Capai Darjat Takwa Dengan Berpuasa

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” al Baqarah : 183

Kenapa Allah SWT memilih puasa sebagai alat untuk mencapai darjat takwa? Mengapa Allah SWT tidak memilih solat untuk mencapai takwa, tidak pula melalui zakat, haji dan lain-lain. Puasa mempunyai hikmah tersendiri sehinggakan Allah telah memilih puasa sebagai jalan mencapai takwa. “Semua amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri, kecuali ibadah puasa. Maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku (dilakukan kerana Aku), maka Akulah yang akan membalas/menilainya” (HR. Muslim, Ahmad dan An-Nasa’i).

Apa makna TAKWA?

Takwa merupakan masdhar (kata dasar/jadian) dari kata waqa’ yang berarti menghalangi diri dari segala hasrat biologis (Syahwat). Menjalankan segala perintah dan menjauhi segala larangan, khususnya hal-hal syubhat, lebih-lebih yang haram.

Dalam bahasa Arab, perkataan ‘takwa’ berasal dari kata kerja ‘ittaqa’ bermaksud ‘berwaspada dan berjaga-jaga’ atau ‘takut kepada Allah dan menjauhi segala larangan-Nya’. Ittaqa juga bermaksud ‘menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara’.

Para ulama telah menjelaskan apa yang dimaksud dengan takwa. Di antaranya, Imam Ar-Raghib Al-Ashfahani mendefinisikan: “Takwa iaitu menjaga jiwa dari perbuatan yang membuatnya berdosa, dan dengan itu meninggalkan apa yang dilarang, menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan”.

Menurut tafsiran Saidina Ali bin Abi Talib ialah takutkan Allah semata-mata, beramal serta beristiqamah dengan segala perintah-Nya, reda dan merasa cukup dengan keadaan sedikit serta bersiap sedia setiap masa menghadapi kematian.

Sedangkan Imam An-Nawawi mendefinisikan takwa dengan “Mentaati perintah dan laranganNya.” Maksudnya, menjaga diri dari kemurkaan dan adzab Allah. Hal itu sebagaimana didefinisikan oleh Imam Al-Jurjani “Takwa iaitu menjaga diri dari pekerjaan yang mengakibatkan siksa, baik dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya.”

Imam Ghazali ketika menjelaskan manfaat takwa telah berkata:

“Takwa itu harta terpendam yang berharga sekali jika engkau mendapatnya. Maka seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat di dalam takwa itu. Dan perhatikan apa yang difirmankan dalam Al Quran mengenai takwa. Banyak sekali Allah memberi keuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang  disandarkan pada sifat takwa.”

Kesimpulannya takwa bermakna menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Rasulullah pernah ditanya tentang takwa oleh para sahabat, Rasulullah SAW menjawab, ‘Takwa ha huna, takwa ha huna, takwa ha huna.’ Takwa disini, takwa disini, takwa disini. Sambil menunjukkan kepada dadanya iaitu hati.

Hati adalah raja bagi tubuh. Maka jika baik hati itu maka seluruh tubuh akan turut baik begitulah juga sebaliknya. Seperti mana sabda Rasulullah SAW:

 إِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَهً إِذاَ صَلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّه وَإِذاَ فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّه اَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

“Sesungguhnya didalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah badan seluruhnya. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! itulah hati.”

Merujuk kepada kitab Penawar bagi hati karangan Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al mandili ada menerangkan diantara sebab kenapa hati itu perlu dijaga diantaranya ialah kerana

    “Allah Ta`ala Maha mengetahui barang yang ada dalam hati kamu, maka hendaklah kita takut daripada mengetahui oleh Allah pada jantung kita akan kejahatan” (Hal. 21, lihat juga maksud ayat 51 surah al Ahzab).

Kerana hati jantung merupakan pemusatan segala-galanya, tempat di mana Allah akan menilik untuk dikira segala amal yang kita lakukan. disebut oleh as Syeikh al Mandili bahawa jantung (hati!) adalah “Raja bagi segala anggota, dan segala anggota itu mengikut ia akan perintah rajanya” ( Hal. 21).

Jantung (hati) itu, “Tempat taruh (menyimpan) bagi segala sifat kepujian seperti iman, ma`rifat, tawakkal, redha dan pengetahuan (ilmu), maka patut sangat bagi petaruhan yang seperti ini bahawa dipelihara akan dia daripada segala kelakuan yang dicela dan dijaga daripada seteru iaitu syaitan” (hal. 22).

“Bahawasanya jantung (hati!) itu tempat ilham daripada malaikat dan tempat waswas bagi syaitan, lagi tempat berperang akal dan hawa nafsu, maka akal itu menyeru ia kepada kebajikan dan hawa nafsu menyeru ia kepada kejahatan, maka sayugia bahawa tiada dilalaikan daripadanya tambahan bagi kesalahan jantung itu lebih besar" (hal. 22).

Kaitan puasa dengan takwa

Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib ada menerangkan mengenai beberapa perkara yang boleh membawa mudarat bagi hati iaitu diantaranya:

1. Bahawasanya banyak makan itu sebab bagi keras hati
2. Banyak makan juga membangkitkan segala anggota pada yang sia-sia dan kejahatan.
3. Banyak makan membinasakan kecerdikan dan kepintaran dan sebab kepada sedikit faham dan pengetahuan.
4. Banyak makan sebab bagi sedikit ibadat kerana malas dan mengantuk.
5. Banyak makan sebab bagi ketiadaan merasai kelazatan beribadah.

Jika mengikut anatomi tubuh manusia, kedudukan hati (jantung) adalah disebelah kiri dada dan dibawahnya adalah perut sila lihat rajah ‘Human Anatomy’. Apabila perut dipenuhi dengan makanan, maka akan menolak kedudukan jantung yang berada diatasnya. Sama ada kita sedar atau tidak, apabila kita makan melebihi dari had yang sepatutnya jantung kita akan mengepam lebih cepat dari biasa. Apabila jantung telah dihimpit oleh perut maka jantung sudah berada dalam situasi yang kurang selesa. Maka fungsinya pun juga turut terganggu. Apatah lagi dari sudut kerohaniannya.


Maka benarlah apa yang dikupaskan oleh ulama mengenai perihal hati (jantung) ia adalah tempat terbitnya sifat-sifat kepujian. Maka apabila kedudukannya sudah terganggu, sudah barang tentu jantung berada dalam keadaan yang kurang selesa dan tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya maka akan menjejaskan fungsinya yang menjadi tempat terbitnya sifat-sifat kepujian. Apabila sifat-sifat kepujian tidak terzahir maka akan diganti pula dengan sifat-sifat terkeji seperti mana yang telah diterangkan diatas akibat perut yang dipenuhi dengan makanan. Rasulullah menyarankan agar perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi udara. Ini bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada hati untuk berfungsi dengan sebaik-baiknya.

Benarlah apa yang di firmankan oleh Allah SWT dengan berpuasa dapat meningkatkan darjat seseorang kepada maqam TAKWA.

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab, “Wahai Ubai, tahukah kamu apakah itu takwa?”. Ubai menjawab dengan pertanyaan kepada Saidina Umar, “Wahai Umar apakah yang akan kamu lakukan jika kamu melalui jalan yang banyak duri?”. Jawab Umar, “akanku angkat kainku dan berhati-hati melaluinya supaya tidak terkena duri-duri itu.” Balas Ubai  “Itulah takwa.”.

Istimewanya ramadhan Allah belenggu segala syaitan dan ditundukkan nafsu dengan jalan berpuasa supaya memudahkan kita untuk membina sifat-sifat kepujian yang dengannya kita akan mencapai darjat takwa. Mudah-mudahan, Allah akan angkat darjat kemuliaan kita seperti firmannya:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.” al Hujurat : 13

Wallahuklam

Comments

Popular Posts