CERPEN : KEMENANGAN SEBENAR

Malam raya itu sepatutnya menjadi malam penuh kegembiraan. Langit gelap bertaburan bintang, jalan raya masih sibuk dengan kenderaan yang pulang ke desa, membawa harapan untuk menyambut Syawal bersama keluarga tercinta. Namun, takdir Allah mendahului segala perancangan manusia.

Azman suami Siti, memandu kereta dengan tenang di belakang abang sulung Siti, Zali, yang berada dalam kenderaan di hadapan bersama isterinya. Siti sambil berbual ringan bersama Azman. Anak-anak mereka sudah lena di tempat duduk belakang. Perjalanan terasa lancar sehinggalah….

"Gedegang!"

Bunyi dentuman kuat menggegarkan jalan raya. Di hadapan mata mereka, sebuah bas dari arah bertentangan terbabas dan meluru laju ke arah kereta abang Zali. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

"Ya Allah! Abang Zali!"

Siti menjerit, tangannya menggigil. Azman pantas membuka pintu dan berlari ke arah kereta Zali yang remuk teruk. Asap berkepul dari enjin yang sudah remuk. Bunyi hon panjang menusuk telinga. Azman menolak kepingan besi yang terlipat, cuba membuka pintu yang tersekat.

"Zali! Tahan, Zali! Aku ada ni!"

Azman melihat Zali tersepit, wajahnya berlumuran darah, matanya masih terbuka tetapi penuh kesakitan. Mulutnya bergerak lemah, namun suaranya hampir tenggelam di balik bunyi bising dan kekecohan sekeliling.

"Allah… Allahu Akbar…"

Jeritan takbir itu bergema dari bibir Zali, semakin lama semakin lemah. Azman cuba menarik tangannya, cuba memecahkan sisa kaca untuk mengeluarkannya, namun usahanya sia-sia. Nafas Zali makin perlahan.

"Tolong! Tolong!" Azman menjerit meminta bantuan, tetapi dalam sekelip mata, Zali terdiam. Kepalanya rebah ke sisi. Isterinya di tempat duduk penumpang juga sudah tidak bergerak.

Ambulans tiba, namun semuanya sudah terlambat. Zali dan isterinya meninggal dunia di tempat kejadian. Malam raya berubah menjadi malam yang penuh kedukaan.

Selepas kenduri tahlil, Siti duduk di sisi suaminya, matanya masih merah dan bengkak.

"Abang… Siti tak percaya tragedi ini berlaku dalam keluarga kita. Mak sedih sangat, abang Zali pergi di malam raya…"

Azman menghela nafas berat. "Siti, kita tiada kuasa melawan ketentuan-Nya."

Siti menyeka air mata. "Minggu pertama puasa, abang Zali telefon Siti, tanya nak belikan baju raya untuk mak. Lepas itu, lima hari lepas dia mesej tanya tentang program berbuka puasa yang company Siti anjurkan. Abang tahu, dia nak sumbang RM5000? Siti terkejut banyak jumlahnya!"

"Semoga Allah menerima amal ibadahnya," balas Azman.

"Abang Zali kata, semoga Allah bersihkan segala dosa-dosanya masa zaman muda dulu. Tahun ni dia ambil cuti seminggu awal sebelum raya, katanya nak beriktikaf di masjid."

Azman diam sejenak, kemudian mengangguk perlahan. "Macam dia tahu yang dia akan pergi meninggalkan kita semua."

Siti menggenggam tangan suaminya. "Abang tahu, wajah abang Zali bersih, tersenyum masa dikafankan. Allahuakbar! Mungkin dia sedang menikmati kemenangan sebenar di sisi Allah. Kemenangan bukan pada harta atau kedudukan dunia, tapi apabila dosa diampunkan dan kita kembali kepada-Nya dalam keadaan bersih."

Azman mengangguk. "Rasulullah ï·º sendiri berpesan kepada Aisyah untuk memohon keampunan jika bertemu dengan Lailatulqadar. Mungkin abang Zali sempat bertemu dengannya semasa beriktikaf… dan Allah memilih dia dalam keadaan sebaik ini."

Siti menyapu air mata yang mengalir di pipi. Malam raya itu terasa hampa tanpa abang Zali, tetapi di sudut hatinya, dia yakin abang Zali sudah pun menyambut kemenangan sebenar, Syawal yang paling bermakna di sisi Tuhan.

"Beruntungnya abang Zali… walau kehilangannya amat memberi kesan kepada kita."




 



Comments

Popular Posts