DISEBALIK TEMBOK MISTERI: ANTARA TAHANAN ISA DAN PENJARA SEDNAYA
Petang Jumaat yang meresahkan, hati saya semakin bergelora. Di balai polis Kajang, saya diambil oleh seorang pegawai dari cawangan khas bukit aman, mata saya ditutup dengan cermin mata hitam. Bukan cermin mata biasa ia tebal, menghalang sebarang cahaya masuk. Kemudian, saya dipaksa menaiki van gelap tanpa tingkap, dunia luar terputus sepenuhnya. Bunyi enjin yang bergetar kasar dan deruan dingin penyaman udara menerpa wajah, seakan memberi amaran kepada jiwa yang kian tenggelam dalam ketidakpastian. Putaran roda yang berulang dan degupan jantung saya berpadu menjadi melodi resah, mengiringi setiap detik perjalanan yang terasa tanpa hujung.
Ke mana saya dibawa? Fikiran saya bermain teka-teki dengan ketakutan yang semakin menghimpit.
Perjalanan terasa panjang. Tiada gambaran yang jelas untuk membantu saya mengenal lokasi. Hanya bayangan terowong gelap, lorong sunyi, atau mungkin kawasan terpencil yang tiada dalam peta. Akhirnya, van berhenti. Saya dibawa keluar, masih dengan mata yang tertutup. Suasana di sekeliling berubah. Suhu udara lebih lembap, dan bunyi tapak kaki bergema seperti berada di dalam gua.
Ketika cermin mata dibuka, saya berada di sebuah bilik kecil. Di hadapan saya ada meja dengan dua pegawai, seorang mencatat maklumat saya, seorang lagi memeriksa tubuh saya dengan teliti. Kemudian, mereka menyerahkan dua helai pakaian biru, berus gigi, sabun, kole, dan tuala kecil. Tiada perbualan, hanya arahan ringkas. Saya tahu bahawa ini adalah permulaan pengalaman yang akan mengubah hidup saya selamanya.
Saya dibawa ke bilik kurungan. Mata ditutup semula. Langkah dipandu, tetapi hati sudah mati rasa. Setibanya di bilik itu, saya dapat merasakan betapa terasingnya saya daripada dunia luar. Ruang kecil itu hanya dihiasi dua pangkin kayu di kiri dan kanan. Tembok-temboknya membisu, tanpa tingkap untuk membenarkan cahaya masuk. Satu-satunya ruang udara yang masuk adalah blower kecil di atas sudut dinding, seperti ironi, untuk memastikan saya masih dapat bernafas walaupun jiwa terasa sempit seakan tercekik.
BAYANGAN PENJARA SEDNAYA
Pengalaman saya di tahanan rahsia ini membuatkan saya teringat akan kisah penjara Sednaya di Syria. Walaupun beribu kilometer jauhnya, kekejaman yang tersembunyi di balik tembok penjara itu seakan berkait dengan apa yang saya alami. Penjara Sednaya, seperti yang diceritakan oleh mereka yang terselamat, adalah tempat di mana nyawa manusia tiada nilainya.
Penjara itu bertingkat-tingkat. Tingkat atas untuk tahanan biasa, tetapi tingkat bawah tanah itulah neraka yang sebenar. Tahanan yang berada di sana hilang dari dunia luar, sama seperti saya. Namun, mereka menghadapi penderaan yang lebih dahsyat. Tidak seperti bilik saya yang hanya sepi, di tingkat bawah Sednaya, jeritan kesakitan memenuhi ruang.
Ada cerita tentang bilik rahsia yang hanya boleh diakses dengan kod khas. Bilik itu digunakan untuk penyeksaan yang tidak dapat dibayangkan. Orang-orang yang dibawa ke sana tidak pernah kembali. Mereka hilang dari radar bukan hanya dari penjara, tetapi dari sejarah, dari ingatan manusia. Apa yang berlaku di sana tidak pernah diketahui dengan pasti, tetapi setiap cerita yang keluar dari Sednaya adalah seperti luka berdarah pada tamadun manusia.
PERSAMAAN YANG MEMBINGUNGKAN
Pengalaman saya di tahanan rahsia ini membuka mata saya kepada realiti penindasan. Walaupun apa yang saya lalui tidak dapat dibandingkan dengan kekejaman di Sednaya, ada unsur-unsur yang sama. Kerahsiaan, ketakutan, dan rasa terasing adalah senjata psikologi yang digunakan untuk menghancurkan semangat manusia. Mata tertutup, perjalanan yang penuh misteri, suasana sepi tanpa petunjuk lokasi, semua ini adalah elemen yang bertujuan untuk melumpuhkan minda.
Namun, ada satu perbezaan penting. Saya diberi kelengkapan asas seperti sabun, tuala, dan pakaian. Di Sednaya, tahanan bahkan tidak mempunyai hak untuk kekal bersih. Mereka hidup dalam kotoran, kelaparan, dan ketakutan. Blower kecil di bilik saya memberikan udara, tetapi di Sednaya, udara yang sama dipenuhi bau kematian.
REFLEKSI SEBUAH PENINDASAN
Ketika leka mengenangkan pengalaman lalu, saya terfikir tentang manusia lain di tempat-tempat seperti Sednaya. Apakah yang membezakan saya dengan mereka? Mungkin nasib, mungkin kedudukan geografi, atau mungkin hanya masa. Tetapi satu perkara yang pasti, sistem penindasan, sama ada di Malaysia atau Syria, menggunakan strategi yang sama untuk melemahkan manusia, memutuskan mereka dari dunia luar dan menghapuskan keupayaan mereka untuk melawan.
Saya masih teringat akan hembusan angin kecil dari blower di bilik itu. Ia mengingatkan saya bahawa walaupun dalam kesunyian dan kegelapan, ada sesuatu yang tidak dapat dirampas oleh sesiapa iaitu harapan. Bagi mereka yang menderita di Sednaya, harapan itulah yang menjadi satu-satunya sumber kekuatan. Dan bagi saya, pengalaman ini adalah peringatan bahawa kebebasan tidak boleh diambil ringan, kerana di tempat lain, ada yang masih berjuang untuk sekadar bernafas.




Comments
Post a Comment