BARISAN HADAPAN (FRONTLINERS) SEMAKIN LETIH

Mereka bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, malah semua frontliner juga komited dalam melaksanakan tugas mereka hanya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap penduduk terjaga sejak dari awal negara diserang wabak covid-19 berbahaya ini.

Pengalaman saya sebagai pesakit covid ketika di hospital jempol pada 24 Jun yang lalu telah diperlihatkan bagaimana frontliner bekerja dalam situasi yang sangat mencabar. Dengan jumlah pesakit covid yang ramai dan kekurangan staf untuk mengendalikan pesakit cukup melelahkan mereka. Belum lagi menghadapi karenah pesakit yang bermacam ragam dalam keadaan pakaian PPE yang tidak begitu selesa untuk dipakai, cukup hanya 5 minit memakainya sudah membuatkan mereka berpeluh kepanasan. Benar-benar tahap kesabaran mereka teruji dalam menjalani tugasan harian dengan berpakaian begitu. Saya sempat bersembang ketika salah seorang nurse datang memeriksa tekanan darah saya.

"Nampak macam tidak selesa pakai PPE ni ya?" kata saya.

"Betul encik, 5 minit pakai dah berpeluh. Bilalah nak dapat berpakaian seperti biasa balik macam dulu tak tahulah, kes tak turun-turun." keluhnya.

"Itulah kes semakin naik sekarang. Kalau haus atau lapar minum dekat mana, yelah sudah tentu hendak kena buka pula mask tu. Dalam kawasan wad ni berisiko." tanya saya.

"Eh encik, kami tak boleh suka-suka buka mask ni ketika didalam wad. Kami kalau dah pakai PPE ni dah macam berpuasa, tunggu habis tugasan baru pergi ke bilik sanitasi untuk buka." 

"Ya Allah, lamanya nak kena pakai. Semoga banyaklah pahala dalam melaksanakan tugasan mencabar ini." kata saya.

"Mula-mula itu adalah juga fikirkan pahala, tapi lepas itu tak tahulah encik. Kalau semua pesakit macam encik, oklah kami. Tapi taulah ragam-ragam pesakit ada yang marah-marah kami, ada yang tidak mahu ikut arahan macam-macamlah. Allah.. " luahnya.

Begitulah situasi mereka, bekerja dalam keadaan yang tidak begitu selesa, dengan jumlah pesakit yang semakin bertambah dan dengan pelbagai karenah pesakit, ada juga pesakit yang menjerit-jerit kerana tidak dapat menerima kenyataan. Luahan ayat dari lidahnya sudah cukup menggambarkan situasi mereka.

"Saya tidak mampu buat kerja-kerja hebat yang nurse sedang lakukan, semoga Allah merahmati dan memberkati tugasan frontliner." kata saya. 

"Amin." jawapan ringkas dengan nada suara yang agak lemah sudah cukup mengambarkan keadaan mereka. Seandainya boleh, hendak sahaja ketika itu saya ajak mereka ke kantin hospital belanja makan, tapi apakan daya pergerakan pesakit-pesakit covid memang terbatas. Pesakit covid seolah-olah berada di penjara tidak dibenarkan kemana-mana walau hanya untuk turun membeli makanan di kantin.

Selepas pulih, kakak ipar memberi cadangan untuk memberi sumbangan hari raya kepada frontliner. Ini peluang untuk menggembirakan mereka setelah berpenat lelah bekerja. Saya mengumpulkan sedikit dana dari keluarga terdekat. Alhamdulillah sumbangan yang terkumpul dapat membeli sebanyak 250 lemang bersama rendang dan air minuman. Disebabkan keterbatasan pergerakan ketika PKP, sumbangan hanya dapat dihantar ke wad covid Hospital Melaka, tidak di Hospital Jempol kerana kakak ipar dan suami yang menguruskan sumbangan duduk di Melaka. Terima kasih Superfrends. Insha Allah jika pergerakan rentas daerah dibenarkan, boleh buat di Hospital Jempol pula selepas ini.

Buat teman-teman, titipkan setiap kali kalian berdoa semoga Allah berikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi buat semua frontliners yang bertugas.

#pengalamanbekaspesakitcovid
#kamisuperfrends







Comments

Popular Posts