ABANG SIKH BENARKAN SOLAT RAYA
Malam itu, gema takbir bersahutan di antara kami, sayup-sayup memenuhi ruang sunyi di sebalik jeriji besi. Setiap orang berada di bilik kurungan masing-masing, tetapi hati kami seolah-olah bersatu dalam satu rasa yang sukar diungkap. Aku bersandar di tepi tingkap berjeriji, sambil menatap bilik kurungan dihadapanku. Rindu. Itulah yang paling kuat mencengkam dada.
Di bilik sebelah, suara kawan aku bergetar melantunkan takbir. Suaranya berat, seakan menanggung beban yang tidak tertanggung. Aku tahu, malam raya ini sangat berbeza buatnya, isterinya baru sahaja melahirkan anak ketika dia baru ditangkap, tetapi dia hanya mampu meratapinya dari dalam penjara ini. Hatiku pilu. Aku sendiri merasakan peritnya beraya di tempat ini, apatah lagi dia, yang sedang diuji dengan kerinduan seorang ayah yang tidak berdaya.
Pagi raya menjelma. Seperti biasa, rutin pagi kami bermula dengan proses pengiraan penghuni blok. Seorang pegawai masuk ke dalam blok, menghitung satu per satu, memastikan jumlah kami mencukupi seperti dalam rekod. Seorang kawan, yang satu kes denganku, memberanikan diri merayu kepada pegawai blok.
"Tuan, bolehkah kami keluar untuk solat raya?" suaranya penuh harapan.
Aku tahu peluang itu tipis. Solat Hari Raya di Kompleks Penjara Kajang biasanya dilakukan di padang bola, tetapi tidak semua penghuni diberikan izin untuk keluar. Hanya mereka yang sudah berada di sini lebih tiga bulan dan aktif dalam program keagamaan yang berpeluang. Sedangkan kami, baru sebulan di sini.
Pegawai blok kelihatan serba salah. "Saya cuba tanyakan pada pegawai atasan," katanya.
Aku menghela nafas panjang. Harapan itu terlalu kecil, apalagi pagi itu pegawai yang bertugas adalah seorang berbangsa Sikh. Serban yang dililit kemas di kepalanya membuatkan aku semakin yakin bahawa permohonan kami pasti ditolak. Aku berbisik kepada rakan kes, "Macam tiada harapan."
Pegawai atasan itu selesai membuat pemeriksaan. Aku lihat pegawai blok bercakap sesuatu kepadanya sambil sesekali menunjuk ke arah kami. Hatiku pasrah. Kami duduk di barisan hadapan, seperti yang telah diarahkan sebelum ini kerana status kes kami yang dipantau rapi. Malah, di pintu bilik kurungan kami tertera perkataan PERHATIAN KHAS. Hanya Allah yang tahu betapa beratnya perasaan menjadi manusia yang ditandai dengan stigma.
Namun, tiba-tiba pegawai atasan itu melangkah ke arah kami.
"Kamu kes al-Maunah ya?" suaranya tegas.
Kami mengangguk.
"Pergi pakai seluar panjang. Kamu boleh keluar solat hari raya."
Aku terpempan. Mata membulat. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru kudengar. Seorang pegawai berbangsa Sikh yang membenarkan kami solat Hari Raya? Allahu Akbar! Rasa sebak menyesak dada. Aku dan rakan bergegas ke bilik kurungan, mengenakan seluar panjang, dan bersiap untuk keluar.
Kami melangkah keluar dari blok, diiringi warden menuju ke padang. Langit cerah, tetapi hatiku lebih cerah dengan rasa syukur. Di kejauhan, seorang warden berdiri di menara tinjau dengan senjata M16, mengawasi pergerakan kami. Aku sedar, walaupun ini hari raya, kami tetap banduan dalam dunia yang berpagarkan besi dan dikawal ketat.
Tiba di padang, kami bersama-sama penghuni lain bersolat sunat Aidilfitri. Ustaz Rashid, seorang pegawai agama penjara, mengimamkan solat dan memberikan khutbah yang menyentuh hati. Aku tunduk, menahan air mata. Betapa besarnya nikmat solat berjemaah ini, nikmat yang sebelum ini tidak pernah kusyukuri sepenuhnya.
Selesai solat, kami beratur untuk menerima ration makanan pagi raya: sepotong kek pisang dan sekotak air minuman. Tiada lemang, tiada ketupat, tiada rendang. Namun, di saat itu, aku mengerti sesuatu yang tidak pernah aku fahami sebelum ini betapa berharganya sebuah nikmat.
Hari itu, aku belajar sesuatu yang mendalam. Nikmat tidak selalu hadir dalam bentuk yang besar dan gah. Kadangkala, nikmat itu hanya sekecil peluang untuk bersujud di pagi raya, sekecil sepotong kek pisang yang menjadi santapan pagi. Namun, bagi mereka yang pernah kehilangannya, sekecil-kecil nikmat itu terasa sebesar dunia.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu. Tetapi jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih." (Surah Ibrahim: 7)
Dari balik jeriji besi, aku akhirnya benar-benar memahami maksud syukur. Syukur bukan hanya pada nikmat yang besar, tetapi juga pada setiap peluang kecil yang Allah berikan. Semoga hati ini terus belajar untuk mensyukuri, sebelum nikmat itu diambil pergi.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Lailahaillallah wallahuakbar, Allahuakbar walillahil hamd. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin
30 Mac 2025
11.45 mlm



Comments
Post a Comment