TOLONG SALAH, TAK TOLONG RASA BERSALAH

Ketika menunggu pintu dibuka untuk pelepasan penerbangan, saya perasan seorang lelaki warga Indonesia duduk tidak jauh di hadapan. Riak wajahnya tampak resah, seolah-olah ada sesuatu yang membebankan fikirannya. Hati kecil saya terasa tidak kena, tetapi saya diamkan sahaja.

Penerbangan ke Krabi sedikit lewat, tetapi tidak mengapa, asalkan tidak dibatalkan. Setibanya di Lapangan Terbang Krabi, sebelum pemeriksaan imigresen, saya singgah ke tandas sebentar. Sewaktu keluar, saya terserempak dengan ustaz Hairul Azha yang sedang berbual serius dengan seseorang. Saya perhati sekejap - ya, itu lelaki yang saya lihat di KLIA2 tadi!

"Ada masalah apa ni?" saya bertanya.

"Dia nak ke Kelantan, tapi beli tiket ke Krabi," jelas Ustaz Azha.

Saya terkejut. "Macam mana kamu boleh beli tiket ke Krabi? Kamu tahu tak, sekarang kamu sudah berada di Thailand?"

Lelaki itu menggeleng, wajahnya semakin gelisah. “Saya tidak tahu, Pak. Tiket ini orang lain yang uruskan. Bagaimana saya mahu ke Kelantan?”

Saya menghela nafas panjang. Ini bukan situasi biasa.

"Begini," saya menerangkan, "selepas cop pasport nanti, kamu boleh ambil teksi ke Hatyai. Dari Hatyai, boleh cari kenderaan ke Kelantan. Perjalanan lebih kurang lapan jam semuanya."

Wajahnya semakin keruh. "Berapa bayarannya? Saya hanya ada duit Malaysia."

"Tak apa. Dekat luar nanti ada money changer. Kamu boleh tukar duit di situ."

Dia terdiam seketika, kemudian menatap saya dengan penuh harapan. "Abang boleh tolong saya?"

“Boleh saya tahu kenapa kamu tidak terus masuk ke Malaysia dari KLIA2 tadi?” soal saya dengan nada lebih serius.

Lelaki itu teragak-agak sebelum menjawab. “Ejen saya kata kalau saya masuk dari KLIA2, saya akan ditahan. Saya pernah dihantar pulang sebelum ini. Jadi, mereka suruh saya masuk ikut Thailand dan masuk ke Malaysia melalui jalan darat.”

Dada saya berdebar. Ini sudah menjadi isu lain. Dia mahu masuk ke Malaysia secara tidak sah!

“Maaf, saya tak boleh tolong kamu,” jawab saya tegas. “Selepas cop pasport, pergi tukar duit dulu dan cari teksi.”

Ketika sedang beratur di kaunter imigresen, saya terdengar pegawai memanggil lelaki itu ke satu sudut untuk soal siasat. Saya cuba mengelak daripada memandangnya, bimbang jika dia menyebut nama saya sebagai ‘orang yang membantu’.

Tiba giliran pemeriksaan passport. Pegawai imigresen memandang saya dengan teliti.

"Are you coming alone or with a group?"

"Group," jawab saya.

"Where is your group?"

Kebetulan ustaz Hairul berada di kaunter sebelah, saya menunjuk ke arahnya dan memaklumkan tiga orang lagi sudah melepasi pemeriksaan.

"How many days are you here?"

"Three days."

"Can I see your return ticket?"

Alamak. Saya terlupa nak cetak tiket. Semua ada dalam telefon, tetapi internet pula tiada. Saya terkial-kial membuka aplikasi AirAsia. Bila dapat tiket, saya terus tunjuk. Pegawai itu mengambil gambar dan mengecop pasport saya. Bila saya lihat semula telefon, barulah saya perasan itu tiket ustaz Hairul ke Krabi, bukan tiket pulang saya! Tapi, nasib baik saya sudah melepasi pemeriksaan.

Saya agak kerap ke Krabi, tetapi ini kali pertama saya ditanya begitu terperinci oleh pihak imegresen, adakah kerana saya berbual dengan lelaki Indonesia tadi?

Keluar dari lapangan terbang, saya menarik nafas lega. Namun, tiba-tiba, pemuda Indonesia tadi muncul di sebelah saya.

"Eh, kamu dah tukar duit?" tanya saya.

"Belum, abang."

"Money changer ada kat dalam tadi. Pergi tukar dulu," saya cepat-cepat memotong kata-katanya. Dari riak wajahnya, saya tahu dia mahu meminta bantuan lagi.

Dia teragak-agak, tetapi akhirnya berlalu pergi. Saya pula tidak mahu menunggu lebih lama. Kami segera bergerak ke kenderaan untuk meninggalkan lapangan terbang.

Sepanjang perjalanan, fikiran saya berkecamuk. Kadang-kadang, kita berada dalam dilema. Hendak tolong, takut salah. Tak tolong, rasa bersalah. Namun, ada garis yang tidak boleh kita langgar. Kita boleh bersimpati, tetapi jangan sampai kita terjerat dalam masalah yang bukan kepunyaan kita. Yang terbaik adalah membantu sekadar yang mampu tanpa melibatkan diri dalam perkara yang boleh membawa mudarat.



Comments

Popular Posts