RAMADHAN DISEBALIK TIRAI BESI
Di dalam penjara, segala-galanya terbatas, langkah, suara, keinginan bahkan harapan. Namun, satu perkara yang tidak pernah terbatas ialah masa. Masa tetap berlalu, sama ada kita bersedia atau tidak.
Aku masih ingat pertama kali menyambut Ramadan di sebalik tirai besi. Tiada azan yang berkumandang merdu dari corong masjid. Tiada juadah lazat terhidang di meja seperti di rumah. Tiada suara riang anak kecil berlari-lari menunggu waktu berbuka. Hanyalah dinding kusam, pintu besi berat, dan wajah-wajah yang memendam seribu cerita.
Makanan sahur diagihkan tepat jam 12 tengah malam. Nasi, ikan goreng, kuah dan sayur disuakan kepadaku dalam tray plastik berpenutup. Terlalu awal untuk makan, jadi aku hanya menyimpannya di sudut bilik kurungan. Saat jam hampir 5 pagi, aku bangun dengan sisa tenaga, membuka penutup tray itu, tetapi sebaik sahaja penutup diangkat, bau hanyir ikan goreng yang sudah basi menerjah hidung. Aku hanya mampu menarik nafas panjang.
Pagi itu aku hanya bersahur dengan sekeping roti semalam yang berbaki. Tiada pilihan lain. Aku kunyah perlahan-lahan dengan penuh rasa keinsafan yang mendalam. Betapa selama ini aku tidak pernah terfikir, bahawa rezeki yang sering aku abaikan sebenarnya adalah nikmat yang terlalu besar.
Berbuka puasa juga dalam suasana yang sederhana. Jam 6 petang makanan diagihkan, menu hampir sama seperti sahur, cuma lauk silih berganti antara ayam, daging atau telur rebus. Ayamnya bersaiz kecil, sekadar sebesar tiga jari. Tetapi ketika itu, siapa aku untuk mengeluh? Jika di luar, mungkin aku akan merungut kerana lauk tidak cukup enak atau bahagian terlalu kecil. Tapi ketika terkurung, setiap suap makanan adalah hadiah.
Penjara mengajarku erti sabar. Sabar dalam menghadapi kesukaran, sabar dalam menerima ketentuan, sabar dalam menahan gelombang emosi yang kadang-kadang hampir meruntuhkan keimanan. Aku teringat firman Allah dalam Surah Ali 'Imran, ayat 200:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaranmu..."
Di sini, sabar bukan sekadar perkataan, tetapi bekalan untuk bertahan. Jika tidak, tempoh hukuman yang panjang boleh merobek kewarasan akal dan melemahkan jiwa.
Namun, selain sabar, penjara juga mengajarku tentang syukur. Betapa selama ini aku lalai dalam menghargai nikmat-nikmat kecil yang Allah berikan. Makan di atas meja dengan keluarga, memilih makanan yang ingin dimakan, menikmati tidur yang lena tanpa suara besi pintu berkeriut semuanya nikmat yang aku anggap biasa dahulu.
Allah telah berjanji dalam Surah Ibrahim, ayat 7:
"Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan tambahkan (nikmat) kepadamu. Tetapi jika kamu kufur (tidak bersyukur), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih."
Aku kini faham, syukur bukan hanya diucapkan dengan lisan tetapi dirasakan dengan hati dan diterjemahkan dengan tindakan. Syukur itu adalah menerima setiap yang diberi, sekecil mana pun, dengan penuh redha dan insaf.
Mungkin bagi sesetengah orang, Ramadan di penjara adalah sebuah kehilangan, kehilangan kebebasan, kehilangan nikmat dunia. Tetapi bagiku, ianya adalah satu peringatan. Bahawa dalam keterbatasan, Allah masih memberi. Dalam kesulitan, Allah masih menyayangi. Dan dalam kepayahan, Allah masih membuka pintu harapan.
Setiap kali Ramadan menjelang, kenangan saat mengharunginya di sebalik tirai besi kembali menggamit jiwa. Di dalam ruang yang terbatas, aku belajar bahawa sabar bukan sekadar menunggu, tetapi bertahan dengan keimanan. Syukur pula bukan hanya pada kelimpahan, tetapi pada sekecil-kecil nikmat yang sering terlepas pandang.
Di dalam jasad yang terkurung, aku menemui kebebasan hati, kerana di situlah aku benar-benar mengenal erti sebuah kesabaran dalam mensyukuri segala nikmat.


Comments
Post a Comment