TAK PERLU MASUK UNIVERSITI UNTUK JADI HAKIM
Dalam dunia digital yang serba pantas ini, tidak mustahil untuk melihat bagaimana media sosial telah mengubah landskap perbincangan awam. Setiap hari, isu-isu kontroversi seperti kes salah laku, pandangan politik, dan gaya hidup selebriti tersebar seperti api, mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pengguna media sosial. Tetapi sesuatu yang lebih besar telah berlaku, ramai individu tanpa kelayakan undang-undang kini berperanan sebagai "hakim" dalam dunia maya.
Kebangkitan platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Tiktok dan Instagram telah memberi ruang kepada semua orang untuk bersuara. Setiap individu, tidak kira latar belakang, usia, atau pendidikan, kini mempunyai suara yang boleh didengari oleh ribuan, bahkan jutaan orang. Seiring dengan itu, netizen telah mengambil peranan sebagai ‘hakim’, mengadili dan menjatuhkan hukuman terhadap pelbagai isu yang mereka temui di skrin telefon pintar mereka. Fenomena ini melahirkan istilah "hakim netizen", mereka yang menghakimi sesuatu situasi atau individu berdasarkan pandangan peribadi semata-mata, tanpa mengira kebenaran atau fakta yang jelas.
Pelik tetapi benar, di media sosial, semua orang kelihatan seperti pakar undang-undang. Setiap kali ada isu, ratusan "hakim" muncul memberikan hukuman mereka, sama ada melalui komen sinis atau sindiran pedas. Mereka tidak perlu memakai jubah hakim, apatah lagi masuk ke dewan mahkamah. Cukup sekadar memiliki akaun media sosial dan jari yang pantas akan menaip.
Konsep "perbicaraan" dalam dunia maya tidak memerlukan bukti kukuh, ia hanyalah berdasarkan pandangan popular majoriti. Asalkan ada yang bersuara dahulu, maka ramailah yang mengikut. Lebih menyedihkan, apabila ramai netizen tidak menyedari bahawa tindakan mereka sering kali bersifat emosional dan tidak adil. Hakim netizen ini cenderung untuk menghukum tanpa memahami keseluruhan situasi, dan lebih kerap, tanpa mengetahui fakta yang sebenar. Akibatnya, ramai yang menjadi mangsa kepada "hukuman" yang tidak berasas. Ibarat peribahasa, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga", sekali persepsi buruk terhasil, tiada ruang untuk pemulihan.
Bagaimana fenomena ini boleh terjadi? Mungkin kerana media sosial memberi ilusi bahawa kita mempunyai kuasa. Kita berasa bahawa dengan ‘likes’ dan ‘shares’, suara kita mempunyai pengaruh yang besar. Namun, persoalan yang timbul adalah: sejauh manakah keadilan ditegakkan apabila "hakim-hakim" ini mengadili tanpa ilmu atau keadilan sebenar? Adakah tindakan menghukum tanpa memahami konteks dan kebenaran merupakan bentuk keadilan yang kita mahukan?
Peranan hakim sebenar bukan hanya tentang menjatuhkan hukuman. Ia menuntut kebijaksanaan, kesabaran, dan pemahaman mendalam terhadap undang-undang serta konteks sesuatu isu. Hakim yang sah dilatih bertahun-tahun, mempelajari selok-belok undang-undang dan cara untuk memastikan keputusan mereka berdasarkan fakta dan bukti. Namun, dalam dunia media sosial, semua ini diketepikan demi kepuasan segera untuk memberikan pendapat dan penghakiman.
Akhirnya, fenomena "hakim netizen" ini memaksa kita merenung kembali konsep keadilan. Adakah kita benar-benar menghargai proses keadilan yang sebenar? Atau adakah kita lebih tertarik dengan sensasi, dengan keinginan untuk menghukum tanpa memikirkan akibat jangka panjang? Dalam era di mana informasi tersebar sekelip mata, kita harus bijak menilai dan memahami sesuatu isu dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar mengikut arus.
Mungkin betul kata orang: dalam dunia maya, tak perlu masuk universiti untuk jadi hakim. Tapi, adakah itu sesuatu yang patut dibanggakan atau dirisaukan?



Comments
Post a Comment