GHAIB DARI PENJARA HANYA LUKISAN KAPAL

Tahun 1962, di Penjara Alcatraz, sebuah penjara paling kebal dan paling ditakuti di dunia ketika itu, tiga orang banduan telah mencetuskan kejutan. Mereka ialah Frank Morris dan dua beradik, John dan Clarence Anglin. Penjara ini terletak di atas sebuah pulau kecil yang dikelilingi air sejuk dan arus deras di Teluk San Francisco. Ia umpama neraka dunia yang mustahil dapat melarikan diri.

Namun, ketiganya membuktikan sebaliknya.

Mereka menghabiskan berbulan-bulan mengorek dinding konkrit menggunakan sudu dan alat ciptaan sendiri. Mereka mencipta rakit daripada baju hujan dan memalsukan kepala patung untuk menipu pengawal ketika mereka tiada di katil. Malam itu, mereka melepasi dinding, meluncur ke tebing, dan berlayar di kegelapan malam menggunakan rakit buatan sendiri.

Tiada siapa yang menemui mereka selepas itu. Tiada mayat, tiada jejak. Hanya misteri dan tanda tanya. Adakah mereka lemas di laut? Atau mereka benar-benar bebas, hidup dalam senyap hingga ke hari tua?

Beberapa tahun kemudian, sebuah kisah lain terjadi di Penjara Pudu, Malaysia.

Penjara lama, dibina pada tahun 1891 oleh penjajah British. Dengan sistem tandas tong yang menyebarkan bau menyesakkan di sepanjang koridor suram. Setiap pagi, banduan akan bergilir mengangkat tong najis ke tempat pembuangan khas. Suasana di sana cukup untuk membunuh semangat siapa pun yang terkurung di dalamnya.

Dalam sebuah sel sempit, dihuni oleh empat orang tahanan. Salah seorangnya, pemuda Indonesia yang pendiam, jarang berbicara tetapi rajin melakar sesuatu di dinding sel menggunakan batu kecil. Ada lukisan kapal, ombak, dan ayat-ayat al-Quran yang ditoreh dengan teliti. Barangkali itu caranya merawat jiwa, membina dunia luar didalam sel melalui lakaran.

Namun pada satu malam yang sunyi, suasana berubah. Pemuda itu tiba-tiba bersuara, memecah kebisuan.

“Kamu mahu ikut saya?” katanya sambil memandang ke arah kapal yang dilukisnya.

“Nak ke mana?” tanya salah seorang dari mereka.

“Balik rumah. Kapal saya sudah siap.”

Banduan lain menyangka dia sudah gila. Mungkin tertekan dengan hukuman. Tiada siapa pun ambil peduli.

Tetapi keesokan paginya, dia tiada. Hilang tanpa jejak. Pintu sel tidak terbuka, tiada gril yang dikopak, tiada tanda lari. Pengawal datang menyoal siasat. Penjara digeledah, namun tiada petunjuk. Pemuda itu lenyap seolah-olah ditelan dimensi ghaib. Kisah itu kekal misteri, dan tiada siapa mampu menjelaskan bagaimana dia menghilang.

Kedua-dua kisah ini, Alcatraz dan Pudu telah membawa satu gambaran yang sama: manusia akan sentiasa mencari jalan keluar dari kurungan, apa jua bentuknya fizikal, emosi atau rohani.

Tetapi jika manusia sanggup melakukan apa sahaja demi melarikan diri dari penjara dunia, pernahkah kita merenung bagaimana pula dengan api neraka?

Neraka, tidak seperti Alcatraz atau Pudu. Ia bukan dikelilingi air atau jeriji besi, tetapi dikelilingi kemurkaan Tuhan. Di sana, tiada jalan keluar, tiada celah untuk menggali, tiada dinding untuk diroboh, tiada pintu rahsia untuk melarikan diri.

Walau penghuninya merayu untuk keluar tetapi tidak akan dibenarkan.

“Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh, yang berlainan daripada apa yang telah kami kerjakan dahulu!”

(Allah berfirman): “Bukankah Kami telah memanjangkan umur kamu, sehingga sempat bagi orang yang mahu mengambil pelajaran untuk menerima peringatan? Dan (bukankah) telah datang kepada kamu seorang pemberi amaran?” (Surah Fatir, ayat 37)

Kisah pelarian dari penjara mungkin mengagumkan, tetapi pelarian dari dosa dan kelalaian jauh lebih penting. Penjara dunia mungkin boleh ditembusi, namun azab akhirat hanya dapat dielak oleh mereka yang bertaubat sebelum terlambat. Bebaskanlah diri sebelum benar-benar terpenjara.



Comments

Popular Posts