NON MUSLIM PUN BOLEH RASA TENANG
Kenangan ketika pertama kali melangkah ke Kompleks Penjara Kajang, saya duduk keseorangan di dalam bilik kurungan. Suasana sepi, hanya sesekali bunyi deruan angin luar melalui tingkap bilik dan gema langkah warden yang sesekali melintas. Tiba-tiba, dari bilik kurungan hadapan, seorang banduan dari Indonesia mula menyanyikan lagu "Berita Kepada Kawan" nyanyian Ebiet G. Ade. Suaranya merdu, seolah-olah penyanyi asal yang sedang melantunkan lagu itu secara langsung. Bait liriknya menusuk jauh ke lubuk hati, benar-benar menyentuh perasaan yang ketika itu sudah sedia dihimpit kesedihan.
"Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan... Sayang engkau tak duduk di sampingku, kawan..."
Lirik itu seakan berbicara tentang diri sendiri kesunyian, kehilangan, dan kesedihan yang menyesakkan jiwa. Tanpa sedar, air mata perlahan jatuh membasahi pipi. Kenangan silam datang bertubi-tubi dalam ingatan, membuatkan hati semakin pilu.
"Itu tanda Tuhan murka... Melihat tingkah kita... Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa..."
Di sebalik tirai besi ini, saya menyedari bahawa solat adalah satu-satunya tempat untuk menumpahkan segala perasaan. Setiap kali dahi menyentuh sejadah, ada rasa damai yang sukar digambarkan. Seakan-akan Allah sedang memeluk jiwa yang sedang mencari jalan pulang. Ritual ini bukan sekadar gerakan fizikal, tetapi satu penghubung antara hamba dan Penciptanya.
Teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat satu kes. Katanya, seorang banduan berbangsa India yang berada di hadapan bilik kurungannya pernah berkongsi sesuatu yang mengejutkan. Dia berkata, setiap kali melihat sahabat saya bersolat dia merasakan satu ketenangan yang sukar diungkapkan.
"Setiap kali selesai solat, saya perasan ada seorang lelaki India yang selalu memerhatikan saya dari kejauhan, setentang dengan bilik kurungan saya. Hampir setiap kali saya bersolat, dia pasti ada, memandang dengan penuh perhatian," cerita sahabat saya.
"Satu hari, saya memberanikan diri untuk bertanya, 'Kawan, saya perasan setiap kali saya sembahyang, awak selalu melihat saya. Kenapa ya?'"
Lelaki India itu tersenyum sebelum menjawab perlahan, "Maaflah kawan, bukan niat saya mengganggu. Tapi setiap kali saya melihat awak sembahyang, hati saya rasa sangat tenang..."
Benarlah apa yang difirman oleh Allah dalam Al-Quran:
"Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." (Surah Ar-Ra’d: 28)
Dan dalam ayat lain, Allah berfirman:
"Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Taha: 14)
Kedua-dua firman ini seakan saling melengkapi. Solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk bukan sahaja mendamaikan hati yang resah, tetapi ketenangan itu juga dapat dirasakan oleh orang lain yang melihatnya.
Mungkin inilah hikmah terbesar yang dipelajari di sebalik dinding penjara. Bahawa sebesar mana pun kesilapan yang dilakukan, selagi masih ada solat, masih ada ruang untuk kembali. Bahawa ketenangan bukan terletak pada kebebasan fizikal, tetapi pada kebebasan jiwa yang kembali mengingati Tuhannya.
Bahawa dalam dunia yang penuh gelora ini, tempat kembali yang paling menenangkan adalah di hadapan Allah, dalam sujud yang penuh keikhlasan. Kerana di situ, ada ketenangan yang tiada tandingannya.



Comments
Post a Comment