BILA KORBAN HANYA TENTANG HARGA
Aku masih ingat satu perbualan yang terjadi di sebuah surau, beberapa minggu menjelang Aidiladha. Seorang jemaah yang baru balik kerja, duduk di sebelahku. Kami bersalaman dan berbual ringkas. Topiknya tak lari pasal korban.
Katanya, "Saya dah 'lock' seekor kambing dekat Afrika, murah. Tak sampai RM300 pun. Alhamdulillah, boleh jimat."
Aku angguk perlahan. Bukan sebab setuju, tapi sebab tak tahu nak jawab macam mana. Dia bukan tak mampu. Keretanya baru tukar model terkini. Kerap pergi bercuti, kadang-kadang luar negara. Tapi bila tiba bab korban dia pilih yang paling murah, paling jauh, dan paling tak menyakitkan hati.
Kenapa begitu ya? Kita sambut Aidiladha saban tahun, tapi semakin lama semangatnya semakin menipis. Korban kita hanya tinggal daging dan darah, tapi tidak lagi ada nilai ‘pengorbanan’.
Antara Ibrahim dan Kita
Bayangkan, Nabi Ibrahim AS diperintahkan menyembelih anaknya sendiri. Anak yang ditunggu selama puluhan tahun. Anak yang menjadi cahaya mata dalam usia tua. Tetapi apabila Allah perintahkan:
"Sembelihlah dia."
Tidak. Baginda tidak berkira. Tiada tawar-menawar. Tidak tunda-tunda.
Nabi Ibrahim tahu ini bukan soal darah, ini soal cinta. Soal sejauh mana hatinya sanggup taat. Dan akhirnya, Allah ganti penyembelihan itu dengan seekor kibas. Kerana Allah tidak mahukan darah, Allah mahu hati yang menyerah.
Dan Kita Hari Ini…
Tapi dalam masa sama, baju raya boleh tukar dua pasang. Meja makan penuh lauk. Gajet baru, kasut baru, langsir baru semua sanggup keluar ribu-ribu. Tapi bila bab korban untuk Tuhan, kita mula menawar. Kita cari yang paling ringan pada poket, bukan yang paling berat pada jiwa.
Adakah itu masih ‘korban’? Atau itu sekadar pelengkap adat tahunan?
Rasulullah S.A.W. Tunjuk Contoh
Baginda SAW apabila hendak berkorban, memilih haiwan yang terbaik. Bukan yang sekadar cukup syarat.
"Rasulullah berkorban dua ekor kibas besar, bertanduk, yang berwarna putih dan hitam, dan baginda sembelih dengan tangan sendiri."(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan dalam satu lagi hadis, baginda bersabda:
“Sebaik-baik korban adalah yang paling mahal dan paling gemuk.”(Riwayat Ahmad dan Hakim)
Hadis ini bukan nak suruh kita menunjuk-nunjuk. Tapi ia ajar kita untuk berkorban dengan yang paling kita sayang, bukan dengan yang paling kita tak kisah untuk lepas.
Bila Kita Berkira Dengan Tuhan
Pernahkah kita fikir, setiap kali kita berkira dengan Tuhan, bagaimana jika Tuhan juga berkira dengan kita?
Bagaimana jika nikmat yang kita dapat hari ini rezeki, anak, kesihatan, keamanan, Allah ambil balik sedikit demi sedikit sebab kita sendiri tidak bersyukur dengan sebenar-benar syukur?
Bersyukur bukan hanya dengan mulut. Ia juga dengan tindakan dan pengorbanan.
Korban Bukan Tentang Haiwan Sahaja
Hakikatnya, korban itu bukan sekadar darah yang tumpah. Tapi soal apa yang kita relakan untuk Tuhan.
Jika ada duit, tetapi memilih yang paling murah tanyakan pada hati, “Adakah aku sedang berkorban, atau sedang berjimat?”
Jika ada pilihan untuk sembelih sendiri di kampung, tapi kita pilih jauh di negara lain hanya sebab nak elak bau darah dan lumpur tanyakan, “Adakah aku sedang menyucikan jiwa, atau sedang melarikan diri dari penghayatan?”
Nilai Korban Bukan Pada Harga Pasaran, Tapi Harga Di Sisi Tuhan
Allah berfirman:
“Daging dan darah korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu.” (Surah al-Hajj, 22:37)
Dalam tafsir Ibn Kathir, disebut bahawa ayat ini turun untuk memperbetulkan tanggapan orang Arab Jahiliyyah yang menganggap sembelihan itu sekadar upacara simbolik. Padahal, Allah melihat hati yang ikhlas, bukan jumlah berat daging atau lokasi sembelihan.
Korban Yang Tidak Membekas, Adalah Korban Yang Gagal
Seorang sahabat pernah berkata padaku:
"Tahun lepas aku korban lembu, tapi rasanya seperti tak korban apa-apa pun. Sebab semua urusan buat online. Bayar dan tunggu sijil sampai."
Aku jawab perlahan:
"Sebab korban itu bukan sekadar sembelih haiwan. Ia kena sembelih juga keselesaan diri. Kena ada sesuatu yang kita rasa ‘sakit nak lepaskan’, barulah kita tahu kita sedang berkorban."
Maka wahai diri, bila tiba Aidiladha nanti tanya kembali:
“Apakah aku telah benar-benar berkorban, atau sekadar menyertai program korban?”
“Adakah Allah melihat takwaku dalam korban ini, atau hanya melihat aku mengira-ngira harga pasaran?”
- Get link
- X
- Other Apps



Comments
Post a Comment