MENCURI 1 SEN

"Aku rasa kau dah gila, Ehsan! Mencuri ini salah! Ini bukan hak kita!" suara Ahmad bergetar, hampir berbisik tetapi penuh dengan ketegasan.

Ehsan merenung tajam. "Eh, bila masa pulak kau jadi alim? Yang kau hack WiFi rumah sebelah tu, halal ke? Bukan mencuri?"

Ahmad tersentak. "Itu... itu lain!"

"Lain? Kalau dah nama mencuri tu curilah juga.”

“Kau tahu tak, Ehsan, kalau kita kantoi, kita kena penjara? Ini jenayah siber!"

Ehsan tersenyum sinis, bersandar di kerusi dengan selamba. "Kau ni takut sangat. Aku cuma ambil satu sen dari setiap akaun. Satu sen, Ahmad. Pemilik akaun pun tak perasan. Kau fikir bank akan kisah?"

Ahmad memandang sahabatnya itu dengan rasa cemas. “Aku tak nak masuk penjara, Ehsan. Aku tak sanggup!"

Tiba-tiba, wajah Ehsan berubah. Matanya berkaca. "Kau ingat tak, Ahmad? Kita membesar sama-sama di rumah kebajikan. Kita tak ada sesiapa di dunia ni, kecuali kita berdua. Keluarga kita mati dalam kemalangan yang sama. Kita pernah janji nak jadi jutawan sama-sama, kan? Kalau kita masih dengan kerja sekarang, aku kerja bank, kau kerja programmer, sampai tua pun kita tak ke mana!"

Ahmad menghela nafas panjang. Dia ingin membantah, tetapi kata-kata Ehsan ada benarnya.

"Ahmad, kau tahu tak? Orang besar kat luar sana berebut kuasa, makan rasuah, tipu rakyat, lagi teruk. Apa yang kita buat ni kecil je, kan? Cuma satu sen...".

“Sudah jangan fikir bukan-bukan. Ini peluang, Ahmad. Kita buka syarikat sama-sama!"

TIGA BULAN KEMUDIAN

Kediaman mereka diserbu pada suatu subuh yang hening. Dentuman pintu dipecahkan mengejutkan Ahmad dari tidur.

"POLIS! JANGAN BERGERAK!"

Ahmad menggigil. Dia berpaling ke arah Ehsan yang sudah terkaku di sofa dengan komputer ribanya masih menyala.

"Bangun! Letak tangan atas kepala!" suara garau polis memecah suasana.

Ahmad hampir rebah. Matanya menangkap skrin komputer yang masih menayangkan angka-angka akaun yang telah mereka godam. Segalanya sudah terlambat.

Ketika digari dan diheret keluar, Ahmad berbisik lemah, "Kita cuma ambil satu sen..."

Seorang pegawai polis berpaling kepadanya. "Satu sen? Dalam tempoh tiga bulan, jumlahnya sudah lebih 5 juta ringgit. Korang ingat benda kecil?"

Ahmad memejam mata. Dadanya berombak. Air matanya jatuh ke pipi.

Dalam jeriji besi penjara, dia termenung. Dia teringat janjinya dengan Ehsan dulu nak jadi jutawan. Tetapi sekarang, mereka hanya banduan.

Tiba-tiba...

Seruan azan subuh lembut menerobos masuk ke telinga.

Ehsan tersentak. Matanya terbuka luas. Nafasnya masih tercungap. Peluh sejuk membasahi dahinya.

"Huh... dah azan subuh?" Dia bangkit dari katil. Dadanya masih berdegup kencang. Tangannya menutup muka.

“Ya Allah… mimpi rupanya aku semalam. Astaghfirullah.”

Ehsan bergegas bangun. Keinsafan terus menyelubungi dirinya. Biarlah ia hanya sebuah mimpi, namun mesejnya jelas satu sen tetap dosa, dan dosa tetap dosa.



Comments