BERATKAH DOSAKU DISISI TUHAN?
"Adakah salahku diampuni Tuhan, Samad?" suara Saleh yang parau memecah kesunyian malam itu. Hashim, yang sedang leka menatap telefon bimbit, tersentak. Kata-kata sahabat lamanya itu menggamit perhatian, menusuk hati. Saleh, lelaki yang baru sebulan keluar dari penjara setelah 10 tahun merengkok di dalam, kini memandang jauh, seolah-olah mencari jawapan yang belum pasti.
"Kenapa engkau tanya begitu, Saleh?" balas Hashim, perlahan namun penuh rasa ingin tahu.
Saleh menarik nafas panjang, matanya berkaca-kaca. "Tindakan aku dulu, Hashim. Kumpulan yang aku ikuti... kami melakukan perkara yang salah. Dengan niat yang kami sangka suci, kami mahu menegakkan agama dengan kekerasan. Tapi akibatnya? Agama kita difitnah. Islam, yang sepatutnya dipandang sebagai agama rahmat dan kedamaian, telah dilihat sebagai agama keganasan."
Hashim terpaku, sukar untuk mempercayai perubahan yang dilihat pada Saleh. Lelaki yang dulu lantang dengan perjuangan keras, kini tampak penuh rasa penyesalan.
"Aku ingat dengan kekerasan, aku dapat memperjuangkan Islam. Tapi aku salah, Hashim. Kami menakutkan orang. Kami menguatkan pandangan mereka yang sudah skeptis terhadap Islam. Mereka melihat agama kita sebagai ancaman, bukan rahmat. Aku dah hancurkan pandangan harmoni mereka terhadap Islam, dan aku... aku rasa bersalah. Aku rasa seolah-olah dosa ini terlalu besar untuk diampuni," kata Saleh, air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
Hashim terdiam. Bagaimana dia boleh memberi jawapan kepada sahabatnya yang memikul beban dosa dan penyesalan sebesar itu? Namun, dia tahu satu perkara. "Saleh, setiap manusia ada peluang untuk bertaubat. Allah itu Maha Pengampun. Dia tahu isi hati kita, dan jika engkau benar-benar menyesal, Dia pasti mendengar."
Saleh memejamkan matanya sejenak, cuba menahan air mata yang hampir tumpah. "Tapi bagaimana aku boleh menebusnya, Hashim? Bagaimana aku boleh memadamkan fitnah yang sudah aku cetuskan? Orang ramai sudah membenci agama ini kerana perbuatan kami. Lebih-lebih lagi memandang orang berserban jubah adalah extremis semuanya."
Hashim meletakkan telefon bimbitnya ke tepi, kini benar-benar menumpukan perhatian kepada Saleh. Dia menghulurkan tangan, menggenggam bahu sahabatnya erat. "Memang sukar, Saleh. Tapi taubat bukan sekadar kata-kata. Ia datang dengan tindakan. Engkau boleh mula dengan memperbaiki diri sendiri, menyebarkan kebaikan, dan menunjukkan bahawa Islam adalah agama kasih sayang. Fitnah itu besar, tetapi rahmat Allah lebih besar. Setiap langkah kecil yang engkau ambil ke arah kebaikan adalah jalan menuju keampunan."
Saleh menunduk, tangannya menggigil. "Aku cuma mahu Allah mengampuniku, Hashim. Aku mahu kembali kepada-Nya dengan hati yang bersih. Aku tidak mahu terus dihantui dosa ini."
Hashim tersenyum lembut, cuba memberi kekuatan. "Kita semua mencari jalan pulang, Saleh. Dan setiap yang mencari, pasti akan bertemu dengan-Nya. Allah tidak pernah meninggalkan kita, bahkan dalam kegelapan sekalipun, Dia tetap ada, menunggu kita kembali. Percayalah, jalan untuk engkau kembali kepada-Nya sentiasa terbuka."
Malam itu, di bawah langit yang sunyi, dua sahabat duduk bersama, berkongsi rasa penyesalan, harapan, dan keinginan untuk mencari makna keampunan. Mungkin masa lalu tidak boleh diubah, tetapi Saleh tahu, selagi hayat dikandung badan, masih ada peluang untuk menebus kesalahan. Dan Allah, dengan rahmat-Nya yang luas, sentiasa sedia menerima mereka yang ingin kembali kepada-Nya.



Comments
Post a Comment