KALAULAH LEMBU BOLEH BERCAKAP

Entah kenapa, setiap kali menghadiri program ibadah korban, hati ini selalu terasa berat. Tatkala lembu ditarik dengan kasar, dipukul, ekornya ditarik, tubuhnya ditindih beramai-ramai, dan kakinya dihimpit kayu hati saya merintih. Terasa seolah-olah kita sedang mempersiapkan seekor makhluk hidup untuk hukuman, bukan untuk ibadah yang seharusnya penuh rahmat dan ihsan.

Pernah saya melihat seekor lembu meraung sebelum disembelih, matanya merah, tubuhnya menggigil. Pisau yang digunakan pula tidak berapa tajam, menyebabkan proses sembelihan menjadi lambat dan menyakitkan. Saya bertanya dalam hati:

"Beginikah kita mempersembahkan ibadah kepada Allah? Di mana ihsan yang dituntut oleh agama?"

Kalaulah lembu itu mampu bersuara dalam bahasa manusia, barangkali ia akan mengadu seperti unta yang pernah datang kepada Rasulullah ﷺ.

Diriwayatkan dalam Musnad Ahmad dan Sunan Abu Dawud, daripada Abdullah bin Ja’far r.a., beliau menceritakan:

"Rasulullah ﷺ pernah masuk ke sebuah kebun milik orang Ansar. Tiba-tiba seekor unta datang dan mengeluarkan suara seperti tangisan. Air matanya berlinangan. Nabi ﷺ segera mendekatinya dan mengusap belakang telinganya hingga ia tenang. Lalu Baginda bertanya, 'Siapakah pemilik unta ini?' Seorang pemuda berkata, 'Saya, wahai Rasulullah.' Rasulullah ﷺ bersabda:

'Tidakkah kamu bertakwa kepada Allah dalam urusan haiwan yang dimiliki oleh tanganmu? Ia telah mengadu kepadaku bahawa kamu membiarkannya kelaparan dan membebaninya dengan kerja yang berat.'" (Hadis hasan sahih)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa haiwan bukan sekadar makhluk yang digunakan, tetapi makhluk yang perlu dilayan dengan kasih dan timbang rasa.

Menurut Pak Mus, seorang penyembelih berpengalaman, lembu yang diuruskan dengan kekerasan dan menyakitkan akan mengalami tekanan (stress) sebelum disembelih, ini akan menghasilkan daging yang keras dan kurang berkualiti. Dalam bidang veterinar dan sains makanan, hal ini diakui dan dibuktikan secara saintifik:

• Apabila haiwan stress, hormon adrenalin dan kortisol dilepaskan.

• Otot menjadi tegang, asid laktik meningkat, menyebabkan daging menjadi liat dan cepat rosak.

• Ini dikenali sebagai DFD (Dark, Firm and Dry Meat) — tanda kualiti daging yang rendah akibat tekanan sebelum sembelihan.

Bukankah Islam telah mendahului sains dalam hal ini?

Rasulullah ﷺ bersabda:

"Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Hendaklah kamu tajamkan pisau dan tenangkan haiwan yang akan disembelih."

(Riwayat Muslim, no. 1955)

Hadis ini menjadi prinsip asas etika sembelihan dalam Islam bukan sekadar sah di sisi hukum, tetapi berperikemanusiaan di sisi Tuhan.

Tanyalah diri sendiri:

Adakah kita sekadar menyembelih haiwan atau menyembelih hati nurani kita sekali?

Ketika lembu rebah menyembah bumi, apakah ia tunduk kepada takdir atau tunduk kepada kekejaman manusia?

Ketika kita mengangkat pisau, adakah kita bersedia memikul amanah Tuhan atau sekadar menamatkan nyawa tanpa belas?

Kita boleh belajar sesuatu daripada seekor unta yang menangis. Ia tidak mempunyai bahasa manusia, tetapi ia membawa aduan yang difahami Rasul yang penuh rahmat.

Jika haiwan boleh mengadu di dunia, bagaimana pula jika mereka menuntut hak di hadapan Allah nanti?

-------------------------------------------------

Setinggi-tinggi penghargaan buat Pak Mus yang sudi turun padang ke bumi Koh Lanta, Krabi, Thailand untuk berkongsi ilmu penyembelihan korban yang sangat berharga. Kehadiran beliau bukan sekadar membawa kepakaran, tetapi juga menyemai ruh ihsan dalam ibadah sembelihan yang kerap diabaikan aspek nilainya.

Seramai 25 orang peserta yang mewakili beberapa masjid dari sekitar Koh Lanta hadir dengan penuh semangat. Wajah mereka jelas terpancar keterujaan bukan sahaja kerana dapat menimba ilmu secara langsung, tetapi juga kerana menyaksikan satu teknik sembelihan yang begitu kemas dan berkesan. Bayangkan, hanya dengan dua orang sahaja, lembu dapat ditundukkan dengan mudah dan selamat, tanpa perlu kekasaran berlebihan. Kaedah ini bukan sahaja memudahkan urusan, malah sangat menghormati binatang yang bakal menjadi korban ibadah kita.

Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, umur yang panjang dan keberkatan rezeki kepada Pak Mus, agar beliau terus dapat menyumbangkan ilmu dan pengalaman yang begitu bernilai ini bukan hanya di Krabi, malah ke mana sahaja ilmu itu diperlukan.

Ketika menghantar Pak Mus di airport, dalam nada yang bersahaja tetapi penuh makna, Pak Mus berpesan sambil tersenyum:

"Jemput Ustaz Imran datang ke restoran saya, Jahhet Fine Meat, di Ampang. Ustaz Khairul, kalau Ustaz Imran sampai, tolong bawa dia ke sana, ya."

Satu jemputan yang bukan sekadar untuk menjamu selera, tetapi terasa seperti jemputan persaudaraan dari hati yang ikhlas, kepada hati yang ingin terus belajar.















Comments

Popular Posts