KORBAN YANG MENGHIDUPKAN JIWA YANG TELAH MATI

Ibadah korban, bagi sesetengah kita, ia sudah menjadi rutin tahunan. Tapi di sebuah daerah kecil bernama Koh Lanta, Krabi, Thailand, ia adalah sebuah detik kebangkitan. Satu nyala api kecil yang menyalakan kembali ruh Islam yang hampir padam.

Masih saya ingat, tahun 2018, ketika saya dan sahabat-sahabat Superfrens pertama kali melaksanakan ibadah korban di sini. Kami membawa tiga ekor lembu. Satu daripadanya disembelih di sebuah perkampungan pedalaman bernama Kampung Muntut. Ketika itu, kami laksanakan di masjid kecil yang dhaif, dengan mimbar yang hampir roboh. Tiang-tiangnya bersuara bila disentuh angin, dan lantainya sudah hampir bersatu dengan bumi. Masjid itu sunyi, tidak lagi menjadi tempat berhimpunnya hati-hati yang rindu Tuhan.

Dan hari itu menjadi sejarah.

Itulah kali pertama dalam hidup mereka, penduduk kampung menyaksikan ibadah korban di tanah mereka sendiri. Ia bukan sekadar sembelihan lembu. Ia sembelihan kealpaan yang panjang. Ia sembelihan terhadap rasa putus asa, bahawa Islam seolah telah hilang makna dalam kehidupan mereka.

Selepas hari itu, perlahan-lahan, masjid mula kembali hidup. Aktiviti keagamaan perlahan-lahan bertunas. Ada yang datang untuk solat berjemaah. Ada yang mula membersihkan masjid dengan tangan sendiri. Mimbar yang dulu hampir roboh, kini sudah teguh berdiri hasil sumbangan orang ramai. Dan yang paling indah, suara azan sudah kembali menusuk ke dalam hati-hati yang selama ini kering.

Bak kata Ustaz Imran, “Adakalanya, masyarakat perlu rasa malu dulu, baru timbul semangat untuk berubah. Bila orang luar datang hidupkan masjid mereka, baru mereka tersentak, kenapa kami sendiri membiarkan rumah Allah ini mati?”

Tahun ini, 2025, adalah antara tahun paling bermakna. Bukan lagi tiga ekor lembu, tetapi 11 ekor lembu dan 21 ekor kambing telah dikorbankan. Peserta bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari Singapura. Dan lebih istimewa, ia dilaksanakan di Sekolah Anuban Wangthong, dengan jemputan khas dari sembilan buah masjid sekitar, ibu bapa pelajar, masyarakat kampung dan pelajar dewasa.

Sekitar 600 orang hadir. Satu angka yang mustahil dahulu, kini menjadi realiti.

Saya masih ingat keresahan Ustaz Imran sehari sebelum program korban. “Macam mana nak uruskan semua ni kalau wakil masjid tak turun?” Tapi Allah Maha Mengatur. Sebelum jam 1 tengah hari, semua sembelihan dan kerja-kerja melapah telah selesai. Ramai yang hadir, tangan yang membantu datang dari pelbagai arah, tua dan muda, miskin dan kaya, pendatang dan penduduk asal.

Satu kenduri diadakan. Bacaan tahlil untuk arwah. Dan sumbangan 200 kampit beras 5kg berjaya diagihkan kepada para asnaf dan pelajar dewasa. Calon wakil rakyat pun hadir, bukan untuk berkempen, tapi untuk bersama rasa.

Ketika melihat semua ini, saya tersedar. Islam bukan sekadar agama ibadah. Islam adalah agama yang menyatukan.

Korban ini... bukan sekadar menyembelih haiwan. Ia menyembelih ego kita. Menyembelih sifat mementingkan diri. Menyembelih rasa “aku lebih baik dari kamu”. Korban adalah saat kita mengangkat keperluan orang lain melebihi kehendak diri. Ia adalah latihan ketundukan kepada Tuhan dan kelembutan kepada sesama insan.

Kata Ustaz Imran lagi, “Kalau buat program maksiat, ramai yang datang. Tapi bila buat program agama, selalu kosong. Tapi korban ini luar biasa, ia mengumpulkan orang ramai dengan kasih, bukan dengan hiburan. Dengan hati, bukan dengan hadiah.”

Inilah dakwah tanpa suara. Inilah syiar yang tidak menjerit. Ia tidak memaksa, tetapi meresap perlahan-lahan ke dalam jiwa manusia yang sedang mencari erti.

Saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menyumbang baik tenaga, masa, wang, mahupun beras. Anda bukan sekadar menyumbang pada program. Anda sedang membangunkan kembali agama di bumi yang hampir melupakannya.

Semoga setiap sen, setiap peluh, dan setiap doa kalian menjadi saham akhirat yang berlipat ganda. Dan semoga Allah terima setiap korban kita bukan hanya haiwan, tetapi hati yang ikhlas, niat yang tulus, dan usaha yang tidak mengharap nama.

Amin ya Rabbal ‘Alamin.












Comments

Popular Posts