Teman Ketika Sukar

Ketika dalam kenderaan sementara menunggu puan Ana serta anak dan menantunya selesai membeli belah, saya dan Ustaz Imron bersembang.

“Ustaz, saya pernah terbaca kisah dari Saidina Ali r.a. ketika ditanya seseorang kepadanya.”

“Mengenai apa?” tanya Ustaz Imron.

“Ada seorang bertanya pada beliau, ‘Wahai Ali siapakah sahabatmu?’ Saidina Ali menjawab, ‘akanku hitung ketika diriku ditimpa kesusahan.”

“Masya Allah,” spontan keluar dari mulut Ustaz Imron.

“Nampak tidak hikmah yang berlaku semalam?” tanya saya.

“Apadia?” tanya ustaz Imron.

“Semalam hujan lebat dari awal pagi sehingga tengahari. Hampir-hampir sahaja kita ingin menangguhkan ibadah korban. Ustaz kata, masyarakat kampung kalau hujan lebat biasanya mereka lebih suka dan selesa duduk rumah. Tetapi ustaz sendiri terkejut melihat semangat mereka, tetap ingin meneruskan program walau hujan tidak menunjukkan tanda hendak berhenti. Mereka sanggup bersusah payah untuk menjayakan program yang kita rancang, padahal tiada masalah untuk ditangguhkan kerana hari tasyrik masih berbaki sehari lagi,” jelas saya.

“Ya betul, mereka sangat bersemangat. Sedangkan saya semalam memang sudah patah semangat untuk meneruskan. Kebanyakan mereka semuanya pelajar-pelajar dewasa saya, sanggup bersusah payah menjayakan program yang dirancang, bersunguh mereka minta saya teruskan juga,” luah ustaz.

“Itulah sahabat dunia akhirat, sanggup bersusah payah walau dalam keadaan sukar,” sambung saya.

Alhamdulillah selesai program korban di bumi Krabi, Thailand. Tiga ekor semuanya telah selamat dikorbankan. Lembu pertama dilaksanakan di kampung Bosakhu. Manakala lembu kedua dan ketiga di Sekolah Anuban Wangthong. 

Pengalaman yang memberikan makna mendalam buat kami apabila masyarakat kampung ramai yang bergotong royong untuk turut serta meraikan ibadah korban kali ini. Antara acara menarik apabila ada pelajar dewasa yang ingin berkongsi demonstrasi masakan kengsom dan tomyam. Terima kasih, akan kami cuba nanti bila tiba di Malaysia. 

Antara program lain penyerahan sumbangan barang dapur asnaf di kampung Aou Thong Lang diiringi dengan cenderahati pakaian sembahyang. Sambutan cukup meriah apabila masyarakat kampung menyambut kami dengan menyediakan masakan kampung yang sedap dengan ikan laut yang segar selepas selesai majlis ramah mesra bersama mereka.

Terima kasih kepada yang telah memberikan kepercayaan kepada saya dalam membawa amanah ini. Semoga syiar Islam yang sekian lama malap kembali menyinar di bumi Krabi insha Allah.

30/6 - 2/7, 2023
Koh Lanta, Krabi, Thailand



















Comments

Popular Posts