LAITULQADAR: HADIAH ATAU MANIFESTASI CINTA?

Dalam perjalanan hidup, kita sering teruja dengan hadiah. Kita suka ganjaran. Bayangkan seorang anak kecil yang diberikan mainan baru, matanya bersinar, hatinya berbunga. Tetapi, pernahkah kita bertanya: lebih penting hadiah itu, atau tangan yang memberi?

Begitulah Lailatulqadar.

Kita sering mendengar, “Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.” Satu malam, ibadahnya menyamai 83 tahun. Ini angka yang besar. Menariknya, Allah tidak meletakkan angka itu sekadar untuk membuat kita berkira-kira, tetapi untuk menyedarkan kita tentang sesuatu yang lebih dalam iaitu kasih sayang-Nya yang tiada batas.

Rahsia di Sebalik Ganjaran Besar

Allah Maha Tahu manusia adalah makhluk yang mudah terkesan dengan ganjaran. Kita bekerja keras kerana gaji. Kita belajar bersungguh-sungguh kerana sijil. Maka Allah hadirkan satu malam misteri dengan ganjaran yang luar biasa, bukan untuk mereka yang sempurna, tetapi untuk hamba-hamba yang mahu kembali kepada-Nya.

Namun, jika kita hanya sibuk mengejar angka, kita mungkin terlupa pada si pemberi angka itu sendiri.

Sama seperti seorang ayah yang menghadiahkan sesuatu kepada anaknya. Hadiah itu bukan sekadar benda, tetapi manifestasi cintanya. Anak yang matang tidak sekadar bergembira dengan hadiah, tetapi akan berkata, “Ayah, terima kasih. Aku lebih gembira kerana ayah masih menyayangiku.”

Lailatulqadar Adalah Tanda Allah Mahu Kita Kembali

Lailatulqadar bukan hanya soal pahala berlipat kali ganda. Ia adalah satu jemputan lembut dari Allah untuk hamba-Nya. Jika Allah mahu, Dia boleh sahaja tetapkan syarat yang sukar untuk mendapat keampunan, tetapi tidak. Satu malam sahaja, Dia sediakan ruang untuk sesiapa yang mahu kembali.

Bukankah ini satu manifestasi cinta yang luar biasa?

Kadang-kadang kita mungkin tertanya, “Apakah Allah masih mahu aku? Sedangkan aku banyak berdosa.” Maka datanglah Lailatulqadar sebagai jawapan:

“Aku bukan sahaja mahu engkau kembali, malah Aku berikan satu malam yang cukup untuk membersihkan seluruh dosamu. Engkau hanya perlu datang kepada-Ku.”

Melihat Allah, Bukan Sekadar Hadiah-Nya

Seorang pencinta sejati tidak mengejar hadiah semata-mata, tetapi dia mahu hubungan dengan si pemberi hadiah itu.

Maka, pada Lailatulqadar, jangan hanya sibuk menghitung berapa banyak pahala kita dapat, tetapi sibukkan hati untuk merasakan kehadiran Allah. Bertanya kepada diri:

“Tuhan, Engkau beri aku peluang ini kerana Engkau mahu aku dekat. Engkau tidak jemu menunggu aku kembali. Aku datang Ya Allah, bukan hanya untuk pahala, tetapi kerana aku merindui-Mu.”

Itulah hakikat tertinggi dalam ibadah, bukan sekadar mengejar ganjaran, tetapi mencari Tuhan dalam setiap sujud dan doa.

Lailatulqadar bukan tentang berapa banyak yang kita dapat, tetapi tentang betapa dekatnya Allah dengan kita pada malam itu.

Comments

Popular Posts