Kaedah Hisab dan Rukyah Dalam Menentukan Puasa dan Raya

Antara perkara-perkara yang sinonim dengan Ramadhan, Hari Raya dan Qurban adalah Hilal (anak bulan) dan Rukyah (aktiviti atau kaedah melihat anak bulan untuk penentuan tarikh dalam kalendar Hijriah). Menjadi kebiasaan kita di Malaysia untuk beramai-ramai mengadap kaca televisyen menantikan pengumuman oleh pemegang mohor besar Raja-Raja akan tarikh mula puasa dan Raya.

Baru-baru ini saya berpeluang mencerap anak bulan di Balai Cerap Selangor, Sg. Lang Sabak Bernam. Ianya adalah satu pengalaman yang amat menarik. Aktiviti cerapan bermula jam 6 petang iaitu dimulai dengan bacaan yassin dan seterusnya taklimat ringkas cerapan. Sedikit info mengenai cerapan hilal saya kongsikan disini.

Apakah itu Hilal?

mereka bertanya kepadamu tentang hilal (bulan sabit). Katakanlah: "Hilal itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji;” Al Baqarah: 189

Dari Ibn Umar r.a. Dari Nabi saw. bahawa beliau menyebut-nyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)". (Riwayat Muslim)

Di dalam Al-Quran dan Hadis perkataan Hilal merujuk kepada anak bulan atau bulan sabit, dalam bahasa Inggerisnya, 'Crescent moon'. Walaupun begitu dalam beberapa terjemahan dalam bahasa Inggeris menterjemah perkataan Hilal sebagai 'New Moon' atau Bulan Baru.

Hilal adalah fasa seterusnya selepas fasa Bulan Baru di mana pantulan cahaya berbentuk sabit mula kelihatan. Hilal akan kelihatan lebih kurang sehari atau lebih selepas Bulan Baru. Di mana, pergerakkan bulan pada orbitnya mula membenarkan pantulan cahaya matahari pada permukaannya untuk sampai ke bumi. Cahaya yang terpantul itu yang akan kelihatan sebagai bulan sabit pada pemerhati di bumi. Bulan baru dalam kalendar Islam bermula dengan Hilal bukan Bulan Baru. (Ali 2009, Shaikh 2006).

Rukyah

Rukyah adalah aktiviti melihat dan menentukan Hilal. Rukyah bukan sahaja dilakukan untuk menentukan jatuh tarikh puasa dan raya sahaja. Ia adalah aktiviti utama untuk menentukan bulan baru setiap bulan dalam kalendar hijrah.

Bulan seperti matahari terbit dari sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Hilal terletak berdekatan matahari dan akan terbenam selepas matahari terbenam. Rukyah dilakukan antara waktu selepas matahari terbenam dan sebelum bulan pula menyusur terbenam. Rukyah akan dilakukan pada 29 haribulan. Secara teknikal, bulan tidak dapat kelihatan pada 28 haribulan kerana ketika itu bulan berada pada fasa Bulan Baru. (Ali 2009)

Sekiranya hilal gagal kelihatan pada petang 29 haribulan, maka bulan tersebut disempurnakan atau dicukupkan kepada 30 hari. Dengan kata lain, bulan hijriyah yang baru akan bermula pada lusa harinya, bukan keesokkannya.

Secara istilahnya, jika seseorang membuat kenyataan bahawa dia telah melihat hilal, dan dia adalah seorang Muslim, maka kenyataannya diterima, maka Muslim di tempat tersebut perlu berpuasa pada esok hari. Namun terdapat beberapa kes di mana, kenyataan tersebut diragui kerana beberapa perkara. Antaranya, terdapat orang yang menyatakan melihat hilal pada 27 haribulan, padahal ketika itu yang dilihat bukan Hilal, tapi Waning Crecsent atau Old Moon.

Oleh hal demikian, Rukyah digalakkan dilakukan secara Jamme Ghafir iaitu oleh ramai saksi, kaedah ini digalakkan oleh Imam-Imam Mazhab seperti Imam Abu Hanifa, Malik dan Imam Ahmad. (Shaikh 2006).

Hisab

Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.” Yunus : 5

 “matahari dan bulan (beredar) menurut perhitungan.” Ar Rahman: 5

Maha suci Allah yang berkuasa menciptakan sesuatu atas kehendak-Nya. Dari dua potong ayat di atas, jelas bahawa peredaran bulan dan matahari terdapat pengiraan di sebaliknya, dan dengan izin Allah manusia mampu memahami dan mengira fenomena ini.

Hisab atau kaedah pengiraan astronomikal dalam konteks ini merujuk kepada kaedah perhitungan pergerakkan bulan menggelilingi bumi. Pada zaman kini terdapat pelbagai badan-badan astronomi di mana-mana negara sekalipun yang mengira kedudukan bulan pada satu-satu masa. Dengan teknologi terkini kedudukan bulan boleh ditentukan dengan tepat, dan bulan boleh dilihat menggunakan teleskop canggih biarpun mata kasar tidak mampu melihatnya, terutamanya dalam kes Bulan Baru.

Namun perlu diingatkan teknik pengiraan bulan bukan sesuatu yang baru. Pengiraan matematik pergerakkan bulan menggelilingi bumi telah lama dipelopori oleh Tamadun Greek dan Tamadun India, ratusan tahun sebelum Tamadun Islam bermula. Bahkan ahli astronomi Muslim menjelajah ke India untuk belajar dan memperbaiki kaedah Hisab dan Rukyah untuk kemudahan ummah. (King 1993, Ali 2009)

Terdapat lebih dari satu kaedah hisab, tetapi tidak akan dibincangkan di sini kerana teknikaliti yang sangat kompleks dan perbincangan yang panjang.

Terdapat Muslim yang berpendapat bahawa Hisab boleh menggantikan kaedah Rukyah sama sekali bahkan perlu digunakan sebagai kaedah untuk menetukan kalendar Hijrah seluruh dunia atas dasar kesatuan Ummah. Pun begitu majoriti ulama menegaskan keperluan hisab hanya sebagai pembantu dalam proses Rukyah, bukan sebagai pengganti.

Salah faham umum dalam penggunaan kaedah Hisab ialah timbul apabila kekeliruan antara Hilal dan Bulan Baru. Kaedah hisab menentukan waktu "lahir" bulan baru bukan hilal. Hisab tidak mampu untuk menentukan Hilal kerana Hilal adalah sesuatu yang dilihat. Perlu diingatkan Hilal adalah pantulan cahaya dari bulan yang berbentuk sabit. Maka, apa yang terjadi apabila kekeliruan ini timbul ialah mereka akan berpuasa pada hari orang membuat Rukyah, iaitu sehari atau dua hari sebelum tarikh puasa melalui kaedah rukyah.

Kaedah Hisab dan Rukyah

Menurut Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya ‘Kaifa Natakallamu Ma’as Sunah An-Nabawiyah’ melihat anak bulan atau pengiraan falak merupakan cara (wasilah). Melihat anak bulan atau rukyah adalah wasilah pada zaman Rasulullah SAW kerana ianya mudah dipraktikkan dan sesuai ketika itu. Kaedah ini tidak mengikat umat Islam di sepanjang zaman, sebaliknya pengiraan falak lebih tepat (qat’i).

Berdasarkan dalil-dalil syarak serta hasil kajian astronomi mengenai kenampakkan anak bulan, penentuan awal Ramadhan dan Syawal di Malaysia menggunakan kaedah hisab dan rukyah.

Ada juga yang berkata apa perlu lagi melihat rukyah jika kaedah hisab sudah digunakan pakai. Istinbat hukum yang dibuat adalah berdasarkan kaedah jamak, iaitu beramal dengan semua dalil al-Quran dan Hadis serta pendapat ulama’ muktabar. Rukyah dan hisab saling memenuhi keperluan antara satu sama lain. Rukyah perlu dilakukan sepanjang zaman kerana bersumberkan dari Hadis Rasulullah SAW:

Daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda: "Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari)". (Riwayat Muslim)

Menurut hadis tersebut Ramadan dan Syawal perlu ditentukan dengan melihat anak bulan. Tetapi apabila tidak kelihatan maka cukupkan Syaaban atau puasa sebanyak 30 hari. Ertinya anak bulan perlu dilihat pada hari 29. Namun untuk merealisasikan ini, kepakaran ilmu falak diperlukan kerana mereka inilah yang menentukan kedudukan anak bulan termasuk waktu yang sepatutnya dilihat.

Walau bagaimanapun keadaan cuaca dan iklim di negara ini pada waktu ini tidak menentu dan keadaan ini menyukarkan anak bulan dilihat walaupun pada kiraan falak anak bulan boleh kelihatan, maka kaedah di atas ditambah seperti berikut, “jika mengikut perkiraan falak anak bulan boleh kelihatan tetapi secara rukyahnya tidak kelihatan maka pandangan falak diterima. Dan jika mengikut perkiraan falak anak bulan tidak boleh kelihatan, tetapi secara rukyah berjaya melihat anak bulan maka rukyah diambil kira.”

Berdasarkan itu, jika anak bulan mengikut perkiraan ahli falak kelihatan, maka esoknya sudah pasti berpuasa atau raya. Namun rombongan melihat anak bulan itu tetap wajib pergi untuk mengesahkan anak bulan boleh kelihatan. Tetapi jika mereka tidak nampak juga, maka perkiraan falak hendaklah dipakai.

Bulan dan matahari beredar pada satah yang berlainan. Bulan beredar disatah peredarannya berbanding dengan matahari yang beredar di satah ekliptik. Fasa bulan bermula dengan berlakunya ijtimak (conjuction). Dalam keadaan sifat anak bulan yang masih muda, seawal waktu anak bulan boleh kelihatan, selepas matahari terbenam.

Sekurang-kurangnya, kaedah hisab dan rukyah terdapat dua faktor yang mempengaruhi kenampakkan anak bulan, iaitu faktor fizikal dan kemanusiaan. Faktor fizikal iaitu meliputi sifat-sifat fizikal bulan, matahari dan atmosera tempatan. Manakala faktor kemanusiaan termasuklah kemahiran dan pengalaman ahli rukyah. Termasuklah menggunakan peralatan dan tekniknya serta keupayaan mata dan psikologi pencerap.




Comments

Popular Posts