MEREKA BUNUH WATAK, KITA HILANG NILAI: KESAN HALUS FILEM PADA MASYARAKAT

Pernahkah kita menonton sebuah filem dan secara tidak sedar mula membentuk persepsi terhadap sesuatu kumpulan, golongan, atau individu tertentu? Dalam dunia perfileman dan drama, watak-watak direka untuk menimbulkan emosi, sama ada rasa benci, simpati, marah, atau kagum. Namun, apabila sesuatu golongan sering dipaparkan dengan imej yang negatif, ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu bentuk pembunuhan karakter atau killing character yang mampu meracuni minda bawah sedar masyarakat.

Bagaimana Filem Memanipulasi Persepsi?

Filem dan drama memiliki kuasa besar dalam membentuk pemikiran manusia. Mesej yang disampaikan secara berulang akan tertanam dalam minda bawah sedar penonton. Dalam psikologi, ini dikenali sebagai priming effect apabila seseorang sering dikaitkan dengan sesuatu imej atau tingkah laku tertentu, ia akhirnya menjadi kepercayaan umum.

Sebagai contoh, jika setiap kali seorang pendakwah dalam filem digambarkan sebagai hipokrit, jahat, atau mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi, masyarakat mula menerima gambaran bahawa pendakwah memang begitu sifatnya. Walaupun ada banyak pendakwah yang baik, imej yang ditanam oleh filem lebih mudah melekat dalam minda masyarakat.

Begitu juga dengan watak-watak lain:

  • Polis sering digambarkan sebagai korup.

  • Golongan kaya sering ditampilkan sebagai penindas.

  • Wanita berhijab sering diberikan watak lemah atau tertekan.

  • Orang miskin sering distereotaipkan sebagai pemalas dan tidak berusaha.

Jika hanya satu atau dua filem yang memaparkan imej sebegini, mungkin ia boleh dianggap sebagai kebetulan. Namun, apabila ia menjadi trend dalam industri perfileman, ia boleh membentuk pemikiran kolektif masyarakat.

Kesannya Terhadap Masyarakat

Naratif yang berat sebelah dalam filem boleh menyebabkan:

  1. Prejudis tanpa sedar – Seseorang boleh membentuk pandangan negatif terhadap golongan tertentu tanpa bukti kukuh, hanya kerana filem yang ditonton.

  2. Membina stereotaip yang merosakkan – Individu yang sepatutnya dihormati boleh kehilangan kepercayaan masyarakat hanya kerana imej yang sering dimainkan dalam media.

  3. Menanam ketakutan atau kebencian – Contohnya, seseorang mungkin mula curiga terhadap pendakwah yang berjubah hanya kerana sering melihat imej buruk mereka dalam filem.

  4. Mengubah nilai masyarakat – Jika filem hanya menunjukkan orang jujur sebagai orang bodoh yang mudah ditipu, lama-kelamaan masyarakat akan hilang kepercayaan kepada nilai kejujuran.

Keseimbangan Dalam Penceritaan: Adil kepada Realiti

Filem sepatutnya mempunyai keseimbangan dalam memaparkan sesuatu watak atau golongan. Ya, memang wujud pendakwah yang menyalahgunakan agama, tetapi ada juga yang benar-benar ikhlas. Ada polis yang korup, tetapi ada juga yang jujur. Ada orang kaya yang menindas, tetapi ada juga yang pemurah.

Apabila hanya satu sisi yang dipaparkan, masyarakat akan membentuk pemikiran yang tidak seimbang. Justeru, industri filem perlu lebih bertanggungjawab dalam memberikan gambaran yang lebih realistik dan adil kepada semua pihak.

Sebagai contoh:

  • Jika ingin menampilkan seorang pendakwah yang jahat, tampilkan juga seorang pendakwah yang baik.

  • Jika ingin menunjukkan seorang pegawai kerajaan yang rasuah, tunjukkan juga seorang pegawai yang amanah.

  • Jika ingin memaparkan seorang lelaki kaya yang tamak, sertakan juga seorang hartawan yang dermawan.

Dengan keseimbangan seperti ini, penonton tidak akan terus membentuk stereotaip negatif tetapi akan lebih memahami bahawa manusia dinilai atas perbuatannya, bukan berdasarkan pakaian, pekerjaan, atau latar belakangnya sahaja.

Tanggungjawab Pengarah, Penulis Skrip, dan Penonton

Pengarah dan penulis skrip mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan karya mereka bukan sekadar mengejar kontroversi, tetapi juga mendidik masyarakat dengan naratif yang adil dan seimbang. Jangan hanya mencari sensasi dengan membunuh karakter sesuatu golongan kerana ia boleh membawa kesan buruk dalam jangka panjang.

Sebagai penonton, kita juga perlu lebih bijak dalam menilai apa yang ditonton. Jangan menerima bulat-bulat apa yang dipaparkan dalam filem sebagai realiti sebenar. Sebaliknya, fikir dengan kritis dan lihat dunia dari sudut yang lebih luas.

Kesimpulan

Filem adalah medium yang sangat berkuasa dalam membentuk pemikiran masyarakat. Namun, jika tidak dikawal, ia boleh menjadi alat untuk menanam kebencian, stereotaip, dan ketidakadilan dalam pemikiran kolektif manusia.

Kita tidak mahu generasi akan datang hidup dalam dunia yang penuh dengan prasangka hanya kerana naratif berat sebelah dalam media yang kita tonton hari ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi lebih sedar dan bertanggungjawab, sama ada sebagai pembikin filem atau sebagai penonton. Jangan hanya melihat apa yang dipaparkan di skrin, tetapi fikirkan juga siapa yang mengawal naratif itu, dan apa agenda di sebaliknya.



Comments

  1. Pembunuhan karakter yg paling jelas spt Ibu Tiri, Pembenci muzik, Wanita berhijab dan Pembela bahasa.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts