INI BUKAN LAW OF ATTRACTION, INI LAW OF RAHMAH

Ada sesuatu yang saya pelajari ketika berada dalam penjara sesuatu yang tidak diajar dalam kuliah akademik atau dibaca dalam buku motivasi.

Saya belajar erti redha, bila terpaksa berbuka puasa hanya dengan apa yang diberikan. Tiada bazar Ramadan, tiada senarai juadah dalam kepala. Cuma menunggu... dan menerima seadanya.

Kadang kala, ada NGO yang memberi sumbangan: sebekas bubur, dua tiga biji kuih, dan beberapa biji kurma. Itulah istimewanya hari itu. Saya belajar bersyukur dengan apa yang hadir, bukan merungut pada apa yang tiada.

Sahabat saya pernah berkata:

“Kita duduk dalam ni sebenarnya macam wali dah. Hidup kita penuh amal soleh. Mungkin ini cara Allah nak tarbiah kita jadi lebih baik.”

Saya hanya tersenyum. Kadangkala betul juga katanya. Bila semua nikmat dunia ditarik, tinggal hanya ruang untuk melihat wajah sendiri di hadapan Tuhan.

Pernah suatu hari, salah seorang teman saya berkongsi pengalaman aneh tapi benar.

“Aneh tau... kalau aku teringin sesuatu, mesti dapat.”

Katanya, pernah dia terasa nak makan nasi kerabu makanan yang hampir mustahil nak dapat dalam penjara. Tapi hari itu, seorang warden kebetulan membeli nasi kerabu sebagai bekalnya tetapi dia berikan padanya.

“Eh, dah sampai maqam wali lah tu,” gurau seorang lagi teman sambil tertawa kecil.

Kami semua tergelak. Tapi jauh di sudut hati, saya tahu… ini bukan Law of Attraction. Ini Law of Rahmah.

Antara Doa dan Daya Fikir

Inilah bezanya antara apa yang kita lihat dalam tauhid Islam dan apa yang diajar dalam Law of Attraction.

Kalau ikut New Age, mereka akan kata:

“Kawan kamu tu kuat getaran pemikiran dia. Dia fokus sangat pada nasi kerabu tu sampai kuasa daya tarikan keinginan dihantar padanya.”

Tapi sebagai Muslim, saya tahu hakikat sebenarnya:

Itulah rahmat Allah, yang mengetahui isi hati hamba-Nya, dan memberi mengikut kasih sayang-Nya.

Dia tidak memerlukan "tenaga getaran", tidak perlu "visualisasi", tidak perlu "alam semesta".

Cukup dengan sangka baik dan hati yang bergantung kepada-Nya.

Tapi Dengan Tauhid Nabi ï·º menyampaikan firman Allah:

“Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika dia bersangka baik, maka baginya. Jika dia bersangka buruk, maka baginya.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sangka baik bukan untuk memaksa takdir berlaku ikut kemahuan kita, tapi untuk reda dengan apa yang Allah tetapkan, sambil terus berdoa, berusaha dan bergantung pada-Nya.

Sangka baik adalah kekuatan yang menjadikan kita:

bersyukur bila diberi, 

sabar bila diuji, dan

yakin bila berdoa.

Kawan saya mungkin tidak mengenali konsep law of attraction, tapi dia tahu yakin dengan Allah, dan itu cukup untuk melihat keajaiban kasih Tuhan berlaku dalam hidupnya.

Dalam hidup ini, bukan semua yang kita minta akan diberi.

Tapi bila sesuatu yang kita harapkan tiba secara tidak disangka, jangan cepat sangka ia hasil “frekuensi minda” atau “kuasa tarikan”.

Kerana jika kita percaya fikiran kita yang mengatur dunia itu bukan kekuatan iman, tapi ilusi kuasa yang sangat halus tetapi menyesatkan kerana menafikan qudrat dan iradat-Nya.

Kembalilah kepada hakikat:

“Dan cukuplah Allah bagi orang yang bertawakkal kepada-Nya.”

(Surah al-Talaq, ayat 3)



Comments

Popular Posts