DI PERSIMPANGAN TEKNOLOGI DAN HUKUM: KE MANA ARAH KITA?

Ketika kecil, saya pernah menonton sebuah filem yang mengetengahkan kisah android, makhluk buatan manusia yang menyerupai manusia, tetapi tidak memiliki hati dan perasaan. Dalam filem itu, android tersebut pada awalnya dipercayai sebagai manusia biasa, namun akhirnya mengkhianati manusia lain demi kepentingan sesuatu yang lebih besar. Ketika itu, hati tertanya-tanya, "Mustahil perkara sebegini akan terjadi di dunia nyata. Mana mungkin ada robot yang boleh bertindak seperti manusia?"

Namun, hari ini, ketika saya duduk di hadapan komputer dan berbual dengan kecerdasan buatan (AI), saya mula merasakan bahawa dunia yang dahulu dianggap fiksyen kini semakin menghampiri realiti.

"Makin lama, AI ini semakin bijak. Dulu, kita hanya fikir robot akan buat kerja berat seperti di kilang, tapi sekarang AI sudah boleh menulis, bercakap, malah meniru suara manusia!" kata saya kepada rakan.

"Ya, betul. Sebab tu kita kena fikir, di mana kita nak letakkan hadnya? Kalau semua kerja diambil alih AI, manusia akan jadi terlalu bergantung atau lebih teruk, hilang kawalan sepenuhnya," jawab rakan saya menambah dengan wajah sedikit gusar.

Teknologi: Alat atau Penguasa?

Dalam dunia moden, teknologi berkembang dengan begitu pesat. AI sudah mula mengambil alih kerja-kerja manusia, dari perubatan hingga perkhidmatan pelanggan. Banyak kelebihan yang AI bawa, ia boleh membantu doktor dalam diagnosis penyakit, mengendalikan kenderaan tanpa pemandu, dan mengautomasikan tugas-tugas berat yang sebelum ini memerlukan tenaga manusia. Ini adalah perkembangan yang boleh memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Namun, ada sisi lain yang tidak boleh diabaikan. Bagaimana jika AI mula digunakan untuk membuat keputusan yang lebih besar? Jika manusia membiarkan AI menentukan hukum atau membuat keputusan dalam hal yang melibatkan nilai moral dan agama, adakah itu sesuatu yang patut dibimbangkan?

Ada satu prinsip penting dalam agama, iaitu manusia adalah khalifah di bumi. Teknologi adalah alat, tetapi jika manusia tidak bijak mengawalnya, ia boleh bertukar menjadi sesuatu yang merosakkan.

AI sememangnya berperanan besar dalam membantu kerja-kerja fizikal, namun batasannya harus jelas agar tidak mengambil alih urusan hukum dan nilai manusia. Hukum agama tidak boleh diputuskan oleh algoritma semata-mata kerana ia bukan sekadar berasaskan data dan logik. Sebaliknya, ia mengandungi nilai spiritual, hikmah, serta keadilan yang hanya dapat difahami oleh akal dan hati manusia.

Cabaran dan Tanggungjawab Manusia

Kita sering melihat dalam filem bagaimana dunia dikuasai robot, dan manusia hanya menjadi hamba kepada teknologi. Walaupun ia kelihatan seperti fiksyen, jika tidak dikawal dengan baik, AI boleh menjadi alat manipulasi yang merosakkan.

Sebagai contoh, AI kini boleh meniru suara dan wajah seseorang, menjadikan penyebaran maklumat palsu lebih mudah. Apa yang akan berlaku jika suara seorang tokoh agama dipalsukan untuk menyebarkan fatwa yang tidak benar? Atau jika AI digunakan untuk menulis teks hukum tanpa pemahaman sebenar terhadap konteks manusia?

Teknologi tidak salah, tetapi cara manusia menggunakannya yang menentukan sama ada ia menjadi manfaat atau bencana.

Saya terus memikirkan kebimbangan yang bakal berlaku, lalu timbul persoalan dalam dirinya tentang langkah yang perlu diambil. Saya tertanya-tanya, apakah yang boleh dilakukan untuk memastikan teknologi dimanfaatkan dengan baik tanpa melanggar batas yang sepatutnya?

Dalam isu ini perlu adanya keseimbangan, ianya adalah kunci utama. Menerima teknologi sebagai sebahagian daripada kemajuan itu penting, tetapi lebih penting untuk memahami batasannya. Kemajuan tidak seharusnya ditakuti, selagi ia selari dengan nilai dan hukum yang telah ditetapkan.

Teknologi bukan musuh, tetapi ia perlu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab. Teknologi boleh menjadi kawan yang baik, tetapi jika disalahgunakan, ia boleh menjadi tuan yang kejam.

Dan itu adalah keputusan yang harus dibuat oleh manusia sebelum terlambat.



Comments

Popular Posts