Kegemilangan Melayu-Pattani Suatu Ketika Dahulu


Peluang melawat ke 3 wilayah di selatan Thailand telah membuka keinginan saya untuk mengetahui sejarah kegemilangan Melayu-Islam Pattani. Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani cukup sinonim dengan orang Islam di Thailand. Walaupun majoriti penduduk di wilayah-wilayah ini adalah orang Melayu-Islam, tetapi wilayah-wilayah ini bukan lagi sebahagian daripada negara kita.

Ianya bermula ketika berlakunya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Gabenor di negeri-negeri selat yang mewakili British telah berjumpa dengan Kerajaan Siam di Bangkok bagi menyelesaikan masalah negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Ketika itu kerajaan Siam telah menjajah negeri Perlis, Kedah , Kelantan dan Terengganu. Pattani, Yala dan Narathiwat memang dibawah pentadbiran kerajaan Siam. Melalui Perjanjian Bangkok 1909 itu , kerajaan Siam menyerahkan negeri-negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bangkok oleh Sir John Anderson (Gobernor Negeri-negeri Selat) dan Setiausaha Luar Negeri Siam.

Antara syarat perjanjian ialah Kerajaan Siam hendaklah juga menyerahkan balik Daerah Hulu Perak yang telah diambil oleh Raja Reman dahulu kepada Kerajaan Negeri Perak. Istiadat penyerahan itu telah dilangsungkan di Kroh, pada 16 Julai 1909.

Zaman kegemilangan Kesultanan Melayu-Islam Patani sebelum jatuh kepada kerajaan Siam ialah dari tahun 1584 hingga 1649 iaitu semasa Patani dibawah pemerintahan raja perempuan/sultanah yang dikenali sebagai Raja-raja Pelangi sempena warna-warna pelangi iaitu Raja Hijau (1584-1616), Raja Biru (1616-1624),Raja Ungu (1624-1635) dan Raja Kuning (1635-1649).

Pada tahun 1631, Pattani pernah menghantar bala tentera ke Ligor (Nakhon Si Thammarat) untuk membebaskan wilayah itu dari cengkaman Siam, dua buah kapal Siam berjaya dirampas dengan 2 orang Belanda. Kemudian angkatan Siam bejaya merampas kembali Ligor dari tangan Patani, tetapi 2 orang Belanda masih hilang, menyebabkan Belanda memihak kepada Siam dalam peperangan menentang Patani. Diantara serangan Siam yang terbesar ke atas Patani berlaku pada Mei 1634, dimana 60,000 bala tentera Siam melanggar Patani, tetapi angkatan Siam ini mengalami kekalahan akibat serangan kuat dari gabungan bala tentera Patani dan Portugis.

Untuk menguatkan lagi kerajaan Patani, Kerajaan Patani telah bersekutu dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga apabila Raja Ungu yang memakai gelaran Paduka Sultanah Syah Alam telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri bernama Raja Kuning yang menaiki takhta Patani setelah kemangkatan bondanya pada tahun 1635. Empayar Johor-Pahang telah beberapa kali menghantar bantuan ketenteraan untuk mematahkan serangan-serangan Siam, hasilnya Patani kekal sebagai kerajaan berdaulat hingga ke akhir abad ke 18.

Kejatuhan Pattani berlaku pada kurun ke-17, ianya bermula apabila Raja Kuning mangkat dan berlakunya huru hara dalam pentadbiran kerajaan Pattani akibat dari perebutan tampuk takhta kerajaan. Persengketaan yang berlarutan menjadikan kerajaan Pattani semakin lemah dan memberi peluang kepada musuh iaitu kerajaan Siam mengambil kesempatan untuk menyerang Pattani pada 1785 dan juga Kedah pada tahun 1821, kedua-dua negara ini berjaya ditakluki oleh Siam.

Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan.

Dengan itu, sistem pemerintahan Kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.

Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Cadangan Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti.

Harapan itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani.

Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis di China. Justeru, Kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu-Siam.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting malahan kiranya dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.

Selepas Persidangan Songkhla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Patani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.

Semangat pejuang-pejuang Melayu-Pattani yang masih mahukan pembebesan dari jajahan kerajaan Siam telah membentuk beberapa pertubuhan selepas perang dunia kedua iaitu:

Gabungan Melayu Patani Raya (GAMPAR) dibentuk oleh rakyat Patani yang tinggal di Malaya. Presidennya ialah Tengku Mahmud Mahyuddin Ibni Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera Sultan Patani terakhir. Matlamat: Menggabungkan Pattani Raya dengan Semenanjung Tanah Melayu.
Pergerakan Rakyat Patani (PPM) di Patani, pimpinan Haji Sulong, seorang ulama terkemuka. Matlamat: Mendapatkan taraf pemerintahan sendiri (autonomi) bagi Patani, yang terdiri daripada empat wilayah Melayu di selatan. Kedua-dua badan itu lenyap selepas kematian pemimpin masing-masing dalam tahun 1953 dan 1954.

Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) dibentuk pada 1959 oleh Tengku Abdul Jalal -- gabungan kerabat diraja dan pemimpin agama. Sesetengah anggota BNPP menyuarakan hasrat mengembalikan kesultanan Pattani. Pemikiran agama mereka dianggap kuno.

Barisan Revolusi Nasional (BRN) dibentuk pada 1963. Ia dibentuk oleh Ustaz Abdul Karim Hassan, yang menyanjung Presiden Soekarno dari Indonesia. BRN bergerak dari segi politik dan menyusupi 'pondok' iaitu madrasah bentuk lama. Pemikirannya berasaskan sosialisme Islam.

Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO) dibentuk pada 1968. Kobira Kotanila ataupun terkenal sebagai Bapa Kabir Abdulrahman dan beliau adalah sebagai pengasas Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani dan Secretary General. Selain daripada gerakan politik, PULO juga melakukan gerakan gerila. Pada awal 1970-an ramai pelajar Patani di seberang laut, terutamanya Timur Tengah, menjadi anggota PULO. PULO telah di akui rasmi oleh beberapa buah negara di timur tengah sebagai satu pertubuhan yang mewakili rakyat Patani.

Saya rasa ini adalah sedikit coretan sejarah yang mengingatkan saya mengenai kebenaran satu roda pusingan kehidupan yang pernah dikongsikan oleh seorang teman seperti dibawah:


Sepanjang saya di selatan Thailand ada 3 masjid saya lawati iaitu Masjid Telok Manok, Masjid Kerisek dan Masjid Raja Cabang Tiga. Saya tertarik untuk berkongsi mengenai dua buah masjid iaitu Masjid Telok Manok dan Masjid Kerisek yang pada saya mempunyai nilai sejarahnya tersendiri.

Masjid Telok Manok


Masjid Telok Manok atau dikenali dengan nama Masjid Wadi Husin antara masjid yang tertua di wilayah Narathiwat. Ianya dibina pada tahun 1768 iaitu pada akhir kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Pattani. 

Menurut firasat ulama ketika itu Wan Hussin atau dikenali dengan Wadi Hussin, suatu hari umat Islam Pattani akan kalah juga dengan siam, maka dia memikirkan perlu untuk mencari tempat yang sesuai dan strategik untuk berlindung dari serangan siam, Wan Hussin mengerahkan anak muridnya untuk mencari lokasi yang sesuai dan akhirnya Desa Telok Manok menjadi pilihan. Membelakangi bukit dan sungai adalah dikirakan tempat yang sangat sesuai, maka didirikanlah masjid disitu. 

Keunikan Masjid Telok Manok ialah keseluruhan binaannya disatukan menggunakan sistem ‘interlocking’ atau pasak iaitu tanpa sebatang paku digunakan. Ukiran daun dan bunga yang menghiasi dinding menambahkan lagi kecantikan bangunan ini. Jika mengikut bangunan asal sebelum ditambah bahagian hadapannya, masjid ini mempunyai dua pintu, iaitu pintu masuk di sebelah kanan dan kiri pintu keluar. Pintu ini sengaja dibina agak rendah yang memerlukan kepala ditunduk untuk masuk. Ianya mempunyai falsafah tersendiri, iaitu hendaklah menghadirkan sifat rendah diri sebelum memasuki rumah Allah. Pintu keluarnya pun begitu juga, apabila keluar dari rumah Allah hendaklah membawa sifat rendah diri juga supaya tidak berlaku sombong terhadap semua makhluk. Jika diperhatikan tingkapnya pula pun agak rendah, ianya bertujuan supaya cahaya dari luar mudah masuk bagi memudahkan jamaah untuk membaca al-Quran di tepi tingkap.

Masjid Kerisek


Masjid Kerisek Pattani Thailand adalah antara masjid yg tertua di wilayah Pattani. Ianya dibina pada tahun 1514 ketika kegemilangan Melayu Islam Pattani di zaman Sultan Muzaffar Shah atas cadangan seorang ulama fiqih iaitu Syeikh Saifuddin al Abbas. 

Inilah masjid pertama di Asia Tenggara yg dibangun menggunakan bata merah buatan kampung Tarab Bata. Cara penyusunan batanya dilakukan dengan menggunakan campuran kulit kerang dengan beras ketan hitam yang ditumbuk lumat kemudian dicampur bahan tersebut dengan adunan telur putih dengan manisan cair. Cara ini merupakan salah satu kebijaksanaan Melayu temptan pada masa itu. 

Masjid Kerisik terlalu banyak telah melakarkan sejarah peperangan antara kerajaan melayu Islam Pattani dan kerajaan Siam. Masjid ini pernah diruntuhkan, dibakar, dimusnahkan, semuanya kerana wujudnya sifat tamak dalam usaha kerajaan Siam meluaskan empayar pemerintahannya.

Ketika melawat Madrasah Bukit Islamiah, Narathiwat

Melawat Istana Lama Yaring di Yala, merupakan Istana kerabat di Raja Kelantan

Menziarahi rumah Dr. Abd. Aziz Sulaiman mudir Madrasah Bukit Islamiah

Menginap di Chalet Pantai di Pattani


Sumber Rujukan:
- Wikipedia - Thailand Selatan
- Wikipedia - Kerajaan Pattani
- Mstar - Wilayah Melayu yg Hilang

Comments

Popular Posts