FITNAH: LUKA YANG TIDAK TERLIHAT, BEBAN YANG TIDAK TERTANGGUNG
Dalam episod wawancara saya di Dol Podcast, saya menyentuh satu isu yang sering berlegar di zaman dunia medsos, sebuah pengalaman yang hanya mereka yang pernah melaluinya benar-benar dapat memahami iaitu fitnah. Tuduhan yang tidak berasas, apatah lagi yang berbaur fitnah, boleh menghancurkan jiwa seseorang. Shuib, antara host, mengakui betapa beratnya tuduhan fitnah yang pernah dilemparkan kepadanya. Di wajahnya, saya melihat bekas-bekas luka emosi yang belum sembuh sepenuhnya. Kata saya, "Tuduhan itu lebih pedih daripada apa pun kerana ia meragut bukan saja maruah, tetapi juga kepercayaan orang terhadap kita."
Mengimbau kembali sejarah agung, tuduhan fitnah ini bukanlah sesuatu yang baru. Keluarga Rasulullah SAW pernah merasai keperitan yang sama. Aisyah r.a., isteri kesayangan Baginda, dituduh berzina dengan sahabat bernama Safwan bin Mu’attal. Betapa berat tuduhan itu hingga Rasulullah SAW, seorang yang terkenal dengan keadilan dan kebijaksanaan, hampir mempercayai desas-desus yang tersebar. Selama beberapa minggu, rumah tangga Baginda tertekan, malah umat Islam sendiri keliru. Hanya dengan turunnya wahyu dari Allah melalui Surah An-Nur, ayat 11-19, nama Aisyah dibersihkan dan kebenaran ditegakkan. Kisah ini adalah peringatan buat kita tentang betapa fitnah boleh meruntuhkan kepercayaan, hubungan, malah keutuhan komuniti.
Dalam dunia moden, perkara ini tidak jauh bezanya. Tuduhan palsu boleh menghancurkan kehidupan seseorang. Salah satu contoh tragis adalah kepada segelintir ahli-ahli Al-Ma’unah yang tiada niat untuk berperang dituduh sebagai pengkhianat negara. Fitnah ini menyebabkan mereka dipandang serong oleh masyarakat, tetapi juga oleh dunia. Agama Islam turut terpalit dengan tuduhan keganasan, seolah-olah tidak ada jalan damai dalam ajaran Islam. Fitnah ini semakin memburukkan keadaan, apatah lagi selepas tragedi, berlaku pula serangan ke atas World Trade Center di New York. Serangan tersebut membuka ruang bagi banyak tuduhan melulu terhadap Islam, mencetuskan gelombang prasangka yang mengaitkan Islam dengan terorisme.
Kononnya apa yang ingin diperjuangkan ketua Al Maunah adalah untuk menegakkan negara Islam, tetapi ada sesuatu yang kita perlu fahami. Dalam Islam, segala tindakan mesti bersandarkan hukum syarak. Ada satu kaedah fekah yang masyhur berbunyi,
الوَساَئِÙ„ُ Ù„َهأَ اَØْÙƒَأمُ الْÙ…َÙ‚َأصِد
“Semua wasilah (cara) baginya hukum berdasarkan matlamat yang hendak dicapai.”
Bermakna, walau apa pun matlamatnya, jika cara untuk mencapainya bertentangan dengan hukum, maka perbuatan itu tetap salah, apatah lagi tindakan tersebut melibatkan keganasan atau kekerasan, sekalipun kononnya untuk menegakkan kebenaran.
Imam Asy-Syaukani berkata, “Tidak harus melawan para pemimpin dengan pedang, selama mana mereka mendirikan solat.” Ini jelas menunjukkan bahawa tindakan kekerasan tidak dibenarkan selagi pemerintah masih memelihara asas-asas agama.
Dalam hidup, kita sering terjebak dengan prasangka, seolah-olah semua yang berlaku di permukaan adalah hakikat. Tetapi, seperti yang saya kongsikan, hanya mereka yang pernah menanggung beban tuduhan fitnah memahami betapa pedih dan beratnya kesan tersebut.
"Saya mungkin tidak setanding dengan Aisyah r.a., yang namanya dibersihkan oleh Allah sendiri. Saya hanyalah seorang hamba Allah yang lemah, yang masih banyak dosa. Namun, apa yang diharapkan hanyalah keadilan dan ruang untuk menjelaskan kebenaran."
Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mamat Sepah atas jemputannya ke podcast ini, serta kepada Syuk yang begitu bersemangat mengajukan soalan-soalan menarik. Pada awalnya, saya agak berat hati untuk menerima jemputan, namun setelah difikirkan, ini adalah peluang terbaik untuk menjernihkan segala kekeliruan yang berlegar. Meskipun saya tidak setanding dengan Aisyah r.a., yang maruahnya dibela oleh wahyu, sekurang-kurangnya saya diberikan ruang untuk menjelaskan situasi sebenar.
Sebagai penutup, fitnah itu lebih tajam daripada pedang, dan sekali ia dilontarkan, luka yang berparut ditinggalkan, mungkin tidak akan sembuh. Saya berharap, kisah ini menjadi peringatan buat semua, agar kita berhati-hati dengan tuduhan yang kita lemparkan, dan sentiasa mencari kebenaran sebelum mempercayai apa yang kita dengar. Fitnah bukan sekadar kata-kata ia adalah racun yang merosakkan segala-galanya.
Allah ada berfirman, “kerana fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” Al Baqarah 191.



Comments
Post a Comment