GHOSTWRITER - TANGAN GHAIB DALAM PENULISAN

Ghostwriter, atau penulis upahan, adalah individu yang menulis karya bagi pihak orang lain tanpa diberi pengiktirafan. Dalam dunia penulisan, ghostwriter memainkan peranan penting namun sering tidak dikenali. Mereka mungkin menulis buku, artikel, ucapan, atau autobiografi bagi tokoh terkenal, selebriti, atau sesiapa sahaja yang ingin menghasilkan karya tetapi tidak memiliki kemahiran atau masa untuk menulis sendiri.

Keberadaan ghostwriter membolehkan ramai individu merealisasikan impian memiliki karya tulis tanpa perlu terlibat secara langsung dalam proses penulisan. Misalnya, seorang usahawan yang sibuk boleh menerbitkan buku tentang kisah kejayaannya dengan bantuan ghostwriter yang menyusun cerita dan pengalaman dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami.

Namun, peranan ghostwriter sering menimbulkan persoalan etika. Adakah wajar seseorang menerima pujian atas hasil karya yang ditulis oleh orang lain? Menurut kata Puan Iera, cerita asalnya dari pencerita, dan ghostwriter hanya membantu menulis sahaja, sudah tentu tiada masalah jika pujian diberikan kepada pencerita kerana itu adalah kisah mereka.

Dalam sesetengah kes, perjanjian yang jelas dan persetujuan kedua-dua pihak dapat mengelakkan konflik. Penulis upahan dibayar untuk perkhidmatan mereka dan sering tidak mengharapkan pengiktirafan, sebaliknya menumpukan kepada kepuasan menghasilkan karya yang berkualiti.

Kesimpulannya, ghostwriter adalah tangan ghaib yang memberi nyawa kepada pelbagai karya penulisan. Mereka adalah pahlawan tanpa nama yang membantu merealisasikan impian banyak individu, walaupun pengiktirafan dan pujian sering diberikan kepada orang lain.

Satu perkara yang memberi kesan ketika mendengar perkongsian ilmu oleh Puan Iera mengenai peranan ghostwriter ialah mereka ibarat seorang dermawan yang harus melupakan amal kebaikan yang dilakukan. Biarlah yang dipuji dan mendapat pengiktirafan itu adalah pemilik buku. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w., 

"Dan seseorang yang bersedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan tangan kanannya." (Riwayat Bukhari)

Jika pemilik buku itu menjadi  terkenal dan lebih-lebih lagi buku tersebut memberi manfaat yang berguna kepada pembaca, ianya ibarat amal jariah seorang ghostwriter. Cuma, seorang ghostwriter akan memastikan kerahsiaan identitinya tetap terjaga. Biarlah hasil kerjanya tidak diketahui oleh orang ramai, kerana kepuasan sebenar datang daripada menghasilkan karya yang berkualiti.

Terima kasih kepada Puan Iera Yusoff dan Tuan Zamri Mohamad, guru penulisan saya yang telah banyak berkongsi ilmu berharga. Semoga segala perkongsian ini dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat yang kurang mahir dalam penulisan menghasilkan karya-karya mereka, inshaAllah.



Comments

Popular Posts