Kisah Gangster Thailand Jadi Pendakwah: Dari Dadah ke Dakwah

Ini adalah kisah benar seorang bekas gangster Thailand yang pernah hidup dalam jenayah, dadah, lokap, dan kini menjadi guru agama di Bangkok.

Perkenalan saya dengan Hamdoon berlaku secara tidak sengaja ketika mengendalikan kursus penyembelihan korban di sebuah sekolah di Koh Lanta, Krabi Thailand.

Senyumannya tenang. Kata-katanya sederhana. Tapi siapa sangka, lelaki ini pernah hidup dalam kelam yang paling gelap, sebelum rahmat Allah menyentuh hatinya.

Hamdoon kini seorang guru agama di Bangkok, Thailand tapi masa lalunya… sangat jauh dari cahaya.

Selepas tamat high school, dia hanyut. Pernah masuk ke empat buah universiti semuanya gagal terhenti ditengah jalan. Semangat belajar sekejap panas, sekejap sejuk. Rakan-rakan seusia sudah menggenggam ijazah, dia masih terumbang-ambing, hilang arah.

Dadah jadi teman harian. Bukan sekadar menagih, malah menjadi pengedar. "Macam makanan harian, cuma tidak pernah inject saja." katanya. Belum masuk cerita gangster, pukul orang, rompak, masuk keluar lokap. Hampir semua jenis dosa pernah dia cecah. Tapi anehnya, walau tenggelam begitu dalam… Allah masih belum lupakan dia.

MIMPI ITU...

Satu malam di bulan Ramadan, dia bermimpi. Cahaya putih muncul lembut, bersih. Suara dalam mimpi itu hanya berbisik tiga patah kata:

"Solat dulu, solat dulu, solat dulu."

Bangun dari tidur, dia bingung. Tanya ibu dan ayah, siapa yang kejutkan? Tapi tiada siapa pun. Hanya dia dan cahaya itu.

Tapi selepas mimpi itu pun, Hamdoon masih belum berubah. Solat hanya sekali seminggu, itupun solat Jumaat. Tapi hidayah itu, walau tidak terus mencetuskan perubahan mendadak, ia menyusup perlahan-lahan ke dalam hatinya. Benih cahaya hidayah sudah mula tumbuh.

KETIKA ALLAH MENGGERAKKAN HATI

Satu hari, selepas keluar dari lokap, dia jatuh sakit. Sakit yang membuatkan dia berkata kepada ibunya:

“Mak... rasa macam nak mati…”

Lalu dia mengucap dua kalimah syahadah beberapa kali hingga tertidur.

Keesokan paginya, tanpa tahu kenapa teringat kawan lamanya, Nasaie yang berada di Malaysia. Dalam masa yang sama, polis sedang mencarinya. Lalu, atas nasihat ibu bapa, dia tinggalkan Thailand dan naik kereta api menuju Malaysia.

HIJRAH YANG TIDAK TERANCANG

Sampai di Malaysia, dia menumpang rumah sahabatnya, Nasaie pelajar Usuluddin di KUIS. Masalah besar, Hamdoon cuma tahu berbahasa Siam. Dia jadi pendiam, termenung, terasing.

Tapi… satu perkara menakjubkan: KUASA SUASANA.

Melihat rakan serumah bangun Subuh, ulangkaji pelajaran, berbincang hal agama lama-kelamaan hatinya mula terbuka.

Satu pagi, dia bangun awal. Solat sunat sebelum Subuh. Kemudian sambung solat sunat lagi selepas Subuh, hingga ditegur oleh rakan. Hari itu menjadi permulaan.

PERUBAHAN ITU PAYAH - TAPI TIDAK MUSTAHIL

Dia belajar bahasa Inggeris di MMU. Kemudian mohon masuk KUIS dengan kelulusan High School dari Thailand. Diterima dalam program Ijazah Bahasa Arab. Tapi semua kuliah dalam Bahasa Melayu dan Arab. Dia hanya faham sedikit bahasa Inggeris.

Semester pertama? Gagal. Hampir putus asa.

Tapi Allah datangkan satu lagi bantuan Ustaz Imron yang kebetulan menyambung pelajaran di KUIS. Rupa-rupanya ustaz itu pernah berjanji dengan ibu Hamdoon untuk bantu dia. Kata-katanya jadi penyambung nyawa semangat.

Hamdoon gagal beberapa kali. Pernah berhenti. Tapi bangkit lagi. Berlanjutan... selepas 10 tahun, akhirnya dia tamatkan pengajian.

Kini, Hamdoon mengajar bahasa Arab di Bangkok. Dia juga berdakwah kepada orang dewasa dan mualaf. Dulu pernah mengajak orang ke jalan hitam, kini mengajak mereka kembali ke jalan Tuhan.

RAHSIA YANG BESAR - JANGAN SOMBONG

Saya teringat kata-kata agung Sayyid Ramadhan al-Buti:

"Selagi kamu tidak sombong, pintu hidayah Tuhan itu luas. Tetapi jika kamu sombong dengan Tuhan, maka pintu hidayah itu tertutup."

Dan firman Allah:

"Aku akan palingkan daripada ayat-ayat-Ku orang-orang yang menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar…"

(Surah al-A’raf, ayat 146)

Sombong itu bukan sekadar membangga diri tapi apabila seseorang merasa tidak perlukan Tuhan, terus hanyut dengan maksiat dan berbangga dengannya, itulah sombong paling halus dan paling berbahaya.

Sebaliknya, orang yang sedar dia berdosa, yang jatuh berulang kali tapi masih ingin bangun, yang hatinya masih resah dengan kegelapan mereka inilah calon kepada cahaya.

JANGAN PERNAH RASA TERLAMBAT

Kisah Hamdoon mengajarkan kita satu perkara:

Tiada siapa terlalu kotor untuk disucikan Tuhan. Selagi nyawa masih ada, selagi hati masih ingin kembali Allah takkan tutup pintu-Nya.

Kerana Tuhan kita… Tuhan yang membuka pintu taubat, walau kita belum sempat melangkah ke arahnya.

“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.”

(Surah al-Zumar, ayat 53)

Jika kamu pernah tersesat, pernah rebah, pernah hilang arah…

Ingatlah, kegelapan itu bukan tempat tinggal, tapi tempat kembali mencari cahaya.

Dan cahaya itu akan sentiasa datang kepada hati yang masih mahu mengaku: "Aku perlukan Tuhan..."



Comments

Popular Posts