Aceh, Rahmat Di Sebalik Ujian

Kunjungan ke negara Aceh yang pernah mengalami gempa bumi dan tsunami adalah satu pengalaman yang begitu menginsafkan. Walaupun sudah 7 tahun musibah itu berlalu, namun kesan-kesannya masih tersisa dan ada yang dikekalkan oleh kerajaan aceh untuk renungan bagi generasi akan datang dan juga pengunjung luar yang datang ke Aceh.

Empat hari tiga malam ketika berada di bumi Aceh terlalu banyak perkara yang membuatkan jiwa saya tersentuh. Kejadian tsunami yang telah meragut lebih kurang 230 ribu nyawa membuatkan saya berasa begitu kerdil di hadapan Allah dan menunjukkan betapa berkuasanya Allah, hanya dengan sekelip mata boleh melenyapkan nyawa yang begitu besar jumlahnya, tiada yang mustahil di sisi-Nya.

Menurut Pak Irwan yang menjadi pemandu pelancong rombongan saya dan juga pembantu kepada Ustaz Zulfikar di Maahad Daarut Tahfiz, sebelum terjadinya tsunami berlaku 2 kali gempa bumi. Gegaran pertama tidak begitu kuat kemudian disusuli gegaran yang kedua yang amat kuat iaitu berukuran 9.2 scala richter. Dalam keadaan yang kelam kabut, tiba-tiba datang pula tsunami besar yang menyebabkan semua orang ketika itu menjadi panik. Masing-masing melarikan diri tanpa menghiraukan apa yang ada di hadapan. Apa sahaja yang berada di hadapan saat itu tidak kira manusia yang menghalang atau apa sahaja akan terus dilanggar atau dipijak, pagar terus dirempuh, sawah terus diredah walau sedalam mana pun yang penting ketika itu nyawa mesti diselamatkan.

Bersama Pak Irwan (Baju Putih)
Menurut kata Pak Irwan, ketika kejadian ada bersama-sama yang hanyut berupa wang tunai dan ada juga peti yang berisi emas, tetapi ketika itu tiada seorang pun peduli dan mengambilnya. Ya, saat itu tiada siapa yang memikirkan kesenangan duniawi, semuanya ingin menyelamatkan diri masing-masing. Keinsafan terus menyelinap di dalam diri.

Kata Pak Irwan, ketika itu tiada siapa yang tidak menangis dari kecil hingga ke orang tua semuanya menangis, yang selama ini tidak solat, selepas kejadian terus rajin solat. Kejadian tsunami benar-benar menginsafkan semua penduduk aceh.

Ustaz Zulfikar
Ustaz Zulfikar, pengasas Maahad Daarut Tahfiz turut berkongsi pengalamannya ketika kejadian tsunami. Pada pagi subuh itu Ustaz Zulfikar mengimami solat subuh berjemaah di masjid Bustanul Jannah, ketika membaca surah al-Hajj ayat 1-2 nafasnya terputus sehingga mengulanginya tiga kali. Ayat tersebut bermaksud:

"Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; Sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal Sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya."

Selepas solat subuh Ustaz pulang ke rumah untuk tidur kerana semalaman berjaga. Sampai di rumah rupa-rupanya bapa dan ibu mertuanya juga tidak tidur semalaman kerana anaknya yang baru lahir menangis sepanjang malam. Ustaz memohon izin pada bapa mertuanya untuk tidur dahulu. Ketika sedang nyenyak tidur ustaz dikejutkan dengan gegaran kuat, terus bangun dan teringatkan surah yang dibacanya ketika mengimami solat subuh pagi tadi lantas mencari isterinya.

Ketika bertemu, ustaz Zulfikar berasa lega kerana isterinya sedang memegang erat anaknya. Mereka bergegas keluar dari rumah. Datang gempa yang kedua yang mana ianya lebih kuat dari yang pertama. Ketika itu, Ustaz Zulfikar melihat kedai yang berada di hadapan rumahnya bergoyang bagaikan daun pisang.  Semua duduk kerana tidak dapat berdiri dan berjalan. Andai ada yang berjalan pastilah akan terhoyong hayang kerana goncangan yang begitu kuat. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud;-

"dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk."
(Surah al-Hajj ayat 2)

Apabila gempa berhenti, ustaz Zulfikar terus masuk ke rumah untuk melihat keadaan di dalam rumahnya. Dilihatnya pinggan mangkuk berserakan, almari tumbang dan banyak harta benda yang musnah. Tiba-tiba terdengar jeritan orang di luar,

"Air laut naik! Air laut naik!".

Ustaz bergegas keluar rumah, dilihatnya dari arah laut datang air besar bergulung-gulung yang membawa bersamanya pokok dan rumah. Ustaz terus memapah isterinya yang masih dalam pantang manakala ibu mertuanya pula menggendong anaknya, sementara bapa mertuanya pula hanya berpaut pada tiang di tepi rumah. Seraya berkata;

"Kamu pergi selamatkan diri, tinggalkan aku disini. Aku sudah tua tidak larat berlari." Pesan ayah mertua Ustaz.

Dengan hati yang berat ustaz Zulfikar meninggalkan bapa mertuanya yang berdiri di atas pagar tepi rumah dan berpaut pada tiang.

Air laut naik sehingga paras lutut bapa mertuanya. Situasi cemas itu menghilangkan rasa lelah, entah dari mana datangnya tenaga untuk berlari memapah isteri, sawah separas lutut diredah. Lari dan terus berlari ke arah bukit berdekatan yang jaraknya lebih kurang 5 kilometer dari rumah. Air laut terhenti setakat dikaki bukit. Bukit ketika itu dipenuhi dengan ramai orang yang menyelamatkan diri.

Menurut cerita ustaz zul, air laut mulai surut pada waktu tengahari dan ustaz zul terus pulang ke rumah untuk melihat keadaan bapa mertuanya.

"Alhamdulillah, bapa mertua saya selamat dan masih berpaut pada tiang di hadapan rumah. Di halaman rumah saya ada 7 mayat yang bergelimpangan." 

Antara kapal kecil yang dihanyutkan ke darat dan tersangkut pada sebuah rumah

Benarkah bencana yang menimpa rakyat Aceh ini satu musibah disebabkan kemurkaan Allah? Tidak layak rasanya untuk menghukum, kerana hikmah di sebalik kejadian ini pastilah hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Tidak semestinya musibah beerti kemurkaan Allah dan demikianlah juga pada setiap nikmat yang diberi Allah adalah tanda ia dimuliakan.

Prof. Quraish Shihab dalam kenyataannya menyatakan, "Sebenarnya sesuatu yang menimpa itu tidak selalu buruk. Hujan bisa menimpa kita dan itu dapat merupakan sesuatu yang baik. Memang, kata musibah konotasinya selalu buruk, tetapi boleh jadi apa yang kita anggap buruk itu, sebenarnya baik, maka Al-Quran menggunakan kata ini untuk sesuatu yang baik dan buruk."

Firman Allah yang bermaksud:-

"...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 216)

Ada tiga golongan manusia dalam menghadapi musibah:
  1. Orang yang menganggap bahwa musibah adalah sebagai hukuman dan azab kepadanya. Sehingga, dia selalu merasa sempit dada dan selalu mengeluh.
  2. Orang yang menilai bahwa musibah adalah sebagai penghapus dosa. Ia tidak pernah menyerahkan apa-apa yang menimpanya kecuali kepada Allah SWT.
  3. Orang yang meyakini bahwa musibah adalah ladang peningkatan iman dan takwanya. Orang yang seperti ini selalu tenang serta percaya bahwa dengan musibah itu Allah SWT menghendaki kebaikan bagi dirinya.

Saya yakin rakyat Aceh ada jawapannya tersendiri dalam merungkai hikmah disebalik kejadian tsunami ini.

Ketika di sana, saya dibawa oleh pak Irwan ke Muzium Tsunami Aceh. Muzium yang dibangunkan oleh kerajaan Aceh adalah sebagai mengabdikan kenangan peristiwa kejadian gempa bumi dan tsunami. Muzium ini dibangunkan pada tahun 2009, ianya telah direka oleh arkitek Indonesia Ridwan Kamil.

Muzium Tsunami Aceh dari jauh. Bentuk sebuah kapal.
Bentuk muzium ini jika dilihat dari jauh berbentuk sebuah kapal. Di dalam muzium ini terdapat simulasi gempa, gambar-gambar mangsa korban dan kisah-kisah dari mangsa yang terselamat. Apa yang menarik ketika di muzium ini iaitu ketika melalui pintu masuk kami melalui satu lorong yang dihujani dengan hujan gerimis dan suasana suram. Menurut pak Irwan beginilah keadaan cuaca ketika sebelum terjadinya gempa dan tsunami.

Tempat-tempat lain yang dibawa oleh pak Irwan adalah kapal sangkut, makam Syeikh Kuala, Muzium Iskandar Muda, anak-anak yatim tsunami, Maahad Daarut Tahfiz dan perkampungan Jackie Chan.

Perkara yang agak menarik perhatian saya adalah lawatan ke perkampungan Jackie Chan (aktor filem Hong Kong). Kampung persahabatan Indonesia-Tiongkok yang lebih terkenal dengan Kampung Jackie Chan terletak di lereng bukit Desa Neuheun, Kecamatan Mesjid Raya, Aceh Besar, sekitar 17 kilometer dari Banda Aceh.Kenapa ia dipanggil Kampung Jackie Chan? Tetapi yang membangunkannya adalah pemerintah Tiongkok? Menurut ceritanya dana untuk membangunkan perkampungan ini adalah daripada Jackie Chan sendiri.

Perkampungan Jackie Chan

Perlaksanaan projek untuk pembangunan ini dilakukan oleh kontraktor dari Tiongkok, yakni Synohydro Coorporation China, yang dirasmikan 19 Julai 2007. Menurut kisahnya lagi Jackie Chan sendiri turut turun padang untuk membangunkan perkampungan ini. Pemerintah Tiongkok membangunkan lebih kurang 606 unit rumah dengan kawasan seluas 22.4 hektar untuk mangsa tsunami.

Pembangunan perkampungan ini merupakan hasil kesepakatan pemerintah Indonesia dengan pemerintah Tiongkok saat Presiden berkunjung ke negeri itu pada 28 Julai 2005. Kesepakatan itu dilanjutkan oleh penyumbang masyarakat Tiongkok bekerjasama dengan Kabupaten Aceh Besar ianya juga termasuk dalam hal memilih lokasi.Lokasi yang strategi iaitu di lereng bukit amat menarik. Berada di ketinggian sekitar 300 meter dari paras laut, dan juga jaraknya lebih kurang 1.5 kilometer dari pantai membuat kedudukan kampung itu amat strategik dari tsunami serta memiliki permandangan yang menarik. Berada di puncak bukit Desa Neuheun ini semuanya nampak indah. Laut, pantai, perlabuhan, perkampungan, dan gunung seakan sambung-menyambung. Panorama dari atas bukit benar-benar mempersonakan. Di sini juga dibangunkan prasarana seperti masjid, klinik, kedai, taman permainan dan lain-lain lagi.

Perumahan di perkampungan Jackie Chan
MasyaAllah, mungkin ini adalah satu sindiran dari Allah. Allah telah mencampakkan rasa simpati dan membuatkan hati Jackie Chan yang beragama buddha ini boleh tersentuh hati dengan peristiwa tsunami dan sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membangunkan perkampungan buat mangsa tsunami yang dikatakan menelan belanja hampir USD 7 juta.
Masjid di perkampungan Jackie Chan

Permandangan dari atas bukit perkampungan Jackie Chan
Saya tertanya, dimanakah perginya hartawan muslim? Apapun, semoga Allah memberikan taufik dan hidayah buat saudara Jackie Chan untuk memeluk agama Islam. Peristiwa tsunami ianya ibarat rahmat disebalik musibah buat penduduk Aceh.

Bergambar kenangan di hadapan Maahad Daarut Tahfiz

Masjid Baitul Rahman, Banda Aceh

Comments

Popular Posts