SEMINAR PENYELIDIKAN EKSTREMISME DALAM KONTEKS MALAYSIA 2025

Alhamdulillah, selesai memenuhi undangan UniSZA dalam Program SEMINAR PENYELIDIKAN EKSTREMISME DALAM KONTEKS MALAYSIA 2025. Program ini menghimpunkan lebih 700 peserta merangkumi penjawat awam, para pendakwah, mahasiswa IPT, pelajar sekolah dan masyarakat setempat satu medan ilmu yang penting dalam menghadapi realiti semasa. Seminar ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), mewakili Ketua Setiausaha KDN. Manakala Ucaptama seminar disampaikan oleh SAC Ahmad Norisham bin Ma’arus (Ketua Cawangan Khas Kelantan) mewakili Timbalan Ketua Polis Negara.

Antara objektif utama seminar ini adalah untuk menyebarluaskan hasil penyelidikan ilmiah mengenai ancaman ekstremisme dalam konteks Malaysia, demi memelihara keselamatan negara serta memperkukuh kefahaman Islam berteraskan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersifat wasatiyyah.

Pada sebelah petang, Forum Khas Ekstremisme menampilkan barisan penceramah yang masing-masing membawa perspektif berbeza iaitu Dr. Abdullah bin Jalil (Pensyarah USIM) bekongsi pengalaman dalam proses pemulihan OKT ekstremisme, Khairul Anuar bin M. Ariffin (bekas kumpulan Al-Maunah) berkongsi pengalaman peribadi yang mendalam, En. Sudirman bin Arakani (bekas kumpulan DAESH/ISIS) mengupas taktik perekrutan dan pemikiran radikal, manakala Tuan Kennimrod Sariburaja dari SEARCCT bertindak sebagai moderator yang mengemudi perbincangan dengan cermat dan tersusun. 

Walaupun slot saya pada sesi petang, saya memilih untuk hadir sejak pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang mendengar pembentangan yang penuh nilai dari tokoh-tokoh penyelidik. Banyak input dan pencerahan yang membuka ruang muhasabah dan tindakan.

Dalam sesi penutup, saya tekankan satu perkara penting:

"Al-Ma’unah bukan contoh jihad sebenar, tetapi contoh kegagalan memahami fiqh wasilah dan maqasid."

Ungkapan arab الغاية تبرر الوسيلة 'Matlamat tidak menghalalkan cara', 

dan juga kaedah fiqh yang relevan:

"الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَامُ الْمَقَاصِدِ"

"Segala wasilah (jalan/cara) mengambil hukum berdasarkan matlamatnya."

Dengan itu, kita jelas bahawa:

Matlamat yang baik, maka jalan (wasilah) untuk mencapainya mestilah baik dan bertepatan dengan syarak.

Kita wajib membezakan antara semangat dan kejahilan, kerana semangat tanpa ilmu boleh membawa kepada kemusnahan dan paling berat memberi imej yang buruk terhadap agama.

Semoga seminar ini menjadi titik tolak kepada kefahaman yang lebih seimbang dan tindakan yang lebih bijaksana dalam menanggapi isu ekstremisme yang makin rencam.

#SeminarEkstremismeUniSZA
#FiqhJihad
#Wasatiyyah
#IlmuMendahuluiSemangat
#AlMaunahPengajaran 




Comments

Popular Posts