APABILA ISLAM HILANG GERUNNYA
Rasulullah ﷺ pernah bersabda bahawa akan tiba satu masa di mana umat Islam tidak lagi digeruni. Musuh-musuh Islam akan mengerumuni mereka seperti orang kelaparan mengerumuni hidangan. Mereka ramai, tetapi seperti buih di lautan tidak punya kekuatan, tidak punya arah, kerana dalam hati mereka ada penyakit wahn cinta dunia dan takut mati.
Hari ini, kita sudah melihat tanda-tanda itu. Islam bukan lagi dihormati, malah semakin dipandang rendah. Kritikan terhadap Islam bukan sekadar dari musuh-musuh luar, tetapi juga dari dalam kalangan kita sendiri yang lebih selesa mengutamakan kepentingan duniawi. Jika Islam hilang gerunnya, bukan salah musuh yang semakin berani, tetapi salah kita yang semakin lemah dalam mempertahankannya.
Namun, adakah kehilangan gerun ini bermaksud Islam semakin dibenci? Tidak. Islam bukan dibina atas dasar ketakutan, tetapi kasih sayang dan keadilan. Hormat-menghormati adalah tunjang utama, dan itu saya pelajari dengan cara yang tidak disangka di dalam penjara.
PELAJARAN DARI BLOK KUARANTIN
Di sebalik dinding besi Penjara Kajang, saya melihat bagaimana manusia yang nampak keras dan ganas, sebenarnya masih punya rasa hormat yang tinggi. Tiba di blok kuarantin, saya dimasukkan ke dalam satu bilik bersama dua orang banduan lain seorang Cina dan seorang India.
Banduan Cina itu penuh tatu di badannya, dan wajahnya bengis. Dalam hati, saya terfikir, ini pasti taiko besar di sini. Namun, sangkaan saya meleset apabila dia menegur dengan sopan, "Oh, abang kes al-Maunah ya, duduk hujung sanalah senang mahu sembahyang, kiblat arah sana."
Saya terkejut. Dia tahu kes saya, malah tahu arah kiblat! Mungkin daripada banduan sebelum ini. Saya mula berbual dengannya. Dia bukan orang jahat seperti yang saya bayangkan. Dia kes dadah ada sakit asma, baru balik dari hospital.
Dalam bilik yang kecil itu, saya melihat pelbagai gelagat manusia. Banduan India yang bersama kami cuba mengeluarkan duit yang diseludup dengan menelannya sebelum masuk ke penjara. Muntah tidak berjaya, esoknya dia terpaksa mencari dalam najisnya sendiri. Jijik? Ya. Tapi bagi mereka, itu harga sebuah keselesaan. Duit dalam penjara lebih bernilai daripada sekadar kertas ia adalah kehidupan.
Namun, satu perkara yang membuatkan saya benar-benar tersentuh ialah ketika masuknya waktu solat.
"Ada bunyi azanlah. Sudah boleh sembahyang," kata banduan Cina itu kepada saya.
Saya tersenyum dan bersiap untuk solat. Tiba-tiba, dia menoleh kepada banduan India tadi dan berkata, "Hei kawan, jangan bising ya. Itu abang al-Maunah mahu sembahyang."
Di luar penjara, orang bukan Islam semakin berani menghina Islam. Tetapi di dalam penjara, seorang lelaki Cina yang bertatu penuh dan wajah bengisnya masih tahu menghormati agama saya.
ISLAM PERLU DIKEMBALIKAN DENGAN KASIH SAYANG BUKAN KEBENCIAN
Jika Islam hari ini hilang gerunnya, adakah jalan untuk mengembalikannya ialah dengan kebencian dan kemarahan? Tidak. Islam itu sendiri datang sebagai rahmat untuk seluruh alam. Kita tidak akan menang dengan membalas kebencian dengan kebencian, tetapi dengan membina kembali nilai hormat dan kasih sayang dalam masyarakat.
Saya belajar sesuatu dari penjara, hormat bukan datang dari status, bangsa, atau agama. Ia datang dari hati. Jika seorang banduan Cina yang berpenampilan kasar masih boleh menghormati solat saya, mengapa di luar sana manusia yang lebih berpelajaran gagal memahami erti toleransi?
Islam tidak lemah kerana musuhnya kuat. Islam lemah kerana umatnya lupa bagaimana untuk menjadi kuat dengan akhlak dan iman. Jika kita mahu Islam kembali dihormati, kita harus bermula dengan diri sendiri, bela maruahnya dengan lebih berhemah supaya menjadi umat yang dihormati, bukan sekadar mahu digeruni.



Comments
Post a Comment