NAK PANJANG UMUR TULISLAH BUKU
Tiga hari berkampung di Pusat Latihan Kenegaraan, Tanjung Rhu untuk bengkel penulisan bersama guru-guru KPM, JPN dan PPD benar-benar mencabar kerana liputan internet yang seolah-olah enggan berkompromi. Lebih-lebih lagi ada tugasan yang memerlukan penggunaan internet. Hanya bergantung kepada WiFi dewan latihan, tetapi sebaik melangkah ke dorm, isyarat hilang entah ke mana. Mahu tidak mahu, terpaksalah terkial-kial mencari sisa-sisa sambungan signal wifi dari dewan.
Di dorm, di sebelah katil saya, seorang lelaki berkopiah khusyuk membaca buku. Beberapa buah buku lain bertindih di sisi. Sekilas melihat, hati kecil saya kagum rajin betul ustaz ini membaca. Sedangkan saya mahu menghabiskan satu buku pun mengambil masa berbulan.
“Ustaz, banyak buku ustaz baca. Disebabkan ustaz minat membaca, saya nak hadiahkan satu buku kepada ustaz.” Saya menghulurkan sebuah buku hasil tulisan sendiri.
“Masya Allah, terima kasih. Buku ini enta tulis?”
“Ya, Ustaz.”
“Wah, tahniah! Ana satu buku pun belum tulis lagi. Hebat enta. Almaunah! Enta terlibat ke?”
Saya mengangguk. “Ya, ustaz. Buku itu menceritakan kisah hidup ana.”
Masya Allah!” Matanya membulat. “Rupanya duduk katil sebelah ana ni orang hebat rupanya.”
Saya tersenyum kecil. “Eh, ustaz ini. Mana ada hebatnya.”
Perbualan yang asalnya hanya antara kami berdua, bertukar menjadi sesi perkongsian tidak rasmi. Satu demi satu peserta yang pulang ke dorm tertarik untuk menyertai. Lama-kelamaan, bukan sekadar dorm kami, tetapi penghuni dorm sebelah pun mula menghampiri dan mendengar. Bak kata Ustaz Khairudin, ini sudah jadi sesi podcast tanpa mikrofon! Malam itu, diskusi kami berlanjutan hingga jam dua pagi.
Namun, ada satu kalimat daripada Ustaz Abdullah yang benar-benar membuatkan saya termenung lama.
“Nak panjang umur, tulislah buku.”
Semua yang mendengar kata-katanya terdiam, seolah-olah sedang mencerna maknanya.
“Cuba lihat kitab-kitab karangan ulama terdahulu, yang masih dibaca hingga sekarang. Seolah-olah mereka masih hidup dalam karya mereka. Tulisan dan kata-kata nasihat mereka terus mengalir, memberi manfaat kepada generasi demi generasi.”
Saya mengangguk, mengakui kebenaran kata-katanya. Bukan hanya kitab ulama, malah banyak penulis hebat yang sudah tiada, tetapi setiap kali kita membaca buku mereka, terasa seolah-olah mereka masih ada bersama kita.
Malam itu saya tidur dengan satu azam, ingin terus menulis, bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang.
----------------------------------------------------------------------
Ya Allah, jadikan Ramadhan kali ini menjadi lebih baik dari sebelumnya. Berikan kami kesihatan yang baik untuk dapat merebuat peluang memperbanyakkan amalan. Mohon maaf atas segala salah dan silap.
Ramadhan Kareem!



Comments
Post a Comment