BENARKAH UJIAN TANDA ALLAH SAYANG?

Ketika manusia diuji, sering kita dengar ungkapan, "Allah uji sebab Allah sayang." Namun, sejauh mana kata-kata itu dapat menjadi kekuatan? Ungkapan itu mudah diucapkan, tetapi yang menanggung ujian, sering kali sukar mencerap maknanya.

Ketika dalam tahanan, saya bertemu dengan Najib (bukan nama sebenar), seorang penghuni yang murung sejak rayuan kesnya ditolak. Kesalahannya? Pecah amanah berjumlah RM2,000. Baginya, jumlah itu kecil berbanding kes lain yang lebih besar, tetapi dia tetap menerima hukuman penjara.

“Baik mati sahaja,” luahnya dengan nada marah dan kecewa.

Saya memandangnya lama sebelum bertanya, “Sebelum buat kesalahan itu, kamu tahu ia salah?”

Najib mengangguk. “Tahu. Tapi bukan besar jumlahnya pun.”

Saya tersenyum. “Itu tandanya kamu insan terpilih. Allah masih sayang kamu.”

“Sayang apa kalau kena duduk dalam penjara?” bantahnya.

“Najib, ramai yang buat kesalahan lebih besar, tapi tetap bebas di luar sana. Itu bukan bermakna mereka selamat. Allah beri mereka tempoh, sedangkan kamu, Allah segera ‘hentikan’ sebelum kamu pergi lebih jauh. Itu tanda kasih sayang-Nya. Jika kita bertaubat, ujian ini boleh menjadi titik perubahan ke arah hidup yang lebih baik.”

Dia terdiam, kelihatan mula berfikir. Saya menyambung, “Bahagia bukan hanya ada dalam kebebasan. Ramai di luar sana hidup bebas, tapi jiwa mereka kosong. Imam Al-Ghazali kata, kebahagiaan itu datang dengan takwa. Bila hidup tanpa arah, tanpa pedoman, nafsu akan menguasai. Kita kejar sesuatu yang tak pernah cukup, akhirnya jiwa lelah dan hati makin gelap.”

Najib menunduk, bola matanya berkaca.

“Kalau kamu rasa hidup pun tak berguna elok mati, sebenarnya jiwa kamu yang dah lama mati oleh perbuatan kamu sendiri. Allah sayangkan kamu. Kembali kepada Allah, mohon keampunan-Nya. Kerana hanya dengan mengingati-Nya, hati akan benar-benar tenang.”

Dia mengangguk perlahan. Saya tahu, cahaya kesedaran itu mula masuk ke jiwanya.

Ujian itu pahit, tetapi di sebaliknya ada kasih sayang Tuhan. Jika diuji, jangan persoalkan keadilan-Nya. Sebaliknya, tanyalah diri, "Apa yang Allah ingin ajarkan kepadaku?" Hanya dengan penyerahan penuh kepada-Nya, kita akan temui redha dan ketenangan yang hakiki. 



Comments

Popular Posts