HAMKA MEMBACA BUKU KARANGANNYA DI PENJARA
Ada satu kisah menarik tentang Hamka yang sering menjadi inspirasi. Ketika berada dalam penjara, Hamka, tokoh ulama dan penulis besar, dilihat membaca buku hasil karyanya sendiri. Perbuatan ini menarik perhatian seorang petugas penjara, yang bertanya,
"Pak Hamka baca buku sendiri?"
Dengan tenang dan bijaksana, Hamka menjawab, "Kalau saya sendiri tidak membaca dan tidak menghargai tulisan saya, bagaimana mungkin saya mengharapkan orang lain akan membacanya dan menghargainya?"
Jawapan yang penuh hikmah ini mencerminkan keyakinan Hamka terhadap penulisannya serta kesungguhannya dalam mencari hikmah di sebalik dugaan hidup, walaupun dalam suasana penjara yang suram. Di balik jeriji besi yang sunyi, Hamka tidak membiarkan dirinya terperangkap dalam takdirnya. Sebaliknya, beliau memanfaatkan masa tersebut untuk menulis dan menghabiskan karya terbesarnya, Tafsir Al-Azhar, sebuah tafsir Al-Quran yang lengkap dan terperinci, yang menjadi rujukan ramai sehingga ke hari ini.
Bayangkan, ketika orang lain mungkin melihat penjara sebagai tempat yang penuh kesengsaraan, Hamka menjadikannya tempat mencurah ilmu dan inspirasi, menulis tafsir yang kelak menjadi sumber pencerahan bagi umat Islam. Beliau tidak tenggelam dalam kesedihan atau kebosanan, malah menjadikan masa yang terhad itu sebagai ruang produktif untuk menguatkan jiwa dan ilmunya.
Kisah Hamka ini membawa satu pengajaran mendalam: dalam apa jua keadaan, keyakinan dan kesungguhan terhadap apa yang kita hasilkan akan memberi inspirasi untuk terus berusaha, tidak kira bagaimana keadaan kita. Malah, karya agung boleh lahir dari tempat yang paling gelap dan mencabar sekalipun.
Saya juga pernah mengalami situasi serupa, adakala asyik membaca buku tulisan sendiri, menelusuri tulisan-tulisan catatan lama. Kadangkala, kehidupan ibarat roda, kita berputar kembali ke tempat yang sama dan melalui peristiwa yang seakan-akan berulang, hanya dengan latar tempat dan watak yang berbeza.
Pada ketika inilah catatan hidup menjadi rujukan, mencari kekuatan dari pengalaman lalu. Begitu juga dengan Al-Quran, mukjizat agung yang ditinggalkan Rasulullah SAW. Ia menjadi panduan yang penuh dengan kisah sejarah, pedoman yang tak pernah lekang dimakan masa untuk generasi mendatang.
Alhamdulillah, buku Al-Maunah kini hampir kehabisan stok, terima kasih kepada semua yang telah menyokong. Ada yang bertanya, "Tidak mahu ulang cetak?" Buat masa ini, belum lagi. Saya sedang menumpukan perhatian pada penulisan buku baru yang lebih ilmiah, mengupas tentang makna jihad yang sebenar.




Comments
Post a Comment