RASA MANIS TANPA GULA
Pada 27-29 Julai 2025, telah berlangsung Kursus Bimbingan Pendidikan Al-Hikmah Siri ke-3 di Anuban Wangthong Islamic School, Koh Lanta, Krabi, Thailand. Kursus ini dianjurkan oleh Pusat Citra Al-Hikmah KDH dengan kerjasama SERI Sg. Ramal dan SRI Ummah. Penyertaan kali ini bukan sahaja melibatkan warga pendidik Sekolah Anuban Wangthong, tetapi turut disertai guru-guru dari Sekolah Krompinang, Yala.
Sumbangan wang ringgit, tenaga dan perkongsian ilmu daripada individu dan pelbagai agensi yang terlibat dalam memberikan sokongan bagi menjayakan kursus ini, diucapkan jutaan terima kasih.
📍 Menyentuh Hati dengan Alam
Hari pertama program diadakan di perkampungan kecil Aou Thong Lang, jauh dari hiruk-pikuk kota, di mana alam terbentang luas tanpa sekatan pandangan mata. Angin laut berhembus lembut, seolah turut menjadi saksi. Di situlah kami membawa para peserta menyelami pandangan ketuhanan melalui alam, agar mereka dapat melihat bukan sekadar pohon dan tanah, tetapi tanda-tanda kebesaran Tuhan yang hidup di sekeliling mereka.
Saya salah seorang yang ditugaskan menjadi fasilitator pada sesi permulaan. Di bawah teduhan sebatang pokok rambutan yang sedang berbuah ranum, saya mengajak peserta berhenti sejenak, memandang buah itu, dan berfikir:
"Lihat buah ini," saya berkata perlahan. "Manisnya semula jadi, warnanya menarik. Tanahnya sama dengan pokok lain, disiram oleh air yang sama, tetapi Allah memberi rasa yang berbeza pada setiap pokok yang berbuah. Siapa yang mencampurkan gula ke dalamnya? Siapa yang memberi aroma dan warnanya tanpa sebarang bahan tambahan?"
Saya berhenti sejenak, membiarkan mereka menatap buah itu dengan fikiran yang terbuka.
"Mampukah manusia menghasilkan sesuatu seperti ini hanya dengan tanah dan air yang sama, tanpa kuasa Tuhan?"
“…semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (Surah Ar-Ra’d: 4)
Wajah para peserta kelihatan berubah, seakan ada sesuatu yang menyentuh hati mereka. Namun dalam hati kecil saya terdetik, "Adakah mereka benar-benar menangkap maksud yang cuba saya sampaikan?" Dalam kumpulan ini, hanya dua orang sahaja yang memahami bahasa Melayu, salah seorangnya Ustaz Ayub, tenaga pengajar Anuban Wangthong yang berasal dari Yala.
"Ustaz faham tak apa yang saya cuba jelaskan?" tanya saya perlahan, bimbang mesej itu terhenti di tengah jalan.
Ustaz Ayub tersenyum sambil mengangguk. Saya meminta beliau menerangkan semula dalam bahasa Siam kepada rakan-rakan yang lain. Tidak lama kemudian, saya melihat satu demi satu wajah mula mengangguk perlahan, seakan-akan ada cahaya kefahaman menyapa hati mereka.
Mereka mula merenung dalam diam. Dari tanah yang sama, Allah menumbuhkan pelbagai jenis pokok buah-buahan, dengan rasa, warna dan bentuk yang berbeza. Tidak ada satu pun kilang di dunia yang mampu menghasilkan kemurnian manis tanpa gula pasir. Hanya Qudrat & Iradat Maha Pencipta, yang mengatur segalanya dengan ilmu dan hikmah yang tidak terjangkau akal manusia.
Saya kemudian bertanya kepada peserta, “Kenapa agaknya apabila kita berada di hutan, di tepi sungai, atau di tepi laut, hati kita terasa lebih tenang berbanding ketika berada di tengah kota?”
Pelbagai jawapan diberikan. Ada yang berkata kerana udara lebih segar, ada yang menyebut kerana banyak pokok, dan ada yang mengatakan bunyi deruan air memberi rasa damai yang sukar digambarkan.
Saya tersenyum dan berkata, “Tahukah kamu, seluruh alam ini hidup dengan zikir kepada Allah?”
Allah berfirman: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada-Nya. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan ia bertasbih memuji-Nya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.” (Surah Al-Isra’, 17:44)
Dan Allah juga berfirman: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d, 13:28)
Saya menatap mereka lalu berkata perlahan, “Mungkin ketenangan yang kita rasa di tengah alam ini adalah kerana hidupnya makhluk-makhluk ini dengan zikir mereka kepada Allah. Tasbih mereka menenangkan suasana, dan kita yang berada di tengah-tengahnya dapat menumpang rasa itu. Jiwa yang kusut tiba-tiba menjadi damai kerana alam sedang berzikir mengingati Tuhan yang sama kita sembah. Kita menumpang rasa tenang itu.”
Beberapa peserta tunduk. Semoga, mesejnya sampai ke hati. Alam bukan sekadar pemandangan yang indah, tetapi ayat-ayat Tuhan yang bertasbih tanpa henti, menyeru jiwa manusia agar kembali mengenal Pencipta dan merasai ketenangan hanya dengan-Nya.
🌍 Pelajaran Ketuhanan dan Amanah Khalifah 🌍
Kursus ini bukan sekadar menyedarkan mereka tentang hebatnya Pencipta alam, tetapi lebih jauh daripada itu mahu membangkitkan rasa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
Jika manusia mampu menikmati manisnya buah-buahan ciptaan Allah tanpa sedikit pun usaha mencipta rasa itu, bukankah sepatutnya manusia menjaga tanah yang menumbuhkan rezeki itu dengan penuh amanah?
Alam ini bukan milik kita untuk diratah sesuka hati. Ia milik Allah, yang dipinjamkan kepada kita agar kita menjaganya. Seperti kita menjaga anak yang kita sayangi, begitulah bumi ini perlu dijaga. Sebab bumi ini bukan sahaja tempat tinggal kita, tetapi juga lambang kasih sayang Allah yang menumbuhkan kehidupan tanpa kita minta.
















Comments
Post a Comment