PENAT MENCARI BAHAGIA
Seorang lelaki berpakaian kemas sedang berbicara di telefon bimbit, jelas kelihatan gelisah. Di hadapannya, sebuah kereta mewah dengan bonet hadapan terbuka, menunjukkan ada masalah yang perlu diselesaikan. Barangkali dia sedang menghubungi seseorang untuk meminta bantuan. Tidak jauh dari situ, seorang lelaki tua duduk di bangku menunggu bas, memerhatikan dengan penuh minat.
“Assalamualaikum. Kenapa dengan kereta, nak?” tegur lelaki tua itu dengan suara yang tenang.
"Waalaikumussalam,” jawab lelaki tersebut sambil menghela nafas. “Kereta ini buat hal, dan saya ada temujanji penting jam 10 pagi. Biasanya bukan saya yang memandu, tetapi hari ini pemandu saya cuti sebab tak sihat. Saya pula terpaksa pandu sendiri.”
“Dah hubungi pomen?” tanya lelaki tua dengan lembut.
“Sudah, saya minta tolong pemandu saya uruskan. Dia sedang cari siapa-siapa yang boleh datang ambil saya.”
Lelaki tua itu tersenyum kecil. “Duduklah dulu, tenangkan diri. Semoga Allah permudahkan segala urusan anak.”
“Terima kasih, pakcik. Sudah lama saya tak bawa kereta, hari ini pula kereta buat hal.”
“Benda tak bernyawa ni, nak. Hari-hari guna, kadang-kadang memang akan ada masa dia bermasalah. Tak perlu risau sangat.”
Lelaki muda itu tersenyum tawar. Dia memandang lelaki tua yang kelihatan begitu tenang. “Pakcik nak ke mana sebenarnya?”
“Saya nak balik rumah. Baru lepas ziarah sahabat yang uzur di taman perumahan belakang tu,” jawab lelaki tua dengan tenang.
“Oh begitu. Pakcik nampak tenang je walaupun usia dah lanjut. Dulu pakcik kerja apa?”
“Kerja kerajaan. Baru tiga tahun pencen.”
“Lepas pencen tak buat apa-apa ke? Bisnes ke?” tanya lelaki itu, mungkin ingin tahu bagaimana lelaki tua itu menghabiskan masanya.
Lelaki tua itu menggeleng perlahan. “Sudah puas bekerja, nak. Sekarang beri tumpuan sepenuhnya kepada urusan akhirat.”
“Tapi pakcik nampak sihat lagi. Masih boleh berbisnes kalau nak.”
“Cukuplah. Sampai bila kita nak kejar dunia ni? Hidup ni sementara. Cari kesenangan pun untuk siapa? Akhirnya yang akan kita bawa pergi hanyalah amalan dan pahala,” balas lelaki tua itu, nadanya tenang namun sarat dengan pengertian.
Lelaki muda itu terdiam sejenak sebelum bersuara lagi, “Tapi kalau untuk anak cucu, tak salah kan, pakcik?”
“Tak salah, nak. Tapi di usia begini, harta yang paling berharga untuk mereka yang akan kita tinggalkan ialah nasihat dan peringatan tentang akhirat. Supaya mereka tidak hanyut dalam keasyikan dunia, tidak penat mengejar kebahagiaan yang hanya sementara, kerana sesuatu yang pasti ialah tarikh kematian yang menjadi rahsia.”
Lelaki muda itu mengerutkan dahi, seakan-akan mencari makna di sebalik kata-kata lelaki tua. “Salahkah kalau nak mencari harta untuk menikmati kebahagiaan? Bukankah bahagia itu suatu kepuasan setelah penat bekerja?”
“Anak, pada kamu, adakah bahagia itu semata-mata memiliki banyak harta?” lelaki tua itu bertanya dengan lembut, namun nadanya membawa erti yang mendalam. “Benarkah orang yang banyak harta itu pasti bahagia? Jangan lupa, bahagia itu harus datang bersamanya ketenangan. Kalau tidak, kita hanya mencari bahagia di mata orang lain. Bila orang memuji apa yang kita miliki, barulah kita rasa bahagia. Itu bahagia yang menipu, nak. Sebab kalau tiada yang memandang, nanti kita rasa gelisah kerana tiada yang peduli tentang kekayaan kita. Di mana perginya ketenangan kalau begitu? Itu hanyalah bahagia yang menipu.”
Kata-kata lelaki tua itu membekas di hati lelaki muda. Ada kebenaran yang mendalam, sesuatu yang mungkin sudah lama hilang dalam pencariannya terhadap dunia. Ketenangan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli dengan wang, dan kebahagiaan sejati tidak pernah hadir tanpa kedamaian jiwa.
“Anak, ingatlah, kebahagiaan sebenar tidak bergantung kepada harta. Aku telah hidup cukup lama untuk mengetahui bahawa kebahagiaan itu datang dari ketenangan jiwa dan hubungan yang bermakna dengan orang lain. Sifat qanaah, rasa cukup dan bersyukur dengan apa yang kita miliki, adalah kunci kepada kebahagiaan yang tulus."
"Ketika kita belajar untuk menghargai apa yang ada, kita mengurangkan rasa cemburu dan tekanan untuk bersaing dengan orang lain. Kebahagiaan tidak terletak pada berapa banyak yang kita miliki, tetapi pada bagaimana kita melihat hidup ini."
"Hiduplah dengan sederhana, hargai setiap detik yang ada, dan fokus pada perkembangan diri. Kebahagiaan sejati datang dari dalam, bukan dari pencarian material. Ingatlah, dalam setiap momen kecil, ada keindahan yang perlu kita syukuri. Itulah rahsia untuk hidup bahagia.”
Akhirnya, lelaki muda itu menyedari, bahagia tidak terletak pada apa yang kita miliki, tetapi pada bagaimana kita menghargai setiap detik hidup ini. Dengan itu, dia pulang dengan hati yang lebih tenang, mengingat kembali semua pengajaran yang diberikan oleh lelaki tua yang bijak itu.



Comments
Post a Comment