VIRUS hMPV: KENA KURUNG LAGI KE?

Kecoh di China, virus hMPV dilaporkan menular dengan gejala yang mengingatkan kita pada bayangan hitam pandemik Covid-19. Persoalan mula berlegar di minda, adakah kita akan sekali lagi terkurung seperti tahun 2020?

Mac 2020. Dalam satu langkah yang tidak dijangka, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam sekelip mata, jalan raya menjadi lengang, kehidupan harian bertukar sepi, kehidupan berubah dan terkunci di rumah masing-masing. Minggu pertama mungkin dianggap peluang untuk berehat dari kesibukan dunia. Namun, apabila minggu berganti bulan, kegelisahan mula menjalar. Terkurung dalam rumah sendiri, jiwa-jiwa yang dulunya bebas terasa bagai hilang arah.

Detik-detik getir ini mengimbau kembali satu fasa dalam hidup saya yang lebih mencabar iaitu saat keluarga kami diuji oleh Covid-19 pada tahun 2021.

Segalanya bermula apabila anak bongsu kami mengadu sakit kepala. Dua hari selepas itu, isteri pula mula demam dan batuk. Bimbang dengan keadaan yang semakin memburuk, kami sekeluarga menjalani swab test. Penantian keputusan adalah sesuatu yang sangat meresahkan.

Apabila keputusan akhirnya tiba, positif! Hati bagai disambar petir. Masih segar di ingatan, hanya sebulan sebelum itu, kakak ipar isteri meninggal dunia akibat Covid-19.

Gejala mula merebak. Anak sulung kami turut demam. Isteri yang sudah dikuarantin dalam bilik semakin lemah, dan kini anak sulung pula perlu diasingkan. Lima hari berlalu, tetapi isteri tidak menunjukkan tanda-tanda pulih. Melihat keadaannya, pihak KKM mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Ketika van KKM berhenti di hadapan rumah kami, saya hanya mampu berdiri kaku, hati berkecamuk. Adakah ini pertemuan terakhir kami?

Tidak lama selepas itu, saya dan anak-anak juga disahkan positif. Kami akhirnya berkumpul semula, tetapi kali ini bukan di rumah, melainkan di wad kuarantin Hospital Jempol. Hidup kami berubah sepenuhnya di sana.

Setiap hari, hospital dipenuhi suasana pilu. Berita kematian saban hari menjadi halwa telinga yang meresahkan jiwa. Tiada senyuman, tiada keceriaan. Hanya raut wajah yang sarat dengan bebanan emosi dan ketakutan. Dalam ruang sempit itu, saya mula dihantui kenangan lama, kenangan di mana saya pernah benar-benar "TERKURUNG."

Saya pernah merasakan dunia ini begitu sempit. Sebulan di tahanan ISA, lima bulan di Penjara Sungai Buloh, dan lebih enam tahun di Penjara Kajang. Pada waktu itu, saya fikir kebebasan saya telah dirampas selamanya. Namun, dalam kegelapan itu, Allah memberikan satu cahaya, pemahaman bahawa kebebasan sebenar bukanlah tentang tubuh, tetapi tentang jiwa, kerana keTENANGan jiwa tidak mampu dikurung oleh sesiapa pun.

Pengalaman kuarantin bersama keluarga ini seolah-olah mengulangi pelajaran yang sama. Ia membuka mata saya untuk menyedari bahawa ujian ini bukan kebetulan, tetapi aturan Allah yang penuh hikmah.

Virus ini bukanlah satu hukuman, tetapi peringatan agar kita sedar betapa kecilnya kita di hadapan kekuasaan-Nya.

Di hospital, saya berhenti bertanya, “Kenapa aku?” Sebaliknya, saya mula bertanya, “Apa yang Allah mahu aku pelajari?” Ketika melihat isteri, anak-anak, dan diri sendiri bertarung melawan virus ini, saya akhirnya memahami bahawa hidup ini sebenarnya sebuah perjalanan untuk kembali kepada-Nya.

Setiap nafas yang kita ambil adalah nikmat, setiap degupan jantung adalah peluang untuk kita bertaubat. Virus seperti hMPV, Covid-19, atau apa sahaja musibah yang datang, adalah panggilan kasih sayang Allah untuk kita memperbaharui iman dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

Mungkin dunia akan terus diuji, dan mungkin kita akan terkurung lagi, kerana selagi bernafas, tidak akan sunyi dari UJIAN. Tetapi kali ini, biarlah jiwa kita tidak lagi terpenjara. Biarlah ia bebas, berserah sepenuhnya kepada Allah, dan mencari ketenangan dalam pelukan rahmat-Nya.

Kerana di penghujung segalanya, hanya Allah yang kita ada. Dan Dialah yang memegang segala takdir kita.



Comments

Popular Posts