IBU TERASA, ANAK GELISAH

Ada waktu dan ketika dalam hidup seorang anak terutama ketika meningkat dewasa pasti berlaku sedikit sebanyak perselisihan dengan ibu. Mungkin kerana tidak setuju, mungkin kerana suara terangkat tanpa sedar. Mungkin kerana ego yang tak sempat dibendung.

Ibu pun diam. Tidak marah, tidak membentak. Cuma senyap. Tapi senyap seorang ibu itulah yang paling menakutkan.

Pada awalnya si anak rasa biasa sahaja. Tapi bila masa berlalu, bila ibu tidak menyahut seperti selalu, bila makanan terhidang tanpa suara yang biasa memanggil, hati anak mula tak tenang.

Hati berbisik, "kenapa ibu diam?"

Lalu datang rasa bersalah. Rasa ingin menebus. Lalu anak datang mendekat dan memohon maaf.

Dan selagi mulut si ibu tidak berkata, “Tak apa, ibu dah maafkan,” selagi itulah hati anak akan rasa seperti duduk di atas bara. Tak selera makan, tak lena tidur, tak tenang jiwa.

Begitulah perasaan seorang anak terhadap ibunya. Walaupun pernah tinggi suara, bila ibu mula menjauh, hati mula rapuh, hati mula resah.

Tapi kita lupa. Kalau dengan ibu yang kasihnya bersyarat, kita sudah rasa serba tak kena bila dia berkecil hati...

Bagaimana pula dengan Allah Tuhan yang kasih-Nya tak bersyarat, yang memberi rezeki walau kita derhaka, yang masih memberi nafas walau kita leka?

Kalau dengan ibu kita sanggup tunduk dan mohon ampun kerana tak sanggup dia menjauh...

Mengapa tidak kita menangis memohon keampunan Allah, bila dosa sering dilakukan, hidup mula terasa sempit, bila jiwa terasa kosong, bila doa terasa seperti melayang tanpa jawapan?

Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda:

"Allah lebih menyayangi hamba-Nya daripada seorang ibu terhadap anaknya." (HR Bukhari & Muslim)

Kalau dengan kasih ibu kita boleh tersentuh, apakah kita tidak mahu tersentuh dengan kasih Tuhan?



Comments

Popular Posts