1982 di Simpang Renggam, Johor, sebagai taman safari pertama dan terbesar di Malaysia. Dibangunkan di atas tanah seluas 32 hektar milik kerajaan Johor, ia dikendalikan oleh Syarikat Chipperfield’s Circus, sebuah syarikat antarabangsa yang menguruskan taman safari di seluruh dunia.
Pengunjung dapat merasai pengalaman unik melihat haiwan berkeliaran bebas sambil menaiki kenderaan khas, selain menikmati permainan roller coaster pertama di Malaysia. Namun, selepas dua tahun beroperasi, taman ini ditutup pada tahun 1984 akibat kos penjagaan haiwan yang tinggi. Bagi mengurangkan kerugian, sebahagian haiwan dipindahkan ke zoo dalam negara.
Mengapa Mengendalikan Taman Safari Bukan Perkara Mudah?
Taman safari bukan sekadar menempatkan haiwan liar dalam kawasan berpagar, tetapi memerlukan keseimbangan ekologi yang teliti. Jika populasi haiwan tidak dikawal, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti kelaparan, gangguan ekosistem, atau penyebaran penyakit.
Dalam habitat liar, keseimbangan antara pemangsa dan mangsa berlaku secara semula jadi, tetapi di taman safari, ia perlu dikawal dengan baik. Nisbah ideal ialah 1 pemangsa bagi 5 mangsa, contohnya seperti seekor harimau memerlukan 3-4 ekor rusa sebagai sumber makanan dalam sebulan. Jika pemangsa terlalu banyak, mereka akan kelaparan dan menjadi agresif, manakala populasi herbivor yang berlebihan boleh menyebabkan kehabisan sumber makanan. Selain itu, pemangsa seperti harimau memerlukan kawasan luas (sekitar 20-30 km²) untuk memburu secara semula jadi. Ruang yang sempit boleh menyebabkan tekanan dan pergaduhan antara haiwan.
Mengurus taman safari bukan sekadar menempatkan haiwan, tetapi memerlukan kawalan populasi, perancangan ekosistem, dan kos yang tinggi. Jika tidak dikendalikan dengan betul, ia boleh menyebabkan masalah serius kepada haiwan dan operasi taman itu sendiri. Inilah antara faktor mengapa taman safari di Johor tidak dapat bertahan lama.
TAMAN SAFARI & TAMAN RAMADAN
Jika harimau tidak dikawal dalam taman safari, ia boleh menerkam sesiapa sahaja. Jika nafsu tidak dikendalikan dalam diri manusia, ia boleh menghancurkan kehidupan seseorang.
Kawalan nafsu bukan bermaksud menindas sepenuhnya, tetapi menjinakkannya agar ia patuh pada tuntutan yang benar. Seperti taman safari akan menjadi tempat yang indah apabila keseimbangannya terjaga, begitu juga hati manusia akan menjadi tenang dan tenteram apabila nafsu dikawal dengan baik.
Ramadan ibarat sebuah taman safari, di mana proses mendidik nafsu memerlukan disiplin, aturan, dan ritual tertentu agar ia dapat dikawal dengan baik. Seperti keseimbangan yang perlu dijaga dalam ekosistem haiwan, nafsu juga perlu dikawal dengan ibadah, kesabaran, dan muhasabah diri agar tidak liar dan membinasakan. Manfaatkanlah peluang ini sebaik mungkin sebelum ia berlalu, kerana belum tentu kita akan bertemu dengannya lagi.
SAFARI JOHOR TIDAK BERTAHAN LAMA, SEMANGAT IBADAH RAMADAN BIARLAH BERTAHAN SELAMANYA...



Comments
Post a Comment