DISEBALIK KEHEBATAN WARGA EMAS
Melihat perkembangan pesat di Anuban Wangthong School, terasa bagaikan satu keajaiban. Dahulu, sekolah ini hanyalah sebuah institusi kecil yang serba kekurangan, prasarana yang terbatas, bilangan pelajar yang sedikit, serta kekangan tenaga pengajar agama. Keadaan sekolah ketika itu tampak dhaif, jauh dari gambaran sebuah institusi pendidikan yang kukuh. Namun, dengan izin Allah, sedikit demi sedikit bantuan-Nya hadir.
Berkat kesabaran Ustaz Imran selaku mudir dan para guru, keyakinan masyarakat terhadap pendidikan Islam, serta kehadiran pelajar-pelajar dewasa yang menjadi tulang belakang sekolah ini menjadikan Anuban Wangthong semakin berkembang dan mendapat kepercayaan penduduk sekitar. Kini, permintaan untuk menghantar lebih ramai anak-anak belajar di sini semakin meningkat, malah masyarakat turut berharap agar sekolah bersedia menerima pelajar peringkat menengah.
PELAJAR DEWASA (WARGA EMAS): TULANG BELAKANG KEMAJUAN SEKOLAH
Ketika diberi peluang untuk berucap dalam satu majlis bersama para pelajar dewasa, saya menegaskan bahawa kejayaan dan kemajuan sekolah ini bukan hanya hasil usaha guru dan masyarakat, tetapi juga kerana keberadaan pelajar-pelajar dewasa. Menurut Ustaz Imran, selaku mudir dan tenaga pengajar kelas dewasa, pelajar paling tua di sini mencecah usia 80 tahun.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Sesungguhnya kamu diberi pertolongan dan rezeki kerana adanya orang-orang lemah dalam kalangan kamu." (Riwayat Bukhari, no. 2896)
Secara fizikal, orang tua mungkin kelihatan lemah, tetapi mereka sangat dekat dengan Allah SWT kerana keikhlasan dan doa mereka. Doa mereka menjadi asbab kepada keberkatan yang melimpah di sekolah ini. Sejarah telah menunjukkan betapa peranan golongan ini amat besar dalam memastikan sesuatu institusi terus berkembang dan mendapat pertolongan Allah.
Hal ini dikuatkan lagi kaifiat dalam ibadah solat istisqa’ (solat mohon hujan). Dalam kitab Al-Majmu’, Imam Nawawi menyebut:
"Dianjurkan membawa keluar orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak, serta binatang ternakan agar tangisan dan kelemahan mereka menjadi asbab turunnya rahmat Allah."
Hal ini menunjukkan bahawa kehadiran golongan tua dalam sesuatu perjuangan bukanlah satu kelemahan, tetapi kekuatan yang mengundang rahmat dan pertolongan Allah SWT. Di Anuban Wangthong, kehadiran pelajar dewasa bukan sahaja sebagai penuntut ilmu, malah sebagai pembawa keberkatan yang membantu kemajuan sekolah ini.
Kini, bagi memenuhi permintaan masyarakat dan perkembangan sekolah yang semakin pesat, pihak pengurusan Anuban Wangthong mengambil satu langkah besar iaitu membina bangunan tambahan bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat. Proses pembinaan sedang giat dijalankan, namun cabaran tetap ada, terutama dalam aspek kutipan dana yang masih belum mencukupi.
Institusi pendidikan Islam sering kali berkembang hasil usaha kolektif masyarakat yang ingin melihat generasi muda mendapat pendidikan berlandaskan nilai-nilai agama. Sejarah membuktikan bahawa institusi seperti Madrasah Darul Ulum Deoband di India dan Pondok Pesantren di Nusantara bermula daripada ruang kecil dengan tenaga pengajar yang terhad, tetapi akhirnya berkembang menjadi pusat keilmuan Islam yang melahirkan ramai ulama. Begitu juga harapan kita terhadap Anuban Wangthong School, semoga ia menjadi pusat pendidikan Islam yang gemilang di bumi Krabi.
Alhamdulillah, dalam perjalanan ziarah kali ini, saya ditemani oleh empat sahabat Cikgu Ahmad Saidi dan isterinya iaitu Cikgu Siti Zaharah Diman, serta Ustaz Fauzi Hamdan dan Ustaz Hairul Azha. Kami menyaksikan sendiri bagaimana usaha membangunkan sekolah ini bukan sekadar membina bangunan fizikal, tetapi membina masa depan generasi Islam di sini.
Kami yakin, dengan keberkatan ilmu, doa orang-orang soleh, serta keikhlasan mereka yang terlibat, pertolongan Allah pasti akan tiba. Semoga urusan kutipan dana dipermudahkan, dan bangunan baru ini dapat berdiri megah sebagai saksi kebangkitan ilmu di Anuban Wangthong.
Insha Allah, sekolah ini akan terus menjadi sinar Islam yang bersinar di bumi Krabi.









Comments
Post a Comment