GENERASI MELAYU MUSLIM YANG TERTINGGAL

Setiap kali bertemu dengan ustaz Imran pasti akan disebutnya mengenai masyarakat melayu muslim di Krabi adalah MELAYU MUSLIM YANG TERTINGGAL. Saya cuba memahami kalimah ini setiap kali ianya dilontarkan. Dari sudut apa yang dikatakan mereka ini melayu muslim yang tertinggal?

Ketika dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, ia mengingatkan saya satu istilah ketika itu iaitu ‘generasi yang tertinggal’. Proses pendidikan yang terhenti akibat penutupan sekolah telah memberikan kesan buruk kepada pelajar-pelajar sekolah terutamanya di negara miskin dan kalangan dunia ketiga. 

Kajian Bank Dunia turut mendapati penutupan sekolah disebabkan Covid-19 berisiko menyebabkan 72 juta murid sekolah berdepan ancaman 'kemiskinan pembelajaran' yang bermakna mereka tidak boleh membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun. Proses pendidikan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka mengikut aturan umur telah terhenti menyebabkan mereka ketinggalan dalam menguasai sesuatu ilmu. 

Mungkin ini persamaan situasi yang dimaksudkan oleh Ustaz Imran, masyarakat melayu muslim di Krabi yang tertinggal. Mereka tertinggal dari sudut pengamalan dan pemahaman agama. Amalan budaya siam yang sudah sebati sejak sekian lama dengan kehidupan masyarakat melayu muslim telah menenggelamkan syiar Islam disana. Sistem pendidikan agama yang tidak lagi menjadi minat mereka pelajari turut menjejaskan keadaan ini. Pengimarahan masjid yang sepatutnya hidup dengan solat berjemaah dan majlis ilmu, hambar. Ada sesetengah masjid hanya seorang jemaah yang berperanan, ibarat air kopi 3 in 1. Dialah imam, bilal dan makmum. Situasi ini menyebabkan mereka tertinggal jauh kefahaman agamanya, yang tinggal hanya sekadar nama dan zahirnya seperti seorang muslim.

Komuniti Islam di Krabi bukannya seperti saudara seIslam mereka di Yala, Narathiwat atau Songkhla yang mana penduduk terbesarnya di situ beragama Islam. Justeru itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi memastikan syiar agama Islam terus semarak dikalangan penduduk Islam Krabi. Antara usaha adalah menghidupkan kembali hari kebesaran agama Islam antaranya hari raya korban. Dengan penyertaan dan sumbangan dari Malaysia & Singapura sedikit membantu menghidupkan kembali amalan ibadah ini.

Alhamdulillah pada tahun ini pelaksanaan ibadah korban lebih meriah dari tahun sebelumnya. Ibadah korban secara bersama ini telah bermula sejak tahun 2017 lagi oleh kumpulan amal superfrens. 

Atucara program yang telah berlangsung adalah seperti berikut:

17 Jun 2024 (Hari Raya Pertama) Masjid Aou Thong Lang.

Korban 1 ekor lembu dan 1 ekor kambing. Ini adalah ibadah korban yang pertama kali dilaksanakan disitu semenjak masjid ini dibina sejak 42 tahun yang lalu. 

Pengagihan barang dapur berserta daging korban telah diserahkan kepada 20 keluarga miskin.

Bacaan tahlil arwah serta kenduri.

18 Jun (Hari Raya Kedua) Sekolah Islam Anuban Wangthong.

Korban 5 ekor lembu dan 1 ekor kambing. Program korban yang dilaksanakan disini telah menghimpunkan penduduk kampung sekitar sekolah, ibubapa pelajar serta beberapa wakil masjid sekitar sekolah untuk hadir bersama mengimarah dan menghidupkan suasana hari raya korban. Melapah, memasak dalam menyediakan kenduri dilaksanakan secara bergotong royong oleh pelajar dewasa (umur 30 - 70 tahun). 

Sebelum pengagihan daging korban diadakan majlis bacaan al quran oleh pelajar dewasa serta syarahan ringkas sebelum bermulanya pengagihan daging lembu sebagai satu kaedah untuk menyuntik semangat kepada mereka untuk kembali mengamalkan ibadah korban yang sudah lama ditinggalkan. 

Selesai program di sekolah, bergerak ke kampung Ban Khuan untuk edaran barang dapur berserta daging korban kepada 30 keluarga miskin.

Syukur tidak terhingga kepada Allah kerana mempermudahkan segalanya. Jumlah keseluruhan lembu sebanyak 6 ekor lembu dan 3 ekor kambing telah selamat dilaksanakan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dalam melaksanakan amanah ibadah korban di Krabi. 

Terima kasih tidak terhingga juga kepada para penyumbang yang telah memberikan sumbangan barang dapur dan lain-lain keperluan dalam menjayakan program kali ini. Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan, amin. 




















Comments

Popular Posts