DISAAT PALING GENTING, HANYA INI YANG KITA PERLUKAN
Malam itu, Aisyah r.a. mendekati Rasulullah ﷺ dengan sebuah pertanyaan yang besar maknanya.
"Wahai Rasulullah, jika aku mengetahui malam itu adalah lailatul qadar, apakah yang harus aku ucapkan?"
Bayangkan, seorang isteri yang sangat mencintai suaminya, seorang mukminah yang begitu menginginkan keredhaan Allah, bertanya mengenai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam yang setiap hamba menanti-nanti untuk memohon segala yang dihajati. Dan Rasulullah ﷺ, insan yang paling memahami rahsia kehidupan, memberikan jawapan yang penuh makna:
"Ucapkanlah: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي"
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memberi keampunan, maka ampunilah aku." (HR. Tirmizi, Ibnu Majah)
Seandainya Rasulullah ﷺ mahu, Baginda boleh menyuruh Aisyah meminta rezeki yang luas, kesihatan yang baik, atau kehidupan yang bahagia. Namun, Rasulullah ﷺ mengajarkan sesuatu yang jauh lebih berharga iaitu memohon keampunan Allah.
Hakikat Keampunan Lebih Besar Daripada Segala Hajat
Berapa ramai di antara kita yang, ketika datangnya malam-malam terakhir Ramadan, sibuk dengan doa-doa yang berkisar tentang dunia? Kita meminta pekerjaan yang lebih baik, kesihatan yang berpanjangan, kejayaan dalam kehidupan dan itu semua tidak salah. Tetapi di sebalik semua itu, kita mungkin lupa bahawa dosa-dosa yang kita lakukan sepanjang hidup inilah yang sebenarnya lebih berat kesannya daripada apa yang kita kejar di dunia ini.
Dosa yang belum diampunkan boleh menjadi penghalang rezeki. Ia boleh menyebabkan hati kita gelisah tanpa sebab, jiwa kita terasa kosong dan kebahagiaan yang kita kejar tidak pernah terasa cukup. Lebih dahsyat, dosa yang tidak dibersihkan akan menjadi beban yang kita bawa ke akhirat, hari di mana tiada seorang pun mampu membantu kita melainkan rahmat Allah.
Di dunia ini, kita mengutamakan kesihatan fizikal. Kita sanggup membelanjakan wang yang banyak demi merawat penyakit, mencari doktor terbaik, mengambil suplemen, dan mengubah gaya hidup. Kita tahu bahawa tanpa kesihatan, segala harta dan kemewahan menjadi tidak bermakna.
Tetapi bagaimana dengan kesihatan rohani kita? Di akhirat kelak, tubuh kita tidak lagi menjadi keutamaan, tetapi roh dan amalan kitalah yang akan menentukan segalanya. Pada hari itu, keampunan Allah ibarat satu-satunya ubat yang dapat menyelamatkan kita dari azab yang tidak terbayangkan.
Firman Allah dalam Surah Az-Zumar, ayat 53:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
Kesempatan Masih Ada
Selagi nafas masih di dada, pintu taubat masih terbuka. Diri kita penuh dengan selaput dosa, tetapi kita masih berpeluang untuk kembali. Jangan biarkan dunia mengalihkan perhatian kita daripada perkara yang lebih utama. Jika lailatulqadar itu tiba, dan kita diberi kesempatan untuk bermunajat, ingatlah pesan Rasulullah ﷺ kepada Aisyah. Mohonlah keampunan dengan penuh pengharapan dan keikhlasan.
Kerana pada akhirnya, bukan harta yang menyelamatkan kita. Bukan pangkat yang memberi jaminan. Tetapi rahmat dan keampunan Allahlah yang menjadi penyelamat hakiki.
Semoga kita semua menjadi hamba yang diampuni dan dirahmati Allah. Aamiin.



Comments
Post a Comment