INSTITUSI PONDOK DAN PENAGIH DADAH

Apabila mendengar kisah yang diceritakan oleh kakak ipar mengenai sebuah pusat pemulihan dadah berasaskan sistem pondok di Krabi Thailand menarik perhatian saya untuk mengunjunginya. Pada September 2019 saya berpeluang untuk kali kedua ke Pondok Anharul Ulum yang terletak di sebuah pulau Klong Kham, Krabi, Thailand yang telah mendapat pengiktirafan kerajaan Thailand apabila dinobatkan sebagai organisasi pencegahan dan pemulihan dadah terbaik.

Pondok ini asalnya adalah sebuah madrasah yang mengajar agama secara tradisional. Ditubuhkan pada awal tahun 2003, bermula daripada sebuah bangunan kecil sahaja. Awalnya diketuai oleh Haji Abdul Kassim bin Abdul Kader, di mana Lembaga Pengelola Madrasah bertanggungjawab mencari dana bagi membiayai madrasah ini. Siap sepenuhnya pada awal 2013, dibina di atas tanah wakaf orang ramai terletak di sebuah pulau Klong Kham, Krabi, Thailand. Terdapat beberapa buah blok yang dibina antaranya asrama, surau, kediaman mudir, dewan makan, ruang memasak dan tandas. 

Semuanya bermula apabila ada seorang ibu menghantar anaknya yang bermasalah ketagihan dadah. 

“Pada mulanya saya menolak, tetapi ada perkataan yang membuatkan saya berfikir semula apabila ibu itu mengatakan, seandainya anak saya mati di rumah pasti dia masuk neraka tetapi kalau mati di pondok dia akan masuk syurga. Akhirnya saya terima juga anaknya menjadi pelajar pondok.” Cerita Baba Abd. Razak sebagai mudir dan guru pondok.

Menurut Baba Abd. Razak, memang tidak dinafikan sangat mencabar, dengan bantuan pelajar pondok memujuk dan memberikan kata-kata semangat, akhirnya anak yang bermasalah tersebut mahu belajar. Selepas sebulan ibu pelajar kembali ke pondok untuk melihat perkembangan, anaknya mengatakan dia sudah selesa dan mahu terus belajar disitu. Maka bermulalah cerita dari mulut ke mulut mengenai kejayaan Baba Abd. Razak memulihkan anaknya yang ketagihan dadah.

Apabila pondok sudah mula ramai dengan pelajar-pelajar yang bermasalah dadah, ibubapa pelajar-pelajar lama sudah mula rasa bimbang kerana takut anak-anak mereka dipengaruhi oleh pelajar-pelajar yg bermasalah dadah. Akhirnya Baba membuat keputusan hanya menerima pelajar yang bermasalah dadah sahaja dan memberi pilhan kepada pelajar lama sama ada untuk teruskan belajar disitu atau berhenti. Kebanyakan mereka mengambil keputusan untuk berhenti dan belajar dan pondok lain.

Sehingga kini Pondok Anharul Ulum mempunyai pelajar seramai 1600 orang yang terdiri dari peringkat umur 11 hingga 75 tahun. Menurut pengamatan Baba Abd. Razak, pelajar berumur 30 dan 35 tahun keatas mampu berubah cepat berbanding pelajar muda, mungkin atas faktor kesedaran dan kematangan mereka.

“Masyarakat sering melihat masa silam mereka. Jangan dilihat apa yang berlaku pada masa silam mereka kerana 100 orang baik dengan 100 orang yang bermasalah dadah belum tentu sama kualiti dalamannya. Jangan lupa kerohanian mereka yang masih wujud. Bila tiada lagi isu dadah, mereka boleh menjadi insan yang lebih baik.” Cerita Baba Abd. Razak

Pelajar-pelajar pondok ramai dari golongan yang hebat dari peringkat golongan bawahan sehingga ke profesional. Ada jurutera, pegawai kerajaan, arkitek, juruelektrik dan anggota keselamatan malah pembangunan pondok adalah sumbangan kepakaran dari pelajar-pelajar pondok sendiri tanpa mengambil upah dari tenaga luar. Jika isu dadah dihilangkan, mereka tidak kurang hebatnya dari masyarakat diluar.

Baba Abd. Razak sangat menitik berat amalan kerohanian hasil dari pembelajaran kitab di pondok disamping menitik beratkan adab-adab yang tinggi dikalangan mereka. Pendekatan pemulihan yang dibawakan oleh Baba Abd. Razak banyak tertumpu kepada aspek pemulihan kerohanian, dalam masa yang sama aspek jasmaniah tidak dilupakan. Penghayatan agama berfungsi mencorak kerohanian dan jiwa manusia sehari-hari. Dalam hal ini imam al-Ghazali telah menggariskan usaha menyemai kerohanian sebagai adab yang bermanfaat sebagaimana katanya:

“Dan adab yang paling bermanfaat ialah menekuni dan memahami agama, zuhud di dunia dan makrifat (mengenali) Allah SWT.”

Didalam kitab Ta’lim al-Mutaalim ada menyebutkan:

“Adab itu ibarat bahan makanan (perlu banyak), dan ilmu itu ibarat garam (memadai sedikit untuk menyedapkan bahan makanan tadi).”

Justeru, pembaikan diri Muslim adalah dengan terus melaksanakan ibadah yang pasti dapat membantu kelangsungan hidup rohani seseorang. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2000), kerohanian berasal daripada perkataan rohani atau roh iaitu bahagian dalam manusia yang mempunyai daya berfikir (berperasaan dan berkemahuan) atau jiwa (nyawa yang ada dalam tubuh manusia) kerohanian bermakna perihal rohani, sifat-sifat rohani dan nilai-nilai hidup. 

Aspek kerohanian atau spiritual juga adalah antara aspek yang penting dalam melahirkan nilai-nilai positif dan sifat-sifat terpuji. Aspek kerohanian juga mempunyai hubungan yang rapat dengan sifat bermujahadah untuk melahirkan akhlak yang baik. Hal ini kerana, akhlak yang lurus pula merupakan manifestasi dari jiwa rohani yang sihat. Menurut imam al-Ghazali, akhlak dan budi pekerti yang zahir adalah daripada keadaan dalam jiwa (ruhiyyah). Justeru, memperbaikinya adalah dengan dengan merawat jiwa dan hati.

“Dulu saya bukanlah mahu fokus hal dadah, tetapi apabila ramai ibu bapa merayu supaya menerima anak mereka, saya tak sampai hati mengecewakan harapan mereka dan saya juga tidak sanggup melihat anak bangsa segama ramai yang rosak kerana dadah.” Kata Baba Abd. Razak.

“Disini ada juga pelajar beragama Buddha, pada mulanya kami menolak kerana pendekatan di pondok adalah pengajian kitab agama dan tidak menjamin mereka akan pulih, tetapi atas desakan mereka tidak kisah. Saya berpesan kepada pelajar-pelajar muslim lain supaya jangan mengajak mereka untuk menganut Islam kerana bimbang akan menjadi isu pula. Seandainya mereka mahu, biarlah dari kemahuan sendiri, Mereka hanya mengikuti pengajian kitab, tetapi aktiviti ibadah kami kecualikan. Alhamdulillah dalam 10 orang pelajar Buddha, dua daripadanya sudah memeluk Islam.” 


Rujukan tambahan:

- Tiada Siapa yg Terkurung: Kusyi Hirdan (Harian Metro)

- Pemulihan Dadah Berteraskan Islam: Kajian Kes Di Madrasah Anharol-Ulum, Thailand oleh Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki, Dr. Jasni Sulong (Universiti Sains Malaysia)

 






Comments

Popular Posts