SELAWAT SEORANG BANDUAN

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pengurusan SERI Sg. Ramal kerana memberi peluang untuk berkongsi sedikit ilmu dalam bengkel penulisan buletin baru-baru ini. Sejujurnya, saya ini masih mentah, hanya sebulan jagung dalam dunia penulisan. Niat asal sebenarnya sekadar ingin membantu Tuan Hj. Rahman Mohd Yasin, penceramah utama hari itu. Tapi begitulah, adakala kita diberi ruang bukan kerana kita cukup hebat, tetapi kerana ada sesuatu yang Allah nak ajar atau sampaikan melalui kita.

Dalam hidup ini, kita memang tidak boleh lari daripada berkongsi. Berkongsi makan, kasih sayang, ilmu, rezeki… macam-macam lagi. Tapi ada satu hal yang ramai orang (terutamanya kaum hawa) memang keberatan untuk berkongsi, suami! Betul tak? 😁

Saya teringat satu kisah sewaktu saya dalam tahanan dulu. Di dalam sel saya, ada seorang pakcik yang ketika itu sudah menjalani hukuman 10 tahun penjara. Wajahnya tenang, tutur katanya lembut, dan dia seperti sudah menerima kehidupannya dengan redha. Ketika itu, lebih kurang sebulan saja lagi sebelum tarikh pembebasannya.

Namun, satu hari dia dipanggil ke pejabat rekod. Kami ingatkan itu urusan biasa. Tapi bila dia pulang ke sel, wajahnya berubah sugul dan hilang semangat. Katanya, dia akan dipanggil ke mahkamah semula kerana ada satu lagi hukuman rotan yang belum dilaksanakan. Dahulu, hukuman itu ditangguhkan kerana masalah kesihatan, dia ada darah tinggi. Tapi kali ini, katanya, pihak mahkamah akan menentukan sama ada rotan itu perlu dijalankan atau digantikan dengan tambahan hukuman penjara.

Pakcik itu nampak benar-benar buntu. “Macam mana ya, nak buat?” soalnya kepada saya. Jujurnya, saya pun tidak tahu apa yang mampu dibantu. Tapi, ketika itu teringat satu kisah dalam Mukhasyafatul Qulub, karya Imam al-Ghazali.

Kisahnya tentang seorang pemuda yang tawaf mengelilingi Kaabah sambil berselawat tanpa henti. Perbuatannya menarik perhatian seorang ulama besar, Sufyan al-Thauri. Apabila ditanya, pemuda itu menceritakan kisah ayahnya yang meninggal dalam keadaan jasadnya menjadi hitam legam akibat banyaknya dosa ketika hidup. Namun, berkat selawat yang tidak pernah lekang dari bibir, Allah datangkan Rasulullah SAW dalam mimpinya, memberi syafaat dan menjadikan jasad ayahnya kembali putih bercahaya. Sejak itu, dia tidak pernah berhenti berselawat.

Saya kongsikan kisah itu kepada pakcik tadi dan menyarankan supaya dia banyakkan selawat paling kurang seribu kali. Saya juga cadangkan dia bangun malam dan buat solat hajat. Alhamdulillah, beberapa hari selepas itu dia dipanggil semula… dan keputusannya, hukuman rotan itu dimansuhkan. Tiada tambahan penjara. Dia tetap dibebaskan mengikut tarikh asal.

Pengajaran?

Kadang-kadang kita rasa kita tiada daya upaya. Tak mampu tolong orang. Tapi satu kisah yang kita bawa, satu ingatan yang kita sampaikan, itulah asbab Allah beri jalan keluar pada orang lain. Dan lebih besar daripada itu, kita sendiri dapat rasa bahawa betapa hebatnya selawat. Ia bukan sekadar bacaan di bibir ia jemputan kepada rahmat.

Maka, kalau kita tidak tahu apa yang hendak dilakukan dalam kehidupan, mulakan saja dengan satu hal yang mudah, berselawat. Ia mungkin jadi jawapan kepada doa yang belum terjawab.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (Riwayat al-Bukhari)

Kerana satu ayat, satu kisah, atau satu nasihat boleh jadi penyebab hidayah sampai kepada orang lain… dan juga kepada kita sendiri, wallahuaklam.




Comments

Popular Posts