Disebalik Keindahan Krabi, Thailand....

Pengenalan pertama dengan Sekolah Anuban Wangthong, Krabi Thailand sekitar tahun 2014 adalah melalui penceritaan dari kakak ipar Kusyi Hirdan iaitu pengasas kumpulan amal Superfrends. Banyak kali sebenarnya pelawaan beliau untuk saya turut serta bersama Superfrends membantu masyarakat Melayu Muslim disana. Sebenarnya saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang dimaksudkan oleh Superfrends bahawa Krabi perlukan bantuan kita.

Pada 2017, saya berpeluang menyertai kumpulan amal Superfrends ke Krabi dalam ‘Misi Pengukuhan Islam di Krabi’ selama 3 hari. Ini misi sama Superfrends yang sudah berlangsung beberapa kali. Sebenarnya saya sendiri tidak dapat membayangkan apa yang dimaksudkan oleh Superfrends bahawa Krabi perlukan bantuan kita, jadi inilah peluang melihat dan menilai sendiri.

Antara program yang dilaksanakan adalah menyemak bacaan tajwid al-fatihah. Semakan dibuat terhadap pelajar 11 dan 12 tahun serta para guru. Tugas ini sangat mencabar, bukan kerana perlu membetulkan sebutan makhraj pada mereka yang lidah siamnya sukar menyebut beberapa huruf seperti nun, lam dan ya tetapi juga kerana mereka tidak tahu langsung berbahasa melayu atau inggeris. Kami pula tidak tahu berbahasa siam jadi kami semua perlu menghafal beberapa bahasa siam bagi memudahkan komunikasi dalam membetulkan serta memperbaiki bacaan al-fatihah mereka. Program lain yang sempat dilaksanakan adalah pengagihan barang dapur dan street dakwah (edaran telekung, sejadah, kopiah).

Program yang memberi kesan pada saya adalah menyemak tajwid al-fatihah. Ianya satu kejutan kerana kaedah bacaan al-quran mereka adalah hafalan! Mereka tidak mengenal huruf apatah lagi membaca kerana ketika semakan, bersama mereka ada muqaddam. Lain dibaca lain pula yang ditunjuk. Terbayang anak-anak di Malaysia seusia mereka sudah boleh membaca al-Quran dengan baik. Program semakan tajwid al-fatihah ini kami laksanakan juga dibeberapa kampung yang lain, begitulah situasinya. Saya terbayang bagaimana dengan solat mereka jika bacaannya sudah salah, lebih mengejutkan menurut Ustaz Imron, sebenarnya ramai juga yang tidak bersembahyang. Malah masyarakat melayu Muslim disana dari segi pengamalan agamanya sudah jauh. 

Saya kira bantuan mendesak yang sangat diperlukan adalah pendidikan. Kefahaman dan penghayatan agama perlu disuntik kedalam jiwa mereka dan apa yang saya nampak ianya bermula dari pendidikan anak-anak di sekolah Anuban Wangthong. Sistem pendidikan di sekolah harus dibantu untuk ditambah baik. Memandangkan saya sendiri bergelumang dengan pendidikan sekolah Islam swasta. Maka bermulalah beberapa siri pertemuan dengan beberapa ahli pendidikan dari tempat saya bertugas iaitu Yayasan Takmir Pendidikan bersama dengan pentadbir Sekolah Anuban Wangthong.

Pada tahun 2019, saya telah perkenalkan mengenai sistem pendidikan al-Hikmah yang telah disusun oleh Hjh. Rohana Kamaruddin kepada mudir Anuban Wangthong iaitu Ustaz Imron. Ustaz amat tertarik hati untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam, cuma ketika itu saya belum berpeluang membawa Hjh. Rohana untuk memberi penerangan lanjut kepadanya. Baru-baru ini ketika melaksanakan ibadah korban, saya telah membawa bersama Hjh. Rohana ditemani anak dan menantunya untuk ke Krabi bagi memberi penerangan mengenainya. 

“Seperti menerima cahaya yang sangat terang! Ini yang diperlukan oleh saya,” terungkap kata-kata dari Ustaz Imron selepas mendengar penerangan dari Hjh. Rohana.

Akhirnya, pada 28 Julai 2023 termeterainya MoU diantara Sekolah Anuban Wangthong bersama Kolej Dar Al Hikmah dalam proses menambah baik sistem pendidikan agama disana dan juga kerjasama membawa anak-anak di Krabi yang berkelayakan untuk dibawa belajar di Kolej secara pembiayaan penuh.

Syukur alhamdulillah, rasa terharu dan sebak melihat proses ini berlangsung. Semoga pendidikan anak-anak melayu Muslim disana dapat ditingkatkan menjadi lebih baik. Mudah-mudahan, 20 tahun mendatang anak-anak yang lahir dari pendidikan di Sekolah Anuban Wangthong bakal menaikan semula syiar Islam yang malap disana, insha Allah.

28 Julai 2023 / 10 Muharram 1445H










Comments

Popular Posts