CABARAN MENGHIDUPKAN JIWA YANG MATI
Dalam proses untuk MENGHAYATI selepas MEMAHAMI bukanlah suatu tugas yang mudah. Tanpa suluhan ilmu, usaha untuk memahami akan menjadi sukar dan berliku. Namun, ilmu itu sendiri perlu diambil daripada sumber yang sahih, iaitu al-Quran dan hadis, agar tidak tersasar dari jalan yang benar. Demikianlah cabaran dalam mendidik umat, apatah lagi di zaman mutakhir ini, ketika adab semakin pupus dalam jiwa manusia.
Begitulah cabaran yang dihadapi oleh Ustaz Imran dalam usaha menghidupkan roh agama masyarakat di Krabi. Pemikiran dan cara hidup yang telah lama diselaputi budaya Siam menjadi rintangan besar buatnya. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu dan kefahaman perlu sentiasa ditingkatkan agar mampu disesuaikan dengan situasi semasa.
“Menghidupkan jiwa bukanlah semudah menghidupkan akal. Cabaran utama Ustaz di sana adalah membangkitkan jiwa yang telah lama mati daripada roh agama. Kepelbagaian dalam penyampaian juga perlu sentiasa diperbaharui, disesuaikan dengan keperluan zaman,” ujar saya dengan penuh harapan.
Alhamdulillah, dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab, Ustaz Imran diberi kesempatan menghadiri Kursus Pendidikan al-Hikmah di Kolej Dar al-Hikmah. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para dermawan yang menyumbang bagi menampung bayaran kursus, perjalanan, penginapan, dan makan minum beliau sepanjang berada di sini. Semoga permusafiran beliau dalam menuntut ilmu ini menjadi modal dalam proses memandaikan umat menjadi lebih faham agama, insha-Allah.




Comments
Post a Comment