TERIMA KASIH FRONTLINERS

Kehadiran covid-19 telah memberi impak besar keatas ketamadunan manusia dan menghentikan segala macam nikmat yang dapat kita kecapi sebelumnya. Kematian yang telah mencecah melebihi angka 1 juta bukanlah satu jumlah yang kecil. Kehadirannya memberi kesan kepada seluruh umat manusia di dunia. Sepanjang menginap selama 8 hari di Hopital Jempol akibat positif covid-19 telah diperlihatkan betapa nikmat hubungan kasih sayang sesama manusia juga menjadi terbatas. Tiada lagi keluarga yang dapat ziarah juga tiada lagi keluarga menjadi peneman ketika sedang menanggung kesakitan. Hal yang begitu menyentuh hati apabila saya diperlihatkan bagaimana seorang pakcik yang terlantar tanpa dapat bergerak dengan dibantu bantuan pernafasan hanya mampu melihat keluarga melalui telefon pintar yang dibantu oleh seorang jururawat. Saya melihat situasi itu dengan penuh rasa sayu.

“Ayah, ini kak long. Ayah kami sayang ayah,” terdengar melalui telefon yang sedang dipegang jururawat.

“Ayah kami disini sentiasa mendoakan semoga ayah cepat sembuh. Nanti sudah baik kak long jemput ayah di hospital ya,” dengan nada suara yang tersekat-sekat sudah cukup membayangkan keadaan perasaan anaknya.

Ayahnya yang terlalu lemah tidak mampu untuk membalas kata-kata anaknya. Lebih menyedihkan keesokkan harinya pakcik tersebut meninggal dunia. Beginilah keadaan situasi di wad covid, inilah cabaran emosi yang dilalui jururawat yang bertugas sepanjang pandemik. Sudah pasti emosi mereka juga turut terganggu dengan beban kerja yang tinggi akibat kemasukan pesakit yang ramai saban hari. 

Saya sempat bertanya kepada salah seorang jururawat yang bertugas di Hospital Jempol yang sering berhadapan situasi kematian demi kematian di wad covid. 

“Tugas kami akan tolong hubungi waris jika keadaan pesakit seperti sudah tiada harapan sembuh. Rasa sedih, kasihan sudah tentu ada. Dengan situasi tidak selesa berpakaian PPE, panas, boleh kata setiap hari sakit kepala, rasa stres memang sudah tentu itulah keadaan yang terpaksa kami lalui. Atas rasa tanggungjawab dan amanah kami laksanakan juga,” katanya.

Mengikut data yang diperolehi dari Hospital Kuala Lumpur hampir 2,000 kakitangan yang menjalani saringan kesihatan mental secara dalam talian mahupun bersemuka dari Mac 2020 hingga Julai 2021, sekitar 45 hingga 50 peratus daripada mereka mengalami gangguan emosi seperti stres ringan hingga teruk dan juga kelesuan melampau. Isu kelesuan teruk (burnout) akibat bekerja lebih masa disamping pembekuan cuti menambahkan lagi tekanan kepada petugas-petugas hospital. Saya tidak dapat bayang keadaan mereka, seolah mereka sudah hilang nikmat kehidupan. Kegembiraan, keseronokan, berbahagia bersama keluarga tercinta seolah telah dirampas oleh kehadiran virus ini. Kita sering mengeluh dengan kehadiran virus tetapi dalam masa yang sama kita masih lagi dapat mengecapi hidup yang bahagia disamping keluarga dan teman sekeliling walau dalam suasana norma baharu. 

Pada 18 September 2021 yang lepas saya serta keluarga bersama team Superfrens telah mengagih sedikit cenderahati di PPV Jempol dan Hospital Jempol sebagai tanda terima kasih diatas pengorbanan frontliners. Terima kasih kepada yang telah memberikan sumbangan, semoga cenderahati yang kami sampaikan dapat memberikan kecerian kepada mereka. 

Ya Allah, Engkau sentiasalah merahmati dan memberkati frontliners, Ya Allah bantulah mereka supaya dapat terus tabah dan sabar dalam menjalani tugasan yang diamanahkan dan anugerahi mereka dengan kesihatan yang baik, amin.

#terimakasihfrontliners
#ProgramAmalSuperfrens 








Comments

Popular Posts